Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perubahan Kabinet: Chan Chun Sing terajui MTI, Heng Swee Keat kekal di MOF, Ong Ye Kung terus pimpin MOE

 Encik Chan Chun Sing akan menerajui Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, sementara Menteri Kewangan Heng Swee Keat dan Menteri Pendidikan Ong Ye Kung akan mengekalkan portfolio masing-masing. 

Anggaran Waktu Membaca:
Perubahan Kabinet: Chan Chun Sing terajui MTI, Heng Swee Keat kekal di MOF, Ong Ye Kung terus pimpin MOE

Encik Chan Chun Sing, Heng Swee Keat dan Ong Ye Kung. (Gambar; MCI)

Diterbitkan : 24 Apr 2018 05:14PM Dikemas Kini : 24 Apr 2018 05:17PM

SINGAPURA: Daripada tiga nama yang disebut-sebut sebagai calon perdana menteri, Encik Chan Chun Sing akan menerajui Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, sementara Menteri Kewangan Heng Swee Keat dan Menteri Pendidikan Ong Ye Kung akan mengekalkan portfolio masing-masing dan pada masa yang sama, diberi tanggungjawab yang lebih besar, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (24 Apr).

Encik Chan, 48 tahun, yang buat masa ini adalah Menteri Di Pejabat Perdana Menteri, diminta oleh PM Lee supaya kembali berkhidmat dengan Pemerintah selepas tiga tahun bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Beliau juga akan mengambil alih tugas menerajui Divisyen Perkhidmatan Awam daripada Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean dan pada masa yang sama, terus berkhidmat sebagai timbalan pengerusi Persatuan Rakyat.

Encik Heng 57 tahun akan terus berkhidmat di Kementerian Kewangan yang sudah diterajui beliau sejak 2015.

Encik Heng ada mengatakan pada minggu lalu bahawa beliau "berbesar hati" jika dapat terus berkhidmat di kementerian itu, memandangkan masih terdapat banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan menyusuli pembentangan Belanjawan Negara tahun ini.

Encik Heng juga bertanggungjawab membantu Perdana Menteri bagi perkara-perkara yang bersangkut paut dengan Yayasan Kajian Nasional (NRF) dan tugas ini akan diambil alih daripada DPM Teo Chee Hean, menurut PM Lee dalam kenyataannya.

Encik Ong 48 tahun akan terus kekal di Kementerian Pendidikan sebagai satu-satunya menteri di kementerian itu setelah Encik Ng Chee Meng 49 tahun, ditugaskan untuk menerajui NTUC dan dijangka akan menggantikan Encik Chan sebagai ketua buruh yang baru.

Encik Ng yang kini dilantik sebagai Menteri Di Pejabat Perdana Menteri akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Pendidikan (Sekolah) dan Menteri Kedua Pengangkutan. Encik Ong pula akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kedua Pertahanan.

Cik Indranee Rajah 55 tahun dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh yang akan berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri. Mantan Menteri Negara Kanan Kewangan merangkap Undang-Undang itu turut dilantik sebagai Menteri Kedua Undang-Undang sehingga 30 Jun. Selepas itu, Encik Edwin Tong akan mengambil alih tugas sebagai Menteri Negara Kanan di kementerian tersebut.

Cik Josephine Teo 49 tahun akan dilantik sebagai Menteri Tenaga Manusia (MOM). Beliau yang akan terus menyandang jawatan sebagai Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, akan melepaskan jawatannya di Pejabat Perdana Menteri.

Cik Teo mengambil alih tugas sebagai Menteri MOM daripada Encik Lim Swee Say yang akan bersara dari Kabinet.

Encik Iswaran 55 tahun dilantik sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan, menggantikan Dr Yaacob Ibrahim yang akan bersara. Encik Iswaran yang akan terus menerajui Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, juga diberi peranan baru sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan.

Semua pelantikan baru ini berkuat kuasa pada 1 Mei.

Tiga pemegang jawatan kanan, Dr Yaacob Ibrahim 62 tahun, Encik Lim Swee say 63 tahun dan Encik Lim Hng Kiang 64 tahun akan bersara dan melepaskan jawatan masing-masing.

Encik Masagos Zulkifli akan mengambil alih tugas sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam daripada Dr Yaaob dan Dr Janil Puthucheary pula akan menggantikan Dr Yaacob sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber.

Sumber : CNA/AW/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan