Images
  • mrtt
    Pesawat A330-MRTT berupaya mengisi minyak bagi jet pejuang F-16 dan F-15SG di udara. (Gambar: MINDEF)

Pesawat tangki terbaru RSAF berupaya isi minyak jet tempur di udara

BOISE: Buat julung-julung kalinya, pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) menyertai Latihan Forging Sabre di Idaho, Amerika Syarikat.

Pesawat A330-MRTT itu mungkin kelihatan seperti sebuah pesawat komersil biasa, dilengkapi dengan tempat duduk dan kad keselamatan pesawat.

Namun, salah satu peranannya adalah untuk mengisi minyak ke dalam jet-jet pejuang semasa di udara. Ia dapat dilakukan menerusi penggunaan teknologi 3D.

Dalam latihan itu, pesawat A330-MRTT berlepas dari Boise, ibu kota Idaho, untuk mengisi minyak ke dalam jet pejuang F-16 dan F-15SG.

"Kami berdepan dengan senario yang berbeza setiap kali kami melakukan penerbangan dan mengisi minyak ke dalam jet-jet pejuang.

"Tahap ketinggian yang berbeza boleh menjejas bagaimana pesawat itu diterbangkan dan juga alat mengisi minyak. Saya sentiasa cuba untuk melakukan tugas itu dengan cara yang paling selamat," kata Pengendali Pengisi Minyak di Udara Skuadron 112, 1SG Jonathan Paul Augustine.

Setiap MRTT itu berupaya membawa sehingga 111,000 kilogram minyak.

Juruterbang A330-MRTT, Mejar Victor Ong Ya Zhi, berkata: "Apabila anda melakukan penerbangan di ruang udara yang kecil, anda sentiasa mempunyai gas yang mencukupi kerana jarak penerbangan tidak begitu jauh tetapi apabila berada di ruang udara yang lebih besar, saya harus memikirkan tentang jumlah minyak yang ada, jumlah minyak yang dapat digunakan dari pesawat tangki ini dan bagaimana saya boleh mengatasi isu-isu ini untuk memastikan agar misi berjaya."

RSAF mempunyai empat pesawat MRTT, yang juga dilengkapi dengan keupayaan mengangkut tentera atau bekalan dalam keadaan memerlukan.

Setiap pesawat MRTT boleh membawa sehingga 37,000 kilogram kargo ataupun 266 kakitangan.

- CNA/AI/ai

Top