Images
  • darah beku
    (Gambar hiasan: Wildpixel/Canva)

Pesakit COVID-19 yang sudah pulih digesa lakukan senaman ringan, elak risiko darah beku

SINGAPURA: Para pesakit yang sudah pulih daripada jangkitan COVID-19 disyorkan melakukan senaman ringan.

Dua pakar perubatan memberitahu Mediacorp bahawa ini adalah untuk mencegah pembekuan darah di dalam tubuh - satu keadaan yang dikaitkan dengan virus itu - walaupun pesakit sudah disahkan sembuh.

Keadaan membawa maut itu menarik perhatian umum baru-baru ini apabila seorang pekerja asing berusia 41 tahun dari China yang dianggap sudah pulih dari COVID-19, meninggal dunia minggu lalu.

Beliau didapati tidak bergerak di kabinnya di atas sebuah kapal pesiaran di mana beliau ditempatkan untuk sementara setelah dibenarkan pulang.

Koroner mengesahkan punca kematian sebagai pembentukan darah beku yang besar di paru-paru berikutan jangkitan itu.

Dengan "data baru muncul" di peringkat global mengenai risiko meningkat pembekuan darah, para doktor di sini diberitahu oleh Kementerian Kesihatan (MOH) bulan lalu untuk mengawasi gejala kardiovaskular di kalangan mereka yang dijangkiti COVID-19.

"Sekarang ada bukti saintifik virus itu boleh menyerang sel-sel endotelial, yang melapisi lapisan saluran dalaman darah secara langsung. Ini menyebabkan saluran darah bocor dan melepaskan faktor pembekuan yang menyebabkan pembekuan darah. Oleh itu serangan jantung dan angin ahmar telah dilaporkan pada pesakit ini yang timbul akibat pembekuan darah yang menyekat arteri utama, seperti darah ke jantung dan otak, tetapi pembekuan darah juga dikesan di bahagian lain tubuhnya," kata Profesor Madya Christine Cheung, dari Sekolah Perubatan Lee Kong Chian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Pembekuan darah lebih kecil yang terbentuk di kaki mungkin bergerak melalui saluran darah ke bahagian tubuh yang lain dan ada kalanya tersekat di saluran darah lebih kecil pada paru-paru, yang menghalang aliran darah.

Ini menyebabkan sesak nafas.

Pesakit yang terjejas mungkin mengalami gejala seperti sakit dada, jantung berdebar-debar, kerap pengsan dan juga batuk berdarah.

Dengan aliran darah tersekat, paru-paru tidak akan dapat menambah tahap oksigen yang diperlukan.

Ini seterusnya menyebabkan jantung bekerja lebih keras, mengakibatkan kegagalan jantung.

Mereka yang tidak aktif, warga tua dan juga mereka yang mempunyai masalah kesihatan sebelum ini mempunyai risiko yang lebih tinggi.

"Ada saranan tertentu yang sedang dipertimbangkan oleh para doktor. Sama ada mereka perlu diberi rawatan antikoagulan, untuk mencegah potensi pembekuan darah. Tetapi ini masih dibahaskan kerana kami perlu mempertimbangkan risikonya, manfaat penggunaan antikoagulan, yang boleh menimbulkan kesan sampingan menyebabkan pendarahan berlebihan pada pesakit," jelas Porf Madya Cheung.

Namun sedang para doktor dan saintis terus mengkaji dengan teliti mengenai ciri-ciri virus korona ini, para doktor mengatakan senaman ringan mungkin satu-satunya cara untuk membantu mengurangkan risiko.

"Saya akan berehat selama beberapa minggu pertama dan selepas itu mulakan senaman ringan, secara perlahan, yang bermaksud saya akan mulakan pada tahap sekitar 10 hingga 20 peratus dari apa yang biasa saya lakukan dan kemudian meningkatkannya mengikut kemampuan paru-paru dan daya tahan tubuh saya," nasihat Dr Leong Hoe Nam, pakar penyakit berjangkit di Hospital Mt Elizabeth Novena.

"Sekali lagi, jangan memaksa diri ke tahap maksimum kerana ini boleh memudaratkan. Mula dengan senaman ringan, dengan perlahan. Itulah mantra yang seharusnya kita semua pegang."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/TQ/tq

Top