Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta Buku Melayu penuhi tujuan WGS semarakkan warisan dan budaya: Dr Maliki

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman berkata Pesta Buku Melayu Singapura di Wisma Geylang Serai (WGS) memenuhi tujuan pusat itu sebagai satu wadah bagi anjuran acara-acara warisan, budaya dan Bahasa Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman berkata Pesta Buku Melayu Singapura di Wisma Geylang Serai (WGS) memenuhi tujuan pusat itu sebagai satu wadah bagi anjuran acara-acara warisan, budaya dan Bahasa Melayu.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran Pesta Buku Melayu Singapura 2019 pada Sabtu (16 Mac).

Bertemakan ‘Buana Buku, Rimbun Ilmu’, pesta itu dianjurkan buat kali pertama dengan tujuan memperkenalkan penulis Melayu dan karya mereka kepada masyarakat umum.

Sekitar 500 tajuk dihimpun di bawah satu bumbung, dari penulis mapan hingga penulis muda yang berbakat.

Antaranya, buku esei kritikan "Mengasah Kalam: Jilid 1" oleh sasterawan tersohor Suratman Markasan yang mengetengahkan landskap kesusasteraan dan pemikiran yang digarap oleh penulis Singapura dari tahun 1985 hingga kini.

Dr Maliki turut menggalak masyarakat pembaca memberi sokongan kepada para penulis dan penerbit tempatan supaya sastera Melayu di sini dapat terus dilestarikan.

"Dengan adanya Pesta Buku di sini, kita ingin terus meraikan penulis-penulis kita, melestarikan sastera kita dan terus menggalakkan lebih ramai lagi anggota masyarakat kita untuk tampil ke mari dan kita menyokong gerakan #BuySingLit atau #BeliKaryaSasteraSingapura," kata Dr Maliki Osman.

Sebanyak 26 buku kanak-kanak turut dilancarkan semasa majlis pelancaran pesta buku tersebut.

Ini termasuk "Ada Khazanah di Perpustakaan Kami!" oleh Maria Mahat, "Hijab Milik Ummi" atau Ummi's Hijab karya Far'ain Jaafar dan Nur'Afifah Hussain dan "Feri Si Kapal Pesiar" oleh Hasna Nelfia dengan terjemahan ke bahasa Melayu oleh Syed Ali Ahmad Semait.

Dalam pada itu, Dr Maliki yang juga peneraju projek Wisma Geylang Serai berharap untuk terus bekerjasama dengan rakan-rakan kerjanya dalam aspek-aspek pendidikan, budaya dan warisan.

"Saya menggalakkan lebih ramai rakan kita yang ingin menonjolkan kegiatan mereka mahupun pesta buku seperti hari ini untuk terus bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan kita dalam bulan menimba ilmu untuk anggota masyarakat kita," ujar Dr Maliki.

Acara dua hari di Wisma Geylang Serai itu menampilkan pelbagai kegiatan untuk seisi keluarga seperti Bengkel Penyuntingan Cerpen, Pertandingan Mewarna dan Bengkel Menulis Cerita Kanak-Kanak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan