Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesakit barah ini berjaya kumpul S$100,000 dalam 36 jam untuk rawatan di Jepun

Cik Valerie Goh, 20 tahun, didiagnosis pada awal Oktober lalu dengan sejenis barah tulang muka yang jarang berlaku. Barah itu tumbuh dekat dengan otak dan mata kanannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesakit barah ini berjaya kumpul S$100,000 dalam 36 jam untuk rawatan di Jepun

(Gambar: Give.Asia)

Diterbitkan : 30 Nov 2020 03:07PM Dikemas Kini : 30 Nov 2020 03:09PM

SINGAPURA: Cik Valerie Goh, 20 tahun, didiagnosis pada awal Oktober lalu dengan sejenis barah tulang muka yang jarang berlaku. Barah itu tumbuh dekat dengan otak dan mata kanannya.

Para doktor menyarankan agar beliau mendapatkan rawatan di Jepun dan rawatan itu dianggarkan menelan belanja S$100,000 dan keluarganya tidak mampu menampung kos rawatan tersebut. Bapanya adalah seorang pemandu teksi manakala ibunya pula seorang suri rumah. Beliau mempunyai dua abang dan salah seorang daripadanya bekerja sendiri.

Para pekerja sosial menasihati keluarganya supaya cuba mengumpul dana menerusi wadah Give.Asia. Dalam masa kurang 36 jam selepas kempen mengumpul dana itu dilancarkan pada Isnin (23 Nov), sasaran mereka tercapai.

Kempen beliau berakhir pada Khamis, sekitar 1.00 tengah hari dengan S$142,386 berjaya dikumpul daripada 4,586 penderma.

"Kami tidak terbayang bahawa jumlah itu berjaya dikumpul dalam tempoh yang pantas sekali - S$100,000 bukanlah jumlah yang kecil," kata Gordon, abang Cik Goh yang berusia 26 tahun, kepada Mediacorp.

"Kami merancang untuk menerbangkannya ke Jepun sebelum hujung bulan Disember kerana kami merancang untuk mengumpul dana selama sebulan untuk melihat sumbangan derma yang boleh diraih namun ini langsung tidak dijangkakan sama sekali," kata abangnya lagi.

Cik Goh, seorang lulusan diploma Reka Bentuk Seni Bina Dalaman dari Politeknik Temasek pada awal April lalu, menulis di Instagram pada Selasa (24 Nov) untuk berkongsi tentang penyakitnya dan juga kempen untuk mengumpul dana.

Beliau memberitahu Mediacorp bahawa pada awalnya beliau teragak-agak untuk mengongsi tentang penyakitnya di media sosial.

"Bagi saya, media sosial dikenali kerana kandungan yang menggembirakan dan menyeronokkan, namun barah bukanlah berita yang menggembirakan untuk dikongsi," kata Cik Goh.

"Jadi, saya ragu-ragu dan gelisah pada mulanya, bimbang juga tentang reaksi rakan-rakan saya kerana saya tidak mahu dilihat sebagai seseorang yang meminta simpati dan belas kasihan, saya tidak mahu dikenali kerana penyakit saya.

Catatan beliau sudah menerima lebih 53,000 tanda suka dan lebih 2,000 komen sejak ia dimuatnaikkan.

"Ia sesuatu yang memeranjatkan dan pada masa yang sama amat menyentuh perasaan. Saya tidak menjangkakan respons muhibah seumpama ini," kata Cik Goh. "Saya amat bersyukur dan lega kerana pada awalnya saya bimbang saya tidak akan dapat mengumpul wang sebanyak ini sebelum saya dijadualkan menjalani rawatan."

"Semuanya bermula pada Januari apabila beliau mula mengalami gejala penyakit itu yang bertambah buruk sehingga menyebabkan kehilangan separa deria pendengaran pada telinga sebelah kanannya, hidung tersumbat, sakit rahang dan kerap sakit kepala.

Keluarganya membawanya ke doktor gigi kerana mereka ingatkan ia ada kaitan dengan gigi bongsu, namun ketumbuhan yang mencurigakan mula dikesan pada rahang bahagian atas sebelah kanan mulutnya pada Ogos lalu dan beliau mengalami bengkak-bengkak pada bahagian mulut dan mukanya.

Cik Goh kemudian didiagnosis dengan osteosarkoma pterigoid, iaitu sejenis barah tulang muka yang jarang sekali berlaku.

Ketumbuhannya itu berlaku di bahagian dalam sebelah kanan tulang mukanya, menyebabkan kehilangan separa daya pendengaran pada telinga sebelah kanan dan membuat lubang hidung sebelah kanan tersumbat sepenuhnya.

Ia juga menjejas rahangnya, membuatnya tidak mampu mengunyah makanan.

VISA PERUBATAN SEMENTARA SUDAH DILULUSKAN

Piawai rawatan bagi osteosarkoma muka melibatkan kemoterapi dan pembedahan atau radioterapi, namun disebabkan ketumbuhan itu dekat dengan otak dan matanya, pembedahan sulit untuk dijalankan.

Atas sebab itu, rawatan terbaik yang disarankan doktor adalah terapi karbon-ion yang tidak ditawarkan di Singapura.

Keluarganya berharap beliau boleh memulakan rawatannya pada lewat Disember selepas mendapatkan kelulusan sementara bagi visa perubatannya.

"Bagaimanapun, kami masih berusaha untuk mengumpulkan dokumen-dokumen relevan yang diperlukan untuk mendapatkan kelulusan, seperti laporan perubatan Valerie, surat rujukan kepada kemudahan rawatan di Jepun dan jadual perjalanan apabila kami di Jepun kelak," kata abangnya, Gordon.

Beliau menambah bahawa dana yang dikumpulkan itu akan digunakan untuk membiayai rawatan perubatan Cik Goh dan ia akan dibayar secara langsung oleh Give.Asia kepada hospital di Jepun.

Keluarga itu masih mengumpul dana untuk membiayai perbelanjaan peribadi mereka apabila berada di Jepun, yang dianggarkan sekitar S$30,000. 

Sumber : Today/AY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan