Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesakit angin ahmar 69 tahun dijel 2 minggu; cabul kehormatan amah

Si isteri menggajikan seorang pembantu rumah asing untuk membantu suaminya yang mengalami isu pergerakan setelah diserang angin ahmar. Namun, lelaki itu mengambil kesempatan untuk mencabul kehormatan pembantu rumah berusia 23 tahun itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pesakit angin ahmar 69 tahun dijel 2 minggu; cabul kehormatan amah

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 11 Sep 2020 03:58PM Dikemas Kini : 11 Sep 2020 04:01PM

SINGAPURA: Si isteri menggajikan seorang pembantu rumah asing untuk membantu suaminya yang mengalami isu pergerakan setelah diserang angin ahmar. Namun, lelaki itu mengambil kesempatan untuk mencabul kehormatan pembantu rumah berusia 23 tahun itu.

Heng Thiam Soon, 69 tahun, dijatuhi hukuman penjara dua minggu pada Jumaat (11 Sep).

Semasa dihadapkan ke mahkamah dengan kerusi rodanya, dia mengaku bersalah atas satu tuduhan mencabul kehormatan. Dua lagi tuduhan serupa turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Mahkamah diberitahu Heng mencabul kehormatan mangsa - seorang rakyat Myanmar, yang kini berusia 25 tahun - dengan meraba punggung beliau buat tiga kali dari Mei hingga Julai tahun lalu.

Pembantu rumah itu mula bekerja untuk keluarga tersebut pada April tahun lalu. Beliau ditugaskan untuk menjaga Heng dan tidur di dalam bilik yang sama. Beliau berhubungan dengan pasangan warga tua itu menggunakan perkataan asas yang mudah dalam bahasa Inggeris.

Heng mula mencabul kehormatan wanita itu tidak lama selepas beliau bekerja di rumah tersebut.

Pada satu hari, Heng meminta pembantu rumah itu untuk menolongnya mendapatkan sesuatu ketika mereka berada di dalam biliknya. Apabila beliau pergi ke katilnya, Heng mencabul kehormatan wanita itu.

Mangsa menolak tangan Heng dan memberitahu tertuduh bahawa dia tidak boleh menyentuhnya.  

Timbalan Pendakwa Raya Ng Jun Chong meminta tiga minggu penjara dengan mengatakan bahawa pembantu rumah bergantung kepada niat baik majikan mereka.

Peguam Heng, Encik Wilbur Lua, sebaliknya meminta denda sebanyak S$4,000 dikenakan terhadap anak guamnya. Heng hilang kekuatan pada kedua-dua kaki dan lengan kanannya selain "berada dalam keadaan tidak senang dan murung berhubung keadaannya ketika itu", katanya.

“Dalam keadaan itu, dia membuat tindakan-tindakan tidak wajar terhadap pembantu rumah tersebut, yang kini dikesalinya," tambah peguam itu.

Heng kini tinggal di sebuah rumah jagaan dan diletakkan di bawah pengawasan sepanjang masa yang bermakna "tidak ada gunanya pemulihan untuk memenjarakannya".

Bagi kesalahan mencabul kehormatan, Heng boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau gabungan mana-mana hukuman itu. Bagaimanapun, pesalah yang berusia 50 tahun ke atas tidak boleh disebat dengan rotan mengikut undang-undang.

Majikan atau individu yang tinggal serumah dengannya yang mencabul kehormatan pembantu rumah asing boleh dikenakan hukuman 1.5 kali ganda lebih berat - meningkatkan hukuman maksimum kepada hukuman penjara selama tiga tahun.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan