Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesalah tidak jual produk tembakau ikut bungkusan standard boleh didenda, penjara mulai Julai 2020

Para pengeluar, pemborong dan peruncit tembakau boleh menghadapi hukuman penjara dan denda sehingga S$10,000 jika produk-produk mereka tidak mematuhi bungkusan 'standard' atau selaras dan syarat grafik amaran kesihatan yang diperbesarkan mulai 1 Julai 2020. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pesalah tidak jual produk tembakau ikut bungkusan standard boleh didenda, penjara mulai Julai 2020

Contoh bungkusan standard dengan grafik amaran kesihatan yang diperbesarkan pada pek rokok. (Gambar: MOH)

Diterbitkan : 01 Jul 2019 07:43PM Dikemas Kini : 01 Jul 2019 07:48PM

SINGAPURA: Para pengeluar, pemborong dan peruncit tembakau boleh menghadapi hukuman penjara dan denda sehingga S$10,000 jika produk-produk mereka tidak mematuhi bungkusan 'standard' atau selaras dan syarat grafik amaran kesihatan yang diperbesarkan mulai 1 Julai 2020. 

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media pada Isnin (1 Jul), syarat-syarat berkenaan - yang dirujuk sebagai langkah SP secara kolektif - akan dikenakan ke atas semua produk tembakau termasuk rokok, cerut, "ang hoon" dan produk-produk tembakau gulung sendiri yang lain.

Sebelum ini, MOH mengumumkan keputusannya untuk melaksanakan langkah SP pada Oktober 2018 berikutan "proses meluas" penilaian, penyelidikan dan beberapa pusingan rundingan awam.

Susuli beberapa pindaan kepada Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) pada Mac 2019,
MOH menyatakan ia bakal memperkenalkan undang-undang peringkat rendah untuk melaksanakan langkah SP.

Peraturan Tembakau 2019 (Kawalan Iklan dan Jualan) serta (Penampilan, Bungkusan dan Pelabelan) (Peraturan SP) diterbitkan pada 1 Julai 2019 dan akan mula dilaksanakan pada 1 Jul, 2020 yakni 12 bulan selepas diwartakan.

Syarat-syarat yang ditetapkan di bawah peraturan SP termasuk mengeluarkan semua logo, warna, gambar dan maklumat promosi pada bungkusan produk tembakau kecuali nama jenama dan nama variasi - yang akan dipaparkan dalam warna serta saiz fon atau tulisan yang serupa.

Selain itu, syarat-syarat tersebut juga termasuk membesarkan saiz minimum grafik amaran kesihatan yang diwajibkan kepada 75 peratus berbanding 50 peratus sekarang bagi kesemua permukaan pada bungkusan produk tembakau yang dinyatakan.

Mulai Julai 2020, kegagalan mematuhi peraturan SP dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman dengan denda sehingga S$10,000 dan penjara sehingga enam bula atau kedua-duanya bagi pesalah kali pertama.

MOH menyatakan mereka yang mempunyai sabitan kesalahan terdahulu bagaimanapun akan menghadapi hukuman lebih berat.

TEMPOH PERALIHAN 3 BULAN

Menurut MOH, satu tempoh peralihan tiga bulan mulai 1 April 2020 hingga 30 Jun 2020 akan disediakan untuk membantu para pengeluar, pemborong dan peruncit tembakau membuat penyesuaian serta persiapan bagi pelaksanaan sepenuhnya Langkah SP.

Tempoh peralihan itu akan membolehkan produk-produk tembakau yang mematuhi sama ada peraturan sekarang atau peraturan SP untuk diimport, diedarkan atau dijual di Singapura.

MOH menyatakan: "Langkah SP bagi produk-produk tembakau akan, dengan langkah-langkah kawalan tembakau lain, menyumbang kepada matlamat untuk mengawal tembakau lebih meluas seperti menggalak bukan perokok daripada memulakan tabiat itu, mendorong para perokok untuk berhenti merokok dan menggalak warga Singapura untuk mengamalkan gaya hidup bebas tembakau, yang pada akhirnya akan membawa kepada pengurangan dalam kekerapan merokok".

MOH menambah langkah kawalan tembakau lain termasuk pendidikan, cukai, program berhenti merokok, larangan ke atas pengiklanan tembakau, rokok dipamerkan secara terbuka di kedai serta pelaksanaan usia minimum untuk memiliki, membeli atau menggunakan tembakau.

Kementerian itu turut menjelaskan langkah-langkah tersebut akan mengurangkan kadar merokok di Singapura dan memenuhi kewajipan Pemerintah di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Kawalan Tembakau.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan