Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perubahan Kabinet: Menteri lebih muda bakal terajui dua pertiga kementerian

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, dengan perubahan besar pada barisan Kabinet yang diumumkan hari ini (24 Apr), ini bermakna peralihan kepimpinan Singapura sedang berjalan lancar.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Apr 2018 08:28PM Dikemas Kini : 25 Apr 2018 12:50AM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, dengan perubahan besar pada barisan Kabinet yang diumumkan hari ini (24 Apr), ini bermakna peralihan kepimpinan Singapura sedang berjalan lancar.

"Kabinet adalah sebuah kumpulan yang dinamik. Saya perlu merubahnya, melantik menteri baru, menaikkan pangkat mereka dan dari semasa ke semasa sesetengah menteri akan bersara bagi memberi laluan kepada menteri lebih muda," kata PM Lee menerusi catatannya di Facebook sejurus selepas perubahan Kabinet diumumkan.

"Perubahan kali ini lebih besar daripada biasa. Tiga menteri yang sudah lama berkhidmat akan bersara. Ramai pemegang jawatan daripada pilihan raya lalu kini diberi portfolio baru atau diperluaskan tanggungjawab mereka. Saya juga memutuskan untuk menguji lebih ramai menteri muda, dengan memberikan mereka tanggungjawab tambahan atau menyelia dua kementerian secara serentak."

Beberapa orang pemimpin generasi keempat turut diberikan peranan baru: Encik Chan Chun Sing akan menerajui Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, Cik Josephine Teo dilantik sebagai Menteri Tenaga Manusia dan Encik Iswaran pula akan menggalas tugas sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan.

Cik Indranee Rajah akan berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri dan menyandang jawatan sebagai Menteri Kedua Kewangan dan Pendidikan.

Encik Ong Ye Kung pula akan menerajui Kementerian Pendidikan sepenuhnya setelah Encik Ng Chee Meng ditugaskan sebagai Menteri Di Pejabat Perdana Menteri dan memimpin Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sebagai timbalan setiausaha agung gerakan buruh itu.

Menulis di Facebooknya, PM Lee turut mendedahkan bahawa menteri-menteri lebih muda "akan diberi tanggungjawab yang lebih besar secara bertahap-tahap dalam mentadbir Singapura".

"Selepas perubahan Kabinet ini, mereka akan menerajui dua pertiga kementerian di Singapura ... peralihan kepimpinan yang akan berlaku dalam masa beberapa tahun akan datang, sedang berjalan lancar," kata PM Lee.

"Saya berharap rakyat Singapura akan terus memberikan sokongan dan bekerjasama dengan saya dan pasukan saya untuk membawa Singapura ke tahap seterusnya."

Sementara itu, para menteri yang terjejas dengan perubahan itu berkata bahawa mereka mengalu-alukan portfolio baru dan tanggungjawab yang lebih besar.

Menurut Encik Chan, beliau tidak sabar untuk 'melakar dan mencarta hala tuju seterusnya bagi pembangunan ekonomi negara'.

"Peranan baru di MTI adalah lanjutan kepada kerja-kerja yang dijalankan di NTUC bagi memastikan para pekerja kita dapat terus meraih manfaat daripada pekerjaan yang lebih baik dan syarikat-syarikat perusahaan kita pula boleh merebut peluang untuk terus berdaya saing," kata Encik Chan di laman Facebooknya hari ini.

Mengenai peranannya yang lebih besar di Kementerian Pendidikan, Encik Ong Ye Kung berkata, 'masih terdapat banyak tugas penting yang perlu dilaksanakan'.

"Saya akan mengukuhkan asas yang dibangunkan oleh pemimpin terdahulu dan terus memperbaiki sistem pendidikan kita. Pendidikan akan terus menjadi tunggak penting dalam masyarakat kita. Saya mengalu-alukan peluang untuk terus bekerjasama dengan para guru dan kakitangan MOE untuk mencapai matlamat ini," tulis Encik Ong di Facebooknya.

Dr Yaacob Ibrahim yang akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan memuat naik video di Facebooknya hari ini bagi mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan sepanjang 16 tahun berkhidmat di tiga buah kementerian.

Melalui catatan di Facebooknya, Encik Chan mengucapkan tahniah kepada para Anggota Parlimen dan pemegang jawatan yang dinaikkan pangkat dan beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga menteri veteran yang akan melepaskan jawatan.

Sumber : CNA/AW/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan