Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta Muara 2019 lebih gah; berjaya pikat lebih banyak sekolah, kumpulan tarian luar negara

Kemeriahan Pesta Muara 2019 kembali bertaut untuk tahun yang ke-9, dengan menyerlahkan kegemilangan seni tari Melayu yang menggabungkan lebih 800 penari daripada Indonesia, Malaysia dan Singapura di pentas terbuka Esplanade.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Muara 2019 lebih gah; berjaya pikat lebih banyak sekolah, kumpulan tarian luar negara

Sebuah persembahan tarian di acara Pesta Muara.

SINGAPURA: Kemeriahan Pesta Muara 2019 kembali bertaut untuk tahun yang ke-9, dengan menyerlahkan kegemilangan seni tari Melayu yang menggabungkan lebih 800 penari daripada Indonesia, Malaysia dan Singapura di pentas terbuka Esplanade.

Sambil menampilkan kumpulan-kumpulan tarian tempatan seperti Azpirasi, Kirana Seni, Artiste Seni Budaya, Perkumpulan Seni, Sriwana dan Teater Tari Era, pesta tahun ini turut disertai para penari undangan daripada Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur dan kumpulan Putih Melati (Jakarta) dan Lestari Widodo Wiryotomo dari Jawa Timur.

Bak pepatah ‘serumpun tidak bisa luruh’ bagaikan sudah sebati dalam jiwa apabila kesemua peserta berhimpun di atas satu pentas dalam acara penuh gilang-gemilang ini.

Sebuah persembahan tarian di acara Pesta Muara.

Pesta Muara 2019 – bertemakan “berkebun” dan “memancing” – diterbitkan sepenuhnya oleh Era Dance Theatre Limited (EDT). Ia disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Jawatankuasa Penari Melayu Singapura dan Esplanade dan pesta tahun ini dilancarkan secara rasmi pada Jumaat (25 Oktober).

2 BENGKEL TARIAN, FORUM KONGSI ILMU

Pesta Muara 2019 membuka tirainya dengan menganjurkan dua bengkel tarian dan demonstrasi untuk pelajar dan aktivis seni. Turut dianjurkan adalah forum dan sesi berkongsi ilmu dengan mereka yang mahir dalam bidang masing-masing, yang bertempat di studio Annexe di Esplanade.

Seperti edisi-edisi terdahulu, acara ini dibuka kepada orang ramai secara percuma. Lebih menarik lagi, ia turut menampilkan penyertaan para penari daripada peringkat sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi termasuk Sekolah Rendah Juying, Sekolah Rendah Temasek, Sekolah Menengah Boon Lay, Sekolah Menengah Anderson dan Sekolah Menengah St. Margaret’s.

Pesta tari ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pengunjung tempatan yang berbilang kaum dan peringkat usia, selain para pelancong yang turut hadir sepanjang tiga hari persembahan diadakan.

Sebuah persembahan tarian di acara Pesta Muara.

Para penonton disajikan dengan persembahan warna-warni pelbagai rentak termasuk inang, zapin, endang, samrah dan joget, selain persembahan kolaborasi dan tarian kontemporari, yang diiringi secara “live” oleh para pemuzik gabungan tiga negara di bawah pimpinan Encik Dzul Rabull Jalil.

GABUNGAN KREATIF 2 TOKOH MAPAN

Persembahan juga diserikan lagi dengan penampilan istimewa penari mapan dari Padang, Sumatera, Pak Tom Arison Ibnur, 67 tahun, yang berganding bahu dengan pengarah kreatif EDT, Encik Osman Abdul Hamid dan Encik Azmi Juhari (Pengarah Kreatif Azpirasi) di atas satu pentas.

Sebuah persembahan tarian di acara Pesta Muara. 

Keserasian pasangan pengacara majlis yang terdiri daripada personaliti radio WARNA 94.2FM, Noreha Bajuri dan pengacara/pelakon Farid Rashid, memang patut dipuji.

Tidak hairanlah mereka digabungkan setiap tahun bagi acara gah seperti ini.

“Sejak saya menggalas tugas mengacara bersama Farid selama 8 tahun, kami banyak mempelajari ilmu tentang tarian Melayu nusantara dan asal-usul tarian itu sendiri.

“Kami sangat bertuah kerana diberikan peluang oleh pihak penganjur untuk sama-sama menyemarakkan dan mengembalikan kegemilangan seni warisan bangsa kita,” jelas Noreha.

PESTA DIHARAP PERLUAS RUANG BERKARYA

Sementara itu, Penerbit Festival dan juga Pengarah Eksekutif Era Dance Theatre Ltd, Encik Azrin Abdul Rahim mengharapkan Pesta Muara tahun ini dapat membuka lebih banyak ruang untuk penggiat seni tari Melayu memperluaskan pengalaman dan memperkayakan daya kreativiti mereka dalam setiap persembahan yang ditonjolkan.

Sebuah persembahan tarian di acara Pesta Muara.

“Festival kali ini berjaya membuka lebih banyak peluang kerjasama antara negara serumpun demi melestarikan seni budaya tari Melayu di peringkat yang lebih tinggi, selain wadah tambahan bagi para penggiat tarian Melayu menonjolkan kreativiti masing-masing di pentas bertaraf antarabangsa.

“Semangat yang ditunjukkan oleh badan-badan kesenian dan sekolah-sekolah yang menyertai pesta ini cukup luar biasa dan saya berharap ia dapat berterusan di masa-masa yang akan datang,” ujar Encik Azrin. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan