Images

Pesakit COVID-19 yang masih diuji positif namun sihat dari segi klinikal boleh dibenar pulang setelah 21 hari

SINGAPURA: Pesakit COVID-19 di Singapura yang dinilai sihat dari segi klinikal pada hari ke-21 sejak bermulanya jatuh sakit boleh dibenarkan pulang tanpa ujian lanjut, umum Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Khamis (28 Mei).

Syarat yang disemak semula itu berkuat kuasa dengan serta merta.

Individu berkenaan, bagaimanapun, dikehendaki duduk di rumah atau di dormitori masing-masing selama lagi tujuh hari sebelum mereka dibenarkan kembali bekerja, kata Encik Gan dalam satu sidang media oleh pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19.

Menjelaskan keputusan itu, Encik Gan merujuk kepada satu kertas pendirian oleh doktor di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), yang menunjukkan pesakit COVID-19 tidak lagi berjangkit setelah hari ke-21, meskipun diuji positif virus korona itu.

Beliau menambah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menerbitkan saranannya pada Rabu untuk beralih kepada membenarkan pesakit yang sihat dari segi klinikal pulang mengikut tempoh masa, bukan mengikut tahap jangkitan.

"Pesakit yang sihat dari segi klinikal kini boleh pulang seawal lepas 10 hari sejak mulanya jatuh sakit, dengan sekurang-kurangnya tiga hari tanpa gejala pernafasan atau demam," kata Encik Gan tentang saranan WHO.

"Apabila kita tahu lebih lanjut tentang COVID-19, hasil kajian luar dan dalam negara, kita sesuaikan rancangan perubatan bagi pesakit COVID-19."

Menurut pengarah eksekutif NCID Profesor Leo Yee Sin, yang juga berada di sidang media itu, kajian tempatan menunjukkan dalam kalangan lebih 700 pesakit, kira-kira 30 peratus dari mereka lulus ujian reaksi berantai polimerase (PCR) pada saat mereka mencapai hari ke-15 penyakit klinikal mereka.

Menjelang hari ke-21, semuanya lulus ujian PCR itu.

KAJIAN SEBALIK PERUBAHAN SYARAT

Menjelaskan kajian di sebalik ukur tara baru itu, Profesor Leo berkata tiga kajian yang dijalankan di Singapura menyokong saranan baru itu.

Dalam kajian pertama yang melibatkan 18 kes pertama COVID-19, para pengkaji mendapati virus itu paling banyak gugur semasa peringkat awal penyakit. Jumlah virus dalam seorang yang dijangkiti merosot mengikut peredaran masa.

Kajian kedua melibatkan 766 pesakit dan mendapati 30 peratus sudah lulus ujian PCR pada hari ke-15 penyakit.

Pada hari ke-21, 68 peratus pesakit lulus ujian PCR dan kebanyakan pesakit dapat lulus ujian setelah hari ke-33 - lebih sebulan setelah bermulanya gejala, kata Prof Leo.

Ini menunjukkan hanya segelintir kes diuji positif dalam ujian PCR selama tempoh yang panjang.

Dalam kajian ketiga, para penyelidik mengambil sampel pernafasan bagi mengesan kultur dari 73 pesakit. Mereka mendapati jumlah virus terlalu rendah bagi penyelidik mengambil sampel kultur setelah hari ke-10 atau ke-11 pesakit mengalami penyakit.

Prof Leo jelaskan ini memberi keyakinan bahawa tiada virus ketara boleh membiak dari sampel pernafasan pesakit COVID-19 mulai hari ke-11 penyakit.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/TODAY/TQ/tq

Top