Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertunjukan bunga api sejam sempena Sambutan Tahun Baru Marina Bay 2019

Buat julung-julung kalinya, pertunjukan bunga api selama sejam akan mewarnai acara kemuncak Sambutan Tahun Baru Marina Bay 2019, sempena menyambut kedatangan tahun baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Dec 2018 02:07PM Dikemas Kini : 05 Dec 2018 09:45PM

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, pertunjukan bunga api selama sejam akan mewarnai acara kemuncak Sambutan Tahun Baru Marina Bay 2019, sempena menyambut kedatangan tahun baru.

Pertunjukan bunga api muzikal itu akan menampilkan persembahan piroteknik, kesan lampu dan bunyi 3D serta persembahan pemain dram Taiko, penari dan pertunjukan api. Demikian menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan media hari ini (5 Dis).

Buat pertama kalinya juga, tiada bayaran dikenakan bagi menikmati konsert 'Let's Celebrate 2019' anjuran Mediacorp bagi menyambut kedatangan tahun baru di The Promontory.

Acara kira detik Tahun Baru Marina Bay Singapore Countdown 2019 juga akan menampilkan inisiatif Membangunkan Impian atau 'Build a Dream' - iaitu satu usaha bersama untuk membantu golongan kurang berkemampuan mencapai impian dan pembangunan peribadi mereka.

Hasil karya para pelajar dan penerima bantuan dari sekolah-sekolah tempatan serta pertubuhan-pertubuhan kebajikan juga akan dipancarkan di permukaan bangunan-bangunan mercu tanda utama sekitar Marina Bay, dalam satu pertunjukan cahaya yang berwarna warni.

"Sambutan Tahun Baru Marina Bay merupakan acara penting yang memikat penduduk tempatan dan pengunjung asing kerana ia menawarkan suasana bandar yang unik dan penuh bersemangat bagi setiap orang menikmati kedatangan Tahun Baru," kata Lim Eng Hwee, Ketua Pegawai Eksekutif URA.

"Sedang kita semua sama-sama menyambut Tahun Baru dan menikmati kegiatan yang disediakan, kami berharap orang awam juga akan rasa terdorong untuk memainkan peranan membantu golongan kurang berkemampuan menerusi inisiatif Membangunkan Impian."

Pelbagai kegiatan dan acara juga akan diadakan di beberapa lagi hab acara di sekitar Marina Bay dan Kawasan Pusat Bandar (CBD).  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan