Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perubahan khidmat bas di Bukit Panjang ditunda hingga 30 Ogos; langkah sementara diusul

Satu siri perubahan tidak popular ke atas khidmat bas di kawasan Bukit Panjang, yang sepatutnya berkuat kuasa Ahad (16 Ogos), kini akan ditunda selama dua minggu sementara langkah-langkah bagi mengurangkan kesan di sebalik perubahan-perubahan tersebut diperkenalkan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Perubahan khidmat bas di Bukit Panjang ditunda hingga 30 Ogos; langkah sementara diusul

Laluan bagi khidmat bas 972 tidak akan lagi diubah berikutan maklum balas penduduk. (Gambar: laman web Land Transport Guru/boy_you_want_bus)

Diterbitkan : 13 Aug 2020 03:00PM Dikemas Kini : 13 Aug 2020 03:07PM

SINGAPURA: Satu siri perubahan tidak popular ke atas khidmat bas di kawasan Bukit Panjang, yang sepatutnya berkuat kuasa Ahad (16 Ogos), kini akan ditunda selama dua minggu sementara langkah-langkah bagi mengurangkan kesan di sebalik perubahan-perubahan tersebut diperkenalkan.

Perubahan tersebut kini akan diperkenalkan pada 30 Ogos bagi memberi para pengendali bas lebih banyak masa untuk melaksanakan langkah-langkah baru yang termasuk menyediakan satu khidmat bas langsung ke bandar, menurut Menteri Negara Kanan Pengangkutan Chee Hong Tat pada Khamis (13 Ogos).

Ini setalah diumumkan awal bulan ini bahawa khidmat bas 700 dan 700A akan menghentikan operasi manakala khidmat bas 171 akan berhenti di stesen MRT Bukit Panjang dan tidak lagi melakukan perjalanan ke terminal bas Marina Centre.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan perubahan tersebut dibuat menyusuli kemerosotan ketara pada bilangan penumpang bagi khidmat-khidmat bas berkenaan ekoran pembukan fasa kedua laluan MRT Downtown pada 2017. Di samping itu, terdapat keperluan untuk "mengamalkan sikap berhemat" dalam penggunaan dana awam memandangkan jutaan dolar digunakan untuk memberikan subsidi bagi mengendalikan perkhidmatan bas.

Khidmat bas 971E, kini sebuah khidmat ekpres waktu sibuk yang tidak berhenti di sesetengah perhentian bas, akan ditukarkan kepada khidmat utama, 971, yang membuat lebih banyak perhentian, kata Encik Chee dalam satu catatan Facebook.

Khidmat tersebut kini akan melalui Petir Road sebelum memasuki Ekspreswe Bukit Timah bagi memberi penduduk satu khidmat bas langsung ke pusat bandar semasa waktu sibuk, tambah beliau.

Waktu operasi bagi khidmat bas 971 juga akan dilanjutkan, dari 6.30 pagi hingga 8.30 pagi pada sebelah pagi dan dari 6.05 petang hingga 7.35 malam pada sebelah malam.

Buat masa ini, khidmat bas itu beroperasi dari 7.10 pagi hingga 7.50 pagi pada pagi hari dan 6.05 petang hingga 6.30 petang pada sebelah lewat petang.

(Grafik: Edward Chia Bing Hui/Facebook)

(Grafik: Edward Chia Bing Hui/Facebook)

"Penumpang khidmat 971E sedia ada akan mengalami peningkatan pada waktu perjalanan tetapi tambang mereka akan turun sehingga 60 sen bagi setiap perjalanan kerana mereka tidak perlu lagi membayar tambang ekspres. Mereka juga dapat turun di lebih banyak perhentian bas di sepanjang perjalanan," kata Encik Chee.

Laluan untuk khidmat bas 972 - yang akan diubah untuk memberi khidmat kepada penumpang di Bukit Timah dan Dunearn Road serta yang tinggal berhampiran MRT Newton dan Scotts Road - juga tidak lagi akan dipinda setelah mendapatkan maklum balas penduduk, tambah beliau.

"Sebaliknya, kami akan memperkenalkan khidmat bas 972M yang diubah suai dengan mengalihkan sebahagian khidmat bas 972 sedia ada untuk melakukan perjalanan di sepanjang Dunearn Road dan Scotts Road. Ini membolehkan penumpang di Dunearn dan Bukit Timah Road untuk mengekalkan keterhubungan dengan Scotts Road dan MRT Newton," jelas beliau.

(Grafik: Edward Chia Bing Hui/Facebook)

(Grafik: Edward Chia Bing Hui/Facebook)

Encik Chee menambah perjalanan tambahan semasa waktu sibuk bagi 972 dan 972M akan diperkenalkan jika perlu bagi mengurangkan masa menunggu serta kesesakan buat para penumpang.

Penumpang di Bukit Panjang boleh menaiki sama ada khidmat bas 972 atau 972M ke bandar, kata beliau, sambil menarik perhatian tentang pilihan khidmat bas 971 semasa waktu sibuk.

"Walaupun aturan ini meningkatkan ketibaan bas untuk kedua-dua khidmat 972 dan 972M, penumpang boleh menggunakan aplikasi perkhidmatan bas untuk merancang perjalanan mereka dan mengurangkan masa menunggu di perhentian bas," katanya. Encik Chee menambah beliau meminta pemahaman penumpang bahawa sedikit sikap bertolak ansur diperlukan dalam keadaan sedemikian bagi "memenuhi kumpulan penumpang yang berlainan sambil memastikan penggunaan dana awam secara berhemat".

"Akhir sekali, LTA akan meningkatkan kekerapan khidmat bas 973 pada waktu sibuk untuk meningkatkan ketersambungan ke MRT Hillview," kata Encik Chee. "Kami akan memantau keadaan selepas dua bulan dan menilai jika penyesuaian lebih lanjut diperlukan."

Khidmat bas 973 di Bukit Panjang. (Gambar: laman web Land Transport Guru/boy_you_want_bus)

(Gambar: laman web Land Transport Guru/boy_you_want_bus)

Encik Chee berkata bahawa langkah-langkah itu dilakukan setelah mengadakan perbincangan dengan Anggota Parlimen (AP) Bukit Batok yang baru Liang Eng Hwa, AP GRC Holland-Bukit Timah Edward Chia dan juga para pemimpin akar umbi.

Dalam catatan di Facebooknya, Encik Liang mengatakan bahawa beliau gembira kerana mereka mencapai huraian berdasarkan maklum balas penumpang.

"Tidak mudah untuk mencari keseimbangan itu tetapi pertimbangan utama kami adalah untuk mengurangkan ketidakselesaan dan kesan terhadap penduduk terutama kepada penumpang waktu sibuk," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Encik Chee atas pelibatannya secara langsung dalam mencari "huraian yang lebih baik".

"Kami faham bahawa sesetengah penduduk masih akan terjejas dengan perubahan baru ini dan kami berharap dapat memperolehi pemahaman serta kesabaran anda," kata Encik Chia di laman Facebooknya.

"MOT (Kementerian Pengangkutan) dan LTA telah memberi jaminan kepada kami bahawa mereka bersedia untuk berbincang dengan kami dan akan memantau dengan rapi masa menunggu serta kesesakan dalam bas," tambahnya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan