Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesara dipenjara 6 minggu kerana buang sampah maut, rosakkan kereta pegerai

Seorang pesara yang membuang sebuah botol kaca dari tingkat 10 flatnya dan merosakkan sebuah kereta BMW dipenjara enam minggu hari ini (4 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Pesara dipenjara 6 minggu kerana buang sampah maut, rosakkan kereta pegerai

(Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 04 Jun 2018 05:03PM Dikemas Kini : 04 Jun 2018 05:06PM

SINGAPURA: Seorang pesara yang membuang sebuah botol kaca dari tingkat 10 flatnya dan merosakkan sebuah kereta BMW dipenjara enam minggu hari ini (4 Jun).

Ee Tian Chon, 65 tahun, membuang botol tersebut ke luar flatnya di Tampines pada 9 April 2016 "kerana berasa kecewa dengan masalah-masalahnya", menurut dokumen mahkamah.

Pemilik kereta BMW itu meletakkan keretanya di tempat letak kereta terbuka selama kira-kira empat jam dan sejurus beliau kembali, Ee sedang membuang botol tersebut. Botol kaca itu terkena bumbung kereta menyebabkan kerosakan bernilai lebih S$10,000.

Mahkamah difahamkan botol tersebut mengandungi cecair yang tidak diketahui. Namun, awal hari itu, Ee meminum dua botol bir di sebuah kedai kopi berdekatan.

Ee mengaku dia mempunyai tabiat membuang barang ke luar flatnya, menurut dokumen mahkamah.

Ee juga disabitkan dengan kesalahan mencalarkan kereta seorang pegerai beberapa kali dalam sebulan tahun lalu. Ee merupakan pelanggan gerai mee milik mangsa di sebuah pusat makanan di Sengkang.

Menurut dokumen mahkamah, Ee meminta bahan-bahan tambahan dalam mee dan diberitahu oleh pegerai itu bahawa dia perlu membayar lebih. Ee berasa "terhina dan marah".

Beberapa hari kemudian, Ee memerhatikan kenderaan yang dinaiki pegerai itu. Setiap kali dia ternampak kereta tersebut selepas itu, dia akan mencalarkannya dengan menggunakan kunci rumahnya.

Semasa menjatuhkan hukuman ke atas Ee, Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan mengatakan bahawa sampah maut adalah kesalahan serius yang turut membawa "akibat serius". Hakim itu menambah, mujur pemilik BMW itu dan isterinya tidak tercedera.

Ee boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sebanyak S$2,500, atau kedua-duanya atas tindakannya yang membahayakan nyawa. Kerana perbuatan nakal Ee boleh dikenakan penjara sehingga setahun, didenda atau kedua-duanya. 

Sumber : CNA/KN/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan