Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesalah dadah warga M'sia ubah keterangan demi papar kelayakan pendidikannya lebih rendah: MHA

Mahkamah Tinggi mendapati pesalah dadah warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam, yang dikenakan hukuman mati "secara berterusan mengubah keterangannya tentang kelayakan pendidikannya", menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (5 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Pesalah dadah warga M'sia ubah keterangan demi papar kelayakan pendidikannya lebih rendah: MHA

Gambar fail Mediacorp.

Diterbitkan : 06 Nov 2021 11:19AM Dikemas Kini : 06 Nov 2021 11:20AM

SINGAPURA: Mahkamah Tinggi mendapati pesalah dadah warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam, yang dikenakan hukuman mati "secara berterusan mengubah keterangannya tentang kelayakan pendidikannya", menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (5 Nov).

Dia berbuat demikian "kononnya mencerminkan kelayakan pendidikan yang lebih rendah setiap kali dia disoal siasat", menurut MHA.

Menurut MHA, Mahkamah Tinggi menilai bukti oleh pakar psikiatri yang bersetuju bahawa Nagaenthran bukan cacat intelek. Ini termasuk seorang pakar psikiatri yang dipanggil oleh peguam bela bagi pihak Nagaenthran.

"Mahkamah Tinggi menimbangkan fakta, bukti pakar daripada empat pakar psikiatri/psikologi yang berbeza dan keterangan lanjut oleh pihak Pendakwa dan Pembela. Mahkamah Tinggi mempertahankan bahawa Nagaenthran tahu apa yang dilakukannya dan menegakkan hukuman mati yang dikenakan ke atasnya," menurut MHA.

MHA mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons kepada pertanyaan lanjut pihak media berhubung kes itu menyusuli gesaan daripada kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan pihak-pihak lain supaya pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran dihentikan atas dasar ketidakbolehan intelek dan IQ yang rendah.

Satu petisyen bagi merayu Presiden Singapura Halimah Yacob supaya memberi pengampunan kepada Nagaenthran, yang akan dikenakan hukuman mati pada 10 November, dilancarkan pada 29 Oktober. Ia sudah ditandatangani lebih 55,900 individu setakat pagi Sabtu.

Menurut petisyen itu, Nagaenthran dinilai mempunyai IQ 69, fungsi eksekutif terjejas dan Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) semasa penilaian psikiatri forensik.

Nagaenthran didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati pada November 2010 kerana mengimport heroin sebanyak 42.72 gram. Dia ditangkap pada April 2009 ketika cuba memasuki Singapura di Pusat Pemeriksaan Woodlands dengan bungkusan dadah diikat pada pahanya.

Rayuan Nagaenthran terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya ditolak pada September 2011.

Pada Februari 2015, Nagaenthran memfailkan permohonan untuk menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara seumur hidup.

Satu isu yang dipertimbangkan semasa meneliti permohonan itu adalah sama ada tanggungjawab mental atas tindakannya itu "terjejas teruk" ketika dia melakukan kesalahan tersebut, menurut MHA dalam kenyataannya.

MHA menambah bahawa Mahkamah Tinggi bertanggapan bahawa Nagaenthran "tahu apa yang dilakukannya" dan menegakkan hukuman mati yang dikenakan ke atasnya.

Mahkamah juga menarik perhatian bahawa tindakannya berkaitan dengan kesalahan mengimport dadah menunjukkan bahawa dia "mampu melakukan manipulasi dan pengelakan".

"Misalnya apabila dia ditahan di pusat pemeriksaan, dia cuba menghalang carian daripada dijalankan dengan memberitahu para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) bahawa dia "bertugas dalam bidang keselamatan", sekali gus memaparkan dirinya dengan ciri-ciri kebolehpercayaan yang sering dikaitkan dengan para pegawai keselamatan.

MHA menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi juga mendapati bahawa Nagaenthran boleh merancang dan mengatur dengan lebih ringkas dan "agak mampu hidup berdikari".

MHA sebelum ini menyatakan dalam kenyataan awalnya bahawa permohonan Nagaenthran untuk menimbangkan semula hukumannya dibatalkan pada September 2017 dan Mahkamah Tinggi "mendapati Nagaenthran tidak mengalami sebarang keadaan pemikiran luar biasa ketika kesalahan itu dilakukan".

Rayuannya ditolak pada Mei 2019 dan dia juga tidak berhasil mendapatkan pengampunan Presiden.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan