Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perubahan dalam AMP: Pengarah Eksekutif AMP Anuar Yusop lepaskan jawatan pada Jan 2020

Badan bantu diri, AMP Singapura, akan menjalani perubahan pucuk kepimpinan pada Januari 2020 dan mempunyai seorang Pengarah Eksekutif (ED) yang baru.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Badan bantu diri, AMP Singapura, akan menjalani perubahan pucuk kepimpinan pada Januari 2020 dan mempunyai seorang Pengarah Eksekutif (ED) yang baru. Ini apabila ED sekarang, Mohd Anuar Yusop, melepaskan jawatannya pada bulan depan.

Perubahan pucuk pimpinan itu didedahkan oleh Pengerusi AMP, Dr Md Badrun Nafis Saion dan Encik Anuar sendiri menerusi laporan kewangan 2019 AMP yang dikeluarkan bulan ini.

“Selepas 15 tahun yang memuaskan selaku Pengarah Eksekutif (ED), saya akan meletak jawatan pada Januari 2020 dan memberi laluan kepada satu generasi pemimpin muda untuk mengetuai operasi badan ini (AMP),” tulis Encik Anuar dalam laporan tersebut. “Walaupun saya akan meletak jawatan, saya masih akan menyumbang kepada masyarakat dalam cara-cara lain.”

Dalam tulisannya pula, Dr Md Badrun Nafis berkata: “Bagi pihak Lembaga AMP, saya ingin menghulurkan rasa penghargaan paling dalam kami kepada Encik Mohd Anuar Yusof bagi komitmen beliau dan sumbangan-sumbangannya yang berterusan kepada AMP sejak hari AMP ditubuhkan lagi.”

Menurut beliau lagi, menghamburkan pujian kepada Encik Anuar, program-program dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan AMP berkembang dengan “cukup bermakna”. Aset-aset AMP dan kakitangannya juga meningkat. Malah hubungan AMP dengan rakan-rakan dan para pemegang taruhannya di tahap terbaik, kata Pengerusi AMP itu.

“Di bawah kepimpinan beliau, bersama-sama pihak Lembaga, Encik Anuar sudah membawa AMP ke tahap lebih tinggi lagi,” tambah Dr Badrun Nafis.

BERITAmediacorp cuba menghubungi Encik Anuar untuk mendapatkan ulasan lanjut beliau, tetapi beliau tidak dapat memberikan sebarang komen kerana sedang berada di luar negara ketika ini.

SEORANG WANITA PENGARAH EKSEKUTIF TERBARU AMP?

Persoalannya sekarang ialah siapa pula yang bakal menggantikan Encik Anuar untuk menerajui lembaran baru AMP itu (yang dahulunya dikenali sebagai Angkatan Karyawan Islam sebelum penjenamaan semula tahun ini)?

Sejak beberapa bulan ini, sumber-sumber dan desas-desus yang sampai ke telinga BERITAmediacorp menyatakan bahawa AMP bukan sahaja akan menerima seorang Pengarah Eksekutif yang baru, malah individu itu juga mungkin seorang wanita.

Jika benar, ini bermakna buat pertama kalinya, AMP akan diterajui seorang wanita, menerusi jawatan tersebut.

Pihak-pihak dari AMP seperti Encik Anuar dan Dr Badrun Nafis buat masa ini tidak dapat dicungkil untuk mendapatkan pengesahan. Jadi kami ajukan pula soalan tersebut kepada bekas ‘orang kuat’ AMP.

“Saya tidak terkejut sekiranya pengarah eksekutif yang baru adalah wanita… sedang kita maju ke dekad baru,” jawab Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, bekas Pengerusi AMP, apabila ditanya tentang kemungkinan itu.

Buat masa ini, Timbalan Pengarah Eksekutif AMP sekarang ialah seorang wanita, iaitu Cik Zarina Yusof. Lembaga Pengarah AMP pula mempunyai seorang wanita iaitu Cik Siti Mariam Mohamad Salim, Pekerja Sosial Perubatan Utama, Hospital Besar Sengkang.

SANJUNGAN DARI PARA PEMIMPIN MASYARAKAT MELAYU

Hakikatnya, Encik Anuar menjadi ‘wajah AMP’ selama 15 tahun, sekali gus ED paling lama bagi badan itu selaku tunggak dalam mengendalikan operasi hariannya. Beberapa pemimpin badan Melayu/Islam yang dihubungi BERITAmediacorp melahirkan sanjungan menggunung kepada sumbangan Encik Anuar selaku Pengarah Eksekutif AMP.

CEO MENDAKI, Rahayu Buang, adalah antara rakan sejawatan dari pertubuhan Melayu/Islam lain yang pernah bekerjasama dengan Encik Anuar. Ini termasuk mewujudkan program seperti Pusat Penasihat Hutang yang disokong CLF.

“Saya berpeluang bekerja bersama Encik Anuar, sama-sama mencari huraian dan melakarkan program-program yang kami rasa sangat diperlukan dalam masyarakat kita.

“Encik Anuar seorang yang ramah, profesional dan prihatin dengan isu-isu kemasyarakatan. Saya pasti walaupun beliau akan bersara dari AMP, beliau akan tetap menyumbang kepada masyarakat dengan cara beliau tersendiri,” Cik Rahayu memberitahu BERITAmediacorp.

CEO Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Tuminah Sapawi, pula memuji Encik Anuar sebagai seorang yang "berwawasan”.

“Sepanjang kepimpinannya, Encik Anuar telah mengukuhkan AMP dengan pelbagai inisiatif yang relevan. Sebagai pemimpin badan Melayu/Islam, Encik Anuar mudah bekerjasama dengan pemimpin Melayu/Islam yang lain,” kata Cik Tuminah, yang juga pernah menjadi CEO MENDAKI, kepada BERITAmediacorp.

"Semasa saya mengetuai MENDAKI, kami sering berbincang untuk memikirkan usaha memperkasakan masyarakat Melayu/Islam."

Encik Zhulkarnain Rahim pula menyifatkan Encik Anuar sebagai “simbol AMP”.

“Encik Anuar begitu berdedikasi dan ikhlas berkhidmat untuk masyarakat. Beliau berkongsi dengan saya tentang perjalanan lalu AMP dan memberikan panduan berharga semasa kami membuat perancangan masa depan. Bagi saya, Encik Anuar adalah simbol institusi ini (AMP),” kata Encik Zhulkarnain yang berkhidmat secara sukarela di AMP sejak lima tahun lalu sebelum melepaskan jawatan Pengerusi AMP tahun ini.

Encik Zhul menambah, Encik Anuar juga seorang yang sangat terbuka menerima perubahan dan inisiatif-inisiatif baru, seperti Program Pembangunan dan Integrasi Semula (DRP) dan CommaCon, iaitu wadah untuk para belia mengadakan perbincangan terbuka dan jujur tentang topik-topik yang menimbulkan kontroversi.

PENCAPAIAN DAN SUMBANGAN ANUAR YUSOP

Meskipun Encik Anuar menyandang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif AMP selama 15 tahun. Hakikatnya, beliau sudah berbakti kepada pertubuhan itu hampir 30 tahun lamanya. Lebih tepat lagi, 28 tahun!

Perjuangan Encik Anuar bersama AMP bermula kira-kira tiga dekad yang lalu semasa konvensyen kebangsaan AMP pertama pada Oktober 1990.

Beliau begitu tertarik dengan kesungguhan para karyawan Melayu/Islam untuk berkhidmat demi mempertingkat taraf hidup masyarakat.

Encik Anuar kemudian menyertai AMP sebagai pengurus sukarelawan bagi jawatankuasa pendidikan semasa badan itu ditubuhkan pada 10 Oktober 1991. Beliau kemudian dilantik pula menjadi anggota lembaga AMP pada 1996 sebelum melepaskan jawatan tersebut selepas lapan tahun.

Tanggungjawabnya sebagai Pengarah Eksekutif AMP pula bermula pada Februari 2005. Sejak menyandang jawatan itu, Encik Anuar memacu AMP ke satu tahap kecemerlangan yang boleh dibanggakan sebagai sebuah pertubuhan yang membantu pelajar dan belia Melayu/Islam dari segi pendidikan, membela nasib keluarga-keluarga kurang berkemampuan dan sebagainya.

Dari kewangan dan juga program-program yang dijalankan, kepimpinan Encik Anuar cukup baik. Beliau boleh dianggap sebagai seorang ‘pakar’ dalam mencari dana.

Pendapatan yang diraih AMP, meningkat kepada S$18 juta berbanding hanya S$7 juta pada 2005 ketika beliau baru dipilih memimpin AMP. Aset bersih AMP pula melonjak sekitar tujuh kali ganda - dari S$2.98 juta pada 2004 kepada S$14.4 juta pada tahun ini.

“Walaupun kita memiliki dua unit hartanah dalam Guthrie Building, penting untuk kita menambah pendapatan dengan cara-cara lain. Contohnya, dalam pelaburan.

“Di sinilah, bersama-sama dengan Jawatankuasa Pelaburan Kewangan, saya menyelaraskan pembelian saham-saham dalam syarikat-syarikat awam yang tersenarai. Khususnya dalam Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) sebagai cara meningkatkan pendapatan. Pulangannya adalah bagus, Alhamdulillah,” menurut beliau lagi dalam laporan kewangan AMP 2019.

Selain itu, jumlah kakitangan AMP juga sudah bertambah. Daripada 32 orang sekitar sedekad lalu, menjadi 54 orang hari ini. Jika dikira lagi 250 kakitangan di MERCU pula, kakitangan keseluruhan AMP kini adalah lebih 300 orang.

Tahun lalu sahaja, AMP menjadi satu-satunya pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dan yang pertama yang menerima anugerah bagi amalan-amalan dan dasar-dasar terpuji dalam sektor sumber manusia (HR).

Jumlah kakitangan yang bertambah membolehkan pertubuhan itu meluaskan program dan khidmat yang disediakan kepada lebih ramai orang-orang yang memerlukan. Antaranya termasuk khidmat-khidmat khas buat para pesalah dadah dan keluarga mereka serta orang-orang yang dibelenggu masalah hutang.

Pada 2007, AMP meluaskan Program Pasangan Muda, yang dimulakan pada tahun 1990-an, kepada INSPIRASI@AMP. Program ini menerima sokongan kuat daripada pemerintah dan bekerjasama dengan rakan pertubuhan INSPIRASI@PPIS.

“Bidang-bidang ini tidaklah ‘glamor’ tetapi ia adalah cabaran-cabaran berterusan dalam masyarakat kita dan boleh menghambat kemajuan kita sebagai sebuah masyarakat.

“Jadi di AMP, kami melihat ini sebagai tanggungjawab untuk masyarakat dengan mengambil langkah pertama untuk cuba menghapuskan masalah sebelum ia melarat,” kata Encik Anuar dalam laporan yang sama.

Dalam usaha untuk mencapai matlamat AMP, Encik Anuar akur bahawa pertubuhan itu tidak boleh melakukannya sendirian. Oleh itu, beliau berusaha untuk menjalin hubungan muhibbah dengan rakan-rakan pertubuhan lain.

“Saya secara peribadi berusaha untuk menjalin hubungan baik dengan rakan-rakan pertubuhan dan pihak-pihak berkepentingan sejak sedekad lalu. Hanya apabila kita bekerjasama, kita boleh membuat perubahan dalam masyarakat,” ujar beliau.

MEMANDANG KE HADAPAN

Encik Zhulkarnain yakin individu yang mengambil alih jawatan Pengarah Eksekutif baru AMP nanti akan menerima sokongan padu daripada lembaga dan kakitangan badan itu.

“Lelaki atau wanita, ini akan menunjukkan komitmen AMP kepada perubahan tampuk kepimpinan sebagai usaha menyuntik kesegaran ke dalam organisasi itu.

“Harapan saya agar pengarah eksekutif baru itu akan berwawasan, inklusif dan inovatif dalam pendekatannya untuk memacu AMP ke sebuah dekad yang baru,” Encik Zhulkarnain memberitahu BERITAmediacorp.

Yang pasti, pada tahun 2021 nanti, AMP akan meraikan ulang tahunnya yang ke-30.

AMP akan terus membangunkan idea-idea baru dan membawa masyarakat Melayu ke peringkat lebih tinggi berteraskan asas-asas kukuh yang dibina di bawah kepimpinan Encik Anuar. Ini lebih-lebih lagi kerana konvensyen keempat AMP akan diadakan pada 2022. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan