Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesawat RSAF akan terbang ke Qatar bagi pindahkan pelarian Afghanistan ke Jerman

Sebuah pesawat tangki Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) akan berlepas ke Qatar malam ini (26 Ogos) untuk membantu Amerika Syarikat memindahkan pelarian dari Afghanistan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat RSAF akan terbang ke Qatar bagi pindahkan pelarian Afghanistan ke Jerman

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen bertemu kakitangan RSAF sebelum berangkat ke Qatar. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 26 Aug 2021 10:14PM Dikemas Kini : 26 Aug 2021 10:23PM

SINGAPURA: Sebuah pesawat tangki Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) akan berlepas ke Qatar malam ini (26 Ogos) untuk membantu Amerika Syarikat memindahkan pelarian dari Afghanistan.

Pesawat Tangki Berbilang Fungsi (MRTT) A330 RSAF itu akan memindahkan para pelarian Afghanistan yang buat masa ini ditempatkan di Qatar ke Jerman atau negara-negara lain yang bakal menerima mereka, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan pada Khamis.

MRTT akan digunakan untuk mengangkut hampir 200 pelarian daripada Pangkalan Udara Al Udeid di bahagian barat daya Doha ke sebuah lagi pangkalan di Jerman, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen.

"(MRTT) akan berlepas dari sini malam ini untuk mendarat di Qatar, mengangkut semua pelarian dan kemudian ke Jerman, semuanya dalam tempoh 21 jam," tambah beliau.

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen menjawab pertanyaan para wartawan. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

"Ia tidak mungkin boleh dilakukan menggunakan pesawat lama kami. Dari Jerman, mereka akan ulang-alik dari Jerman ke Al Udeid untuk membawa seramai mungkin pelarian.

MRTT yang mampu mengangkut sehingga 266 penumpang atau 37,000 kilogram kargo boleh digunakan untuk memindahkan mereka yang sakit atau cedera.

Seramai 77 kakitangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) termasuk juruterbang, kru pesawat, jurutera dan pasukan keselamatan tentera akan terlibat dalam "misi kemanusiaan" itu menurut MINDEF.

Dr Ng, bersama Ketua Pasukan Pertahanan Leftenan Jeneral Melvyn Ong dan Ketua Pasukan Udara Mejar Jeneral Kelvin Khong hadir di Pangkalan Udara Changi (Timur) untuk menghantar mereka.

Misi tersebut dilaksanakan selepas pemerintah Amerika Syarikat menerima tawaran Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk membantu negara itu memindahkan para pelarian dari Afghanistan.

Tawaran itu dibuat pada Isnin (23 Ogos) sewaktu lawatan rasmi Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris ke Singapura, di mana kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama sama dengan lebih rapat dalam beberapa bidang termasuk keselamatan siber dan perubahan iklim.

Cik Harris mengucapkan terima kasih kepada PM Lee atas "tawaran amat murah hati" itu sambil berkata beliau mengalu-alukan perbincangan menyusuli tawaran tersebut.

Dr Ng berkata para lelaki dan wanita yang terlibat dalam misi itu memahami tugasan mereka dan meyakini tujuannya.

"Mereka tahu tentang risiko-risikonya tetapi saya mahu memuji mereka kerana hanya dalam tempoh 48 jam selepas tawaran itu, mereka sudahpun bersiap sedia," ujar beliau.

MRTT mampu mengankut sehingga 266 penumpang. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

"Dan saya rasa mereka sudah bersiap sedia. Dan saya memberitahu mereka untuk menyedari dan berwaspada terhadap ancaman-ancamannya dan pada masa yang sama melakukan misi mereka dengan baik. Dan saya mengucapkan yang terbaik untuk mereka dan saya yakin mereka akan melakukan yang terbaik."

Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya hari ini menggesa orang ramai untuk beredar dari lapangan terbang Kabul menyusuli ancaman serangan pengganas oleh ISIS sedang para askar negara Barat tergesa-gesa untuk memindahkan seramai mungkin orang sebelum tarikh akhir 31 Ogos, lapor REUTERS.

Negara-negara yang terlibat dalam usaha memindahkan pelarian Afghanistan termasuk Jerman, Perancis, Italy dan Britain.

Dr Ng berkata apa yang dilakukan SAF akan membawa kepada kehidupan yang lebih baik untuk ramai keluarga dan individu yang disingkirkan dari Afghanistan.

"Amat berat untuk membayangkan perasaan orang-orang yang tersingkir daripada Afghanistan pada waktu ini lebih-lebih lagi mereka yang sedang cuba untuk melarikan diri tetapi tidak boleh melakukan demikian," tambah beliau.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan