Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesona Geylang tidak hilang ditelan zaman; kemudahan baru bawa banyak manfaat

Geylang sudah melalui pelbagai fasa perubahan. Kawasan 'kampung Melayu' ini terdiri daripada estet-estet perumahan seperti Aljunied, Geylang East, Kallang Way, Kampong Ubi dan Macpherson.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Geylang sudah melalui pelbagai fasa perubahan. Kawasan 'kampung Melayu' ini terdiri daripada estet-estet perumahan seperti Aljunied, Geylang East, Kallang Way, Kampong Ubi dan Macpherson.

Ini pastinya disetujui para penduduk warga tua yang sudah menetap di Geylang bertahun-tahun lamanya. Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Singapura (SingStat) pada tahun lalu, lebih 100,000 penduduk menetap di kawasan Geylang dan daripada jumlah itu sekitar 27,600 penduduk adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

WARGA TUA AKUI PENINGKATAN, KERJA NAIK TARAF BANYAK MENDATANGKAN FAEDAH

Encik Zainal Bin Ahmad, 79 tahun, sudah hampir 35 tahun menetap di Haig Road. Bekas guru Bahasa Melayu itu berkata, pembangunan Geylang Serai daripada sebuah kampung kepada sebuah pusat moden, banyak mendatangkan faedah dari segi persekitaran lebih teratur dan bersih.

“Pasar Geylang dahulu memang terlalu sibuk dan keadaannya amat huru-hara. Malah, jika kita mahu membeli barang-barang juga susah kerana jalan raya penuh sesak. Dahulu, ia tidak teratur tetapi sekarang semuanya teratur dan cantik,” Encik Zainal memberitahu BERITAMediacorp..

Beliau menambah, sambutan Hari Raya di Geylang Serai juga semakin meriah dan gah saban tahun.

“Bazar-bazar dahulu tidak seperti sekarang dan tidak ramai yang mengunjunginya. Lebih ramai mula mengunjungi Geylang Serai sejak ia dihiasi dengan lampu Raya. Bahkan, hiasan lampu Raya dari tahun ke tahun semakin gah. Justeru berbanding dahulu, suasana Geylang Serai lebih hebat dan meriah,” ujar beliau.

Geylang. (Gambar: Encik Mohd Hashim Bin Jumaat)

Geylang dulu. (Gambar: Encik Mohd Hashim Bin Jumaat)

BERNIAGA TEPI JALAN: 2 LONGGOK TIMUN HANYA 15 SEN!

Semasa ditemui BERITAMediacorp, Cik Mariam Binte Barin, 71 tahun, pula mengimbau kenangan para penjaja makanan di Geylang Serai, yang menurut beliau jauh berbeza dengan sekarang.

Menurut Cik Mariam yang dahulu seorang peniaga, perbezaan paling ketara adalah kebebasan para penjaja untuk menjual makanan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

“Dahulu persekitaran Geylang Serai tidak begitu bersih. Malah ada peniaga-peniaga yang berjualan di tepi-tepi jalan. Saya masih ingat lagi ada yang menjual dua longgok timun pada harga hanya 15 sen saja!

“Memang segala-galanya dahulu murah-murah belaka tetapi persekitaran Geylang Serai sekarang lebih cantik kerana ia sudah menjalani pembangunan pesat. Oleh itu, harga barangan semua sudah meningkat dan tiada lagi penjaja di tepi-tepi jalan,” kongsi Cik Mariam kepada BERITAMediacorp.

Cik Mariam Binte Barin.

Tahap keselamatan di Geylang juga diakui lebih baik.

Menurut Cik Mariam, dahulu kes-kes jenayah seperti pencopetan lazim berlaku. Malah beliau sendiri pernah melalui pengalaman getir apabila hasil penjualannya sebanyak $700 dicopet semasa beliau berjalan di kawasan berlorong di Geylang.

Malah berita tentang insiden pencurian di Geylang ibarat sudah menjadi perkara biasa dek kekerapannya pada satu ketika dahulu.

“Sejak rumah ini yang baru-baru sudah dibikin, sudah jarang dengar. Dulu tahun-tahun dengar orang ambil duit. Ambil beg, curi duit. Tapi sejak sudah bikin gini (dibangunkan semula), tak dengar lagi lah,” ujar beliau.

PESONA GEYLANG TIDAK HILANG DITELAN ZAMAN

Seorang lagi penduduk yang sudah ‘masak’ dengan kawasan Geylang adalah peniaga putu piring, Encik Mohd Hashim Bin Jumaat, 67 tahun. Dibesarkan di Geylang sejak tahun 1950-an, Encik Mohd Hashim melihat sendiri pembangunan pesat di sana.

Penjual putu piring dulu. (Gambar: Encik Mohd Hashim Bin Jumaat)

Namun bagi dirinya, walau sebanyak mana pun perubahan yang dijalani, pesona dan daya tarikan Geylang tidak akan hilang ditelan zaman. Contohnya perniagaan putu piring yang dikendalikannya selama 20 tahun di Geylang.

“Kelainannya hanya pembangunan sahaja tetapi daripada kuih, jenis kuih yang kita tawarkan tetap sama. Kita mahu konsisten. Mantap. Kita punya mutu pun tetap kita jaga. Jenis kuih, tradisi itu kita tetap simpan. Sesiapa saja bila ingat Geylang Serai apabila di Haig Road, ingat putu piringlah. Itu lah ikonnya,” katanya kepada BERITAMediacorp.

DAERAH “MELAYU BARU”

Disebabkan pesona-pesona tertentu Geylang juga, bukan setakat tempat tinggal bagi warga tua. Malah, ia juga berjaya memikat para penduduk muda. Menurut data SingStat, jumlah penduduk Geylang yang berusia antara 35 tahun dengan 49 tahun adalah sekitar 25,000.

Namun apakah yang membuat golongan lebih muda tertarik memilih Geylang sebagai kediaman mereka dan bukan estet-estet baru seperti Punggol dan Sengkang?

Encik Mohammed Ridwan Bin Abdul Karim dan anak-anaknya.

Encik Mohammed Ridwan Bin Abdul Karim, 46 tahun, berpendapat kemudahan-kemudahan yang disediakan di Geylang menjadi sebab utama beliau memutuskan untuk berpindah dari Tampines ke sana.

“Ia memang keputusan yang paling mudahlah kerana saya selalunya ke Geylang. Kalau dulu saya tinggal di Tampines, walau apa pun kita orang Melayu baliknya ke Geylang juga. Pergi pasar, beli barang-barang rumah. Jadi bagi saya keputusan (berpindah) itu memang senanglah,” ujar beliau.

Bangunan terbaru yang kini menjadi mercu tanda dan kebanggaan masyarakat Melayu, Wisma Geylang Serai, juga disifatkan sebagai “bermanfaat” kepada para penduduk di kawasan itu, dengan adanya pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung.

“Apa-apa yang kita mahu semua ada di situ. Itu kira menunjukkan Melayu yang baru, daerah Melayu baru. Jadi memang sesuailah untuk anak-anak generasi sekarang. (Generasi lama) mereka lebih sukakan tapak lama. Kalau generasi baru, ini baguslah. Sesuai,” jelas Encik Mohammed Ridwan yang sudah berpindah ke Geylang sejak 2011.

Arus pembangunan dan pemodenan di Geylang bukan saja meningkatkan daya tarikan kawasan ikonik ini, malah ia turut menyemarakkan lagi budaya dan jati diri masyarakat Melayu di Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan