Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta kerjaya tumpu kepada pemadanan kerja & kemahiran pemohon

Memadankan jawatan kosong dengan kemahiran pemohon pekerjaan menjadi tumpuan Pesta Kerjaya Syarikat Pemula tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memadankan jawatan kosong dengan kemahiran pemohon pekerjaan menjadi tumpuan Pesta Kerjaya Syarikat Pemula tahun ini.

Pendekatan Masyarakat Bertindak bagi Keusahawanan, ACE, itu menyusuli sambutan memberangsangkan pesta kerjaya sebelum ini.

Pesta Kerjaya Syarikat Pemula 2018 menarik lebih daripada 1,000 pemohon kerja daripada golongan pelajar, siswazah serta PMET.

Mereka bersaing bagi 250 pekerjaan yang ditawarkan oleh sekitar 70 syarikat pemula.

Pekerjaan yang ditawarkan pula pelbagai dari e-dagang, teknologi kewangan serta keselamatan.

Selain pekerjaan sepenuh masa dan sambilan, para pengunjung khususnya golongan penuntut juga berpeluang mengikuti latihan amali.

"Syarikat-syarikat pemula ini kecil dan kami dapat berjumpa dengan pemilik syarikat itu sendiri. Jadi, kami dapat secara langsung berbual dengan pemilik syarikat itu, apa yang mereka perlukan untuk syarikat mereka," salah seorang pemohon kerja, Nur Athirah Azlan, memberitahu BERITAMediacorp.

Bagi syarikat-syarikat yang mengambil bahagian pula, meskipun jumlah pemohon ramai, cabarannya adalah mendapatkan bakat inovatif yang sesuai.

Mentelah lagi, mereka harus bersaing dengan syarikat-syarikat besar.

"Kadang-kadang mereka mengatasi kami dari segi faedah-faedah pekerjaan yang boleh ditawarkan. Daya tarikan syarikat-syarikat pemula sangat lain jika dibandingkan dengan syarikat besar kerana yang menarik ialah prospek pengembangan syarikatnya dan keseronokan bekerja dalam sebuah syarikat yang cepat membesar," kata Pengasas dan CEO VersaFleet, Shamir Rahim.

Namun, perbezaan antara bakat yang ada dengan kemahiran yang diperlukan para majikan tetap menjadi keprihatinan utama.

"Sebenarnya, pemerintah sudah beri kita banyak bantuan melalui SkillsFuture, bukan sahaja $500 tetapi banyak subsidi, banyak program yang kita boleh manfaatkan. Selain itu, kita harus ketahui dengan lebih mendalam apakah perkembangan industri pada masa hadapan agar kita tahu tujuan kita," Pengurus SkillsFuture Advice, Nurul Iman Mohd Taib memberitahu BERITAMediacorp.

Acara itu disokong Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) dan Jurong Town Corporation (JTC).

Tambahnya lagi dengan Singapura menuju ke arah visi Negara Bijak, para pekerja harus bersedia membekalkan diri dengan kemahiran untuk menghadapi ekonomi yang semakin dinamik. 

Sumber : BERITA Mediacorp/IH/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan