Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perubahan iklim salah satu 'cabaran paling genting dihadapi manusia', kesan terhadap S'pura dijangka lebih teruk

Perubahan iklim salah satu cabaran paling genting yang dihadapi manusia dan Singapura sudahpun merasakan kesannya - yang dijangka menjadi lebih teruk dalam masa beberapa puluh tahun lagi, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (18 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Perubahan iklim salah satu 'cabaran paling genting dihadapi manusia', kesan terhadap S'pura dijangka lebih teruk

Gambar fail hujan ribut. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 19 Aug 2019 12:48AM Dikemas Kini : 19 Aug 2019 12:53AM

SINGAPURA: Perubahan iklim salah satu cabaran paling genting yang dihadapi manusia dan Singapura sudahpun merasakan kesannya - yang dijangka menjadi lebih teruk dalam masa beberapa puluh tahun lagi, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (18 Ogos).

"Perubahan iklim mungkin kelihatan abstrak dan sesuatu yang terpencil bagi kebanyakan kita, tetapi ia salah satu cabaran paling genting yang dihadapi manusia," kata PM Lee dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan.

Suhu purata Bumi sudah meningkat satu darjah Selsius berbanding zaman pra perindustrian lebih 100 tahun lalu, kata PM Lee.

Ini hasil karbon dioksida yang lebih banyak dilepaskan ke atmosfera disebabkan kegiatan manusia. Jumlah gas tersebut semakin meningkat, menarik haba daripada matahari, menjadikan Bumi lebih panas.

"Satu darjah Selsius tidak kedengaran seperti banyak, tetapi ia amat ketara," kata PM Lee. "Lebih-lebih lagi apabila suhu terus meningkat, dengan lebih pantas lagi."

Pemanasan bumi menyebabkan cuaca menjadi lebih ekstrem, tambah PM Lee, dengan kemarau menjadi lebih teruk dan berpanjangan. Di hujung lain spektrum, jumlah hujan menjadi lebih banyak dan ribut juga menjadi lebih teruk.

Beliau menjelaskan: "Singapura sudahpun merasakan kesannya. Cuaca kita semakin panas. Hujan ribut semakin lebat dan ini dijangka menjadi lebih teruk dalam masa beberapa puluh tahun akan datang, dalam jangka hayat kebanyakan kita."

Menurut kajian Switzerland baru-baru ini, menjelang 2050, sebilangan bandar di dunia ini akan mengalami perubahan iklim "yang tidak pernah berlaku", kata PM Lee.

Singapura adalah salah satu daripada bandar tersebut.

ANCAMAN GENTING PARAS AIR YANG KIAN MENINGKAT

Suhu yang semakin meningkat juga menyebabkan lapisan ais di Greenland dan Antarctica cair, sekali gus menaikkan paras air laut. Singapura "terutama sekali terdedah" kepada keadaan ini memandangkan ia pulau bertanah rendah, kata PM Lee.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kini menganggarkan paras air laut meningkat sehingga 1m menjelang akhir abad ini, tetapi ramalan para saintis semakin meningkat, dan paras air laut mungkin meningkat dan lebih pantas daripada itu, kata Encik Lee.

Singapura dahulu mengalami banjir pada tahun 1960-an hingga 1970-an, terutama sekali semasa musim hujan tetapi masalah banjir kini "sebahagian besarnya sudah dihuraikan", kata PM Lee.

Ini kerana sistem saliran sudah dipertingkatkan dan bangunan perlu dibina pada platform lebih tinggi, sekurang-kurangnya 3m atas permukaan air laut.

Memandangkan air boleh mencecah setinggi 2m atas paras air laut semasa air pasang, ini meninggalkan penampan (buffer) bagi menangani cuaca seperti hujan lebat.

Namun dengan perubahan iklim, jika paras air laut meningkat sebanyak 1m, dan apabila air pasang, tidak akan ada penampan, kata PM Lee.

Beliau berkata: "Jika hujan lebat berlaku serentak dengan air pasang, air itu tidak ada tempat lain untuk disalurkan."

ISU HIDUP DAN MATI

Bagi memahami apa makna perubahan iklim bagi Singapura, pemerintah sudah menubuhkan Pusat bagi Kajian Iklim Singapura (CCRS), kata PM Lee.

"CCRS sedang bekerjasama dengan pusat-pusat lain di negara-negara jiran bagi mengkaji dengan lebih terperinci bagaimana perubahan iklim menjejas Asia Tenggara," jelas beliau. "Mereka mendapati Singapura, yang terletak lebih dekat dengan khatulistiwa, lebih terdedah kepada perubahan iklim daripada apa yang dicadangkan model global.

Bagi mengurangkan kesan perubahan iklim, Singapura sudah dan akan terus memainkan peranan dalam mengurangkan pengeluaran karbon dioksida, kata PM Lee.

Sebagai contoh, Singapura sebahagian daripada Perjanjian Iklim Paris dan sudah mengikrarkan komitmennya untuk memperlahankan dan membataskan pengeluaran karbon dioksida sehingga sekitar 2030.

Rakyat Singapura juga dapat memainkan peranan dengan mengurangkan sisa dan menjadi mampan dalam tabiat harian mereka, tekan PM Lee.

"Meskipun Singapura mungkin tidak dapat menghentikan perubahan iklim secara sendirian, kita boleh menyumbang kepada huraiannya, dan kita mesti melakukan sumbangan yang sewajarnya," kata PM Lee.

Singapura juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, yang mana langkah-langkah tempatan sudahpun diusahakan bagi melindungi bangunan dan pembangunan.

Salah satunya adalah bangunan baru perlu dibina sekurang-kurangnya 4m atas permukaan air laut, dan tuntutan ini lebih tinggi bagi prasarana penting seperti Pelabuhan Tuas dan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, kata PM Lee.

Bangunan stesen pam kedua di Bendungan Marina juga sudah dirancang, manakala pilihan untuk menambak pulau-pulau dari Marina East hingga ke Changi serta membina 'polder' akan dipertimbangkan.

Singapura harus memandang serius terhadap perlindungan daripada perubahan iklim", kata PM Lee.

Kedua-dua Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan perlindungan daripada perubahan iklim adalah isu-isu yang menentukan penakatan kita. Ini adalah isu hidup dan mati," tekan PM Lee.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan