Images
  • halimah enterprise
    Presiden Halimah Yacob melancarkan sebuah perusahaan sosial F&B. (Gambar: MCI/Clement)

Perubahan baru diperkenal tahun ini bagi Anugerah Perusahaan Sosial

SINGAPURA: Beberapa perubahan akan diperkenalkan terhadap Anugerah Perusahaan Sosial Cabaran Presiden tahun ini. Peningkatan penting itu bertujuan membangun landskap perusahaan sosial di sini.

Antara perubahan itu termasuk memberi lebih banyak pengiktirafan kepada perusahaan sosial yang memanfaatkan teknologi baru.

Satu anugerah baru yang diberi nama Juara Perusahaan Sosial Tahunan dilancarkan Presiden Halimah Yacob hari ini (11 Jun). Ia mengiktiraf mereka yang memberikan sumbangan besar kepada perusahaan-perusahaan sosial di sini.

Perubahan kepada penilaian juga akan dilakukan bagi dua lagi anugerah yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan teknologi.

"Dapatlah kita terus memberikan sokongan mengadakan sekitaran yang berwawasan untuk perusahaan sosial kita supaya kita boleh lihat perusahaan sosial yang mampu bertahan lama dan juga pada masa yang sama, memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan," ujar Presiden Halimah.

Puan Halimah juga menggesa agar perusahaan sosial mengamalkan teknologi sebagai sebahagian daripada inisiatif mereka.

"Isunya adalah memastikan bahawa mereka dapat meningkatkan operasi yang mampan dan mempunyai kesan sosial besar. Oleh itu, mereka perlu memanfaatkan teknologi kerana inilah dunia yang kita hidup sekarang. Maka itu, tumpuan lebih banyak akan diberikan kepada inisiatif teknologi yang diusahakan syarikat dalam menentukan anugerah tersebut," jelas Presiden Halimah lanjut. 

- CNA/RU/fz

Top