Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesawat A380 SIA baru mendarat di Lapangan Terbang Changi

Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) menyambut kiriman pertama daripada lima pesawat baru A380 hari ini (14 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Dec 2017 03:44PM Dikemas Kini : 15 Dec 2017 01:09AM

SINGAPURA: Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) menyambut kiriman pertama daripada lima pesawat baru A380 hari ini (14 Dis).

Pesawat-pesawat baru itu dilengkapi dengan lebih banyak tempat duduk bagi kelas Ekonomi Premium dan kelas Ekonomi, serta kabin-kabin kelas Perniagaan dan Suite yang berwajah baru.

Pesawat itu mendarat di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada pukul 9.50 pagi dari Lapangan Terbang Perancis Toulouse-Blagnac, selepas satu majlis selamat jalan yang diadakan oleh Airbus.

Pesawat jenis jumbo dua tingkat itu juga dilengkapi dengan tempat duduk baru, skrin hiburan dalam pesawat dan produk-produk kabin lain.

Lebih banyak tempat duduk bagi kelas Ekonomi Premium dan Ekonomi juga disediakan di aras bawah pesawat.

Pesawat yang mempunyai 471 tempat duduk itu menawarkan enam kerusi bagi kelas Suite, 78 bagi kelas Perniagaan, 44 bagi kelas Ekonomi Premium dan 343 bagi Ekonomi.

Pesawat-pesawat A380 SIA yang sedia ada hanya mempunyai 441 tempat duduk, 12 daripadanya dalam kelas Suite, 60 di kelas Perniagaan, 36 di Ekonomi Premium dan 333 di kelas Ekonomi.

Di dalam pesawat baru itu, tempat duduk Suite menawarkan 60 peratus lebih banyak ruang dan terletak di tingkat atas pesawat di mana terdapat tempat-tempat duduk kelas Perniagaan.

Syarikat penerbangan itu dijangka menerima empat lagi pesawat A380 baru menjelang suku ketiga 2018.

Ia juga bakal menaik taraf 14 pesawat A380 yang sedia ada, yang dijangka selesai menjelang hujung tahun 2020. SIA menyatakan ia sudah melaburkan sebanyak AS$850 juta (S$1.14 bilion) dalam penyelidikan dan pembangunan produk-produk baru bagi merombak 19 pesawat A-380 yang ada sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIA Goh Choon Phong berkata ketibaan pesawat-pesawat A380 yang baru merupakan satu pencapaian bagi syarikat itu. Beliau menambah SIA merupakan syarikat pertama yang menggunakan pesawat A380 pada tahun 2007.

"Pesawat itu (A380) terbukti satu kejayaan komersil yang besar bagi syarikat (SIA), membawa para penumpang dengan cekap dan selesa bagi perjalanan jauh mahupun dalam rangkaian serantau," kata CEO Airbus, Tom Enders.

Pesawat baru Airbus 380 siap untuk membuat penerbangan sulungnya bagi laluan Singapura-Sydney pada Isnin depan (18 Dec). Pesawat-pesawat A380 juga akan terbang ke Auckland, Beijing, Frankfurt, Hong Kong, London, Melbourne, Mumbai, New Dehli, New York, Paris, Shanghai dan Zurich. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan