Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta Buku Melayu S'pura pertama diadakan hujung minggu ini

Jika anda belum ada rancangan untuk ke mana-mana hujung minggu ini, apa kata anda sekeluarga mengunjungi Wisma Geylang Serai.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jika anda belum ada rancangan untuk ke mana-mana hujung minggu ini, apa kata anda sekeluarga mengunjungi Wisma Geylang Serai.

Ini kerana, buat julung-julung kalinya, pelbagai buku Melayu dan dwibahasa karya para penulis tempatan akan disajikan di bawah satu bumbung.

Pesta Buku Melayu Singapura 2019 itu dianjurkan untuk memperkenalkan buku-buku tempatan, khususnya buku Melayu, kepada masyarakat umum.

Ia akan dirasmikan oleh Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman pada pukul 7.40 malam ini.

Inisiatif itu adalah kerjasama antara empat pertubuhan - Kumpulan Angkatan Sastera Muda Singapura (Kamus), Persama, Pustaka Nasional, Unggun Creative dan Ungu Pen.

BERKENALAN DENGAN PENULIS TEMPATAN

Sekitar 500 tajuk ditawarkan untuk segenap lapisan usia - dari si kecil hinggalah orang dewasa.

Istimewanya, 90 peratus buku yang dijual adalah karya penulis tempatan.

"Saya rasa bagi masyarakat awam Singapura yang tidak mengenal penulis-penulis kita, ini adalah satu peluang untuk mereka mengenal penulis kita bila mereka berinteraksi dengan penulis di pesta buku ini," kata Pengarah Pustaka Islamiyah yang juga Penganjur Bersama Pesta Buku Melayu Singapura 2019, Syed Ali Semait.

Pengunjung juga berpeluang untuk melihat dan memperoleh buku-buku sastera terbitan penerbit tempatan, bertemu dengan penulis-penulis watan, menyertai kuiz dan acara khas, serta memenangi baucar buku #BuySinglit.

E-BUKU PERCUMA UNTUK KANAK-KANAK

Antara buku yang akan dilancarkan hujung minggu ini adalah buku kanak-kanak dalam bahasa Melayu.

Menariknya, ia juga diterbitkan dalam bentuk dwibahasa, sama ada Bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin, demi menggalak kemahiran dwibahasa dalam kalangan anak-anak kecil.

Khusus pada hujung minggu ini sahaja, para pengunjung akan dapat memuat turun e-buku percuma keluaran Pustaka Nasional.

"Ini untuk menggalakkan masyarakat kita, untuk menggalak anak mereka daripada main permainan di alat pintar mereka, untuk membaca buku-buku Singapura, buku-buku Melayu," tambah Encik Ali.

MAHU BELAJAR LUKIS KOMIK? 

Selain penjualan buku, terdapat kira-kira 17 kegiatan sampingan disediakan untuk pengunjung.

Ini termasuk sesi bercerita, bengkel kemahiran menulis dan menyunting serta melukis komik.

Dalam bengkel melukis komik itu misalnya, para peserta dalam lingkungan usia antara tujuh dengan 14 tahun, akan diajar cara-cara menghasilkan komik sendiri.

Mereka akan diajar bagaimana untuk mereka adiwira mereka sendiri, dari segi ciri-ciri dan kelebihan adiwira yang dilukis.

"Satu daripada mitos ataupun kesilapan ialah budak-budak selalu berfikir komik, kita terus melukis. Sebenarnya itu bukanlah langkah pertama. Tapi apakah langkah pertama itu? Jadi ikuti kami hari minggu ini," kata Cik Sharifah Md Kassim, pengarah syarikat Edureach Services, yang menganjurkan bengkel tersebut.

Malah, lima peserta dengan lukisan terbaik mungkin berpeluang untuk menyumbang daya kreativiti mereka dalam komik-komik akan datang.

"Harapan saya ialah untuk mencungkil bakat-bakat baru. Mungkin mereka boleh menjadi satu daripada pelukis kita untuk buku komik yang akan datang," Cik Sharifah memberitahu BERITAmediacorp.

Hanya dengan yuran $9, setiap peserta akan dapat membawa pulang peralatan melukis dan sebuah komik tempatan - Komik Super Dasyatun - terbitan Muslim Media.

Para peserta yang berminat boleh mendaftarkan diri di laman EduReach Services

Bengkel itu bagaimanapun diadakan hanya pada hari Ahad, dari pukul 4.30 petang hingga 6.00 petang.

Pesta Buku Melayu Singapura ini adalah sebahagian daripada gerakan #BuySingLit 2019 dan disokong Majlis Kesenian Negara (NAC). 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan