Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertumbuhan jumlah penduduk di Singapura paling perlahan sejak kemerdekaan: Banci Penduduk 2020

Jumlah penduduk Singapura menyaksikan pertumbuhan terendah dalam sedekad sejak kemerdekaan. Ia tumbuh 1.1 peratus setahun antara 2010 hingga 2020, lebih rendah berbanding 2.5 peratus setahun antara 2000 hingga 2010.

Anggaran Waktu Membaca:
Pertumbuhan jumlah penduduk di Singapura paling perlahan sejak kemerdekaan: Banci Penduduk 2020

(Gambar fail: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 16 Jun 2021 02:10PM Dikemas Kini : 16 Jun 2021 02:16PM

SINGAPURA: Jumlah penduduk Singapura menyaksikan pertumbuhan terendah dalam sedekad sejak kemerdekaan. Ia tumbuh 1.1 peratus setahun antara 2010 hingga 2020, lebih rendah berbanding 2.5 peratus setahun antara 2000 hingga 2010.

Ini adalah antara dapatan yang didedahkan pada Rabu (16 Jun) oleh Jabatan Perangkaan (DOS) dalam keluaran pertama perangkaan daripada banci penduduk bagi 2020. Maklumat lebih lanjut dari banci penduduk itu akan dikeluarkan pada Jumaat.

Banci penduduk itu merupakan pengumpulan perangkaan nasional terbesar di Singapura - dilakukan sekali setiap sedekad untuk mengumpulkan data seperti demografi, sosial dan ekonomi. Sebanyak 150,000 keluarga ditinjau tahun lalu.

"Ini menunjukkan kita kedudukan kita, di mana kita sekarang, dan mengenal pasti beberapa perkara yang perlu kita atasi melangkah ke hadapan," kata Cik Indranee Rajah, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang menyelia Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional.

Meskipun beberapa data akan terjejas kerana tinjauan dilakukan di tengah-tengah pandemik COVID-19, beliau berkata bahawa banci penduduk tersebut menunjukkan "tren yang luas selama tempoh satu dekad ini ... walaupun terdapat keganjilan dalam satu tahun setengah yang terakhir".

PERTUMBUHAN WARGA, PR DAN BUKAN PENDUDUK

Jumlah penduduk tumbuh dari 5.08 juta pada 2010 kepada 5.69 juta pada 2020. Dalam perangkaan ini, jumlah warga negara meningkat dari 3.23 juta kepada 3.52 juta, sementara jumlah penduduk tetap kekal "stabil" pada sekitar setengah juta, menurut banci itu.

Bilangan bukan penduduk meningkat dari 1.31 juta kepada 1.64 juta.

Cik Indranee menarik perhatian bahawa warga Singapura menyumbang peratusan pertumbuhan yang lebih besar pada dekad ini, sementara golongan bukan penduduk bertambah dengan rentak yang lebih perlahan daripada sebelumnya.

DOS juga menyatakan komposisi etnik untuk warga Singapura dan penduduk tetap kekal stabil.

Pada masa yang sama, jumlah penduduk negara ini terus semakin menua. Pada 2020, 15.2 peratus jumlah penduduk berusia 65 tahun dan ke atas, meningkat daripada 9 peratus pada 2010.

Umur median populasi penduduk juga meningkat kepada 41.5 tahun pada 2020, daripada 37.4 tahun pada 2010.

LEBIH RAMAI MEMBUJANG

Banci penduduk itu juga menunjukkan bahawa semakin ramai yang membujang dalam beberapa kumpulan umur sepanjang sedekad yang lalu - terutamanya dalam kalangan penduduk muda berusia 25 hingga 34 tahun.

Peratusan orang yang membujang meningkat dalam kalangan semua kumpulan umur dalam lingkungan usia 20 hingga 49 tahun.

Peningkatan terbesar peratusan orang bujang dicatat dalam kalangan mereka yang berusia 25 hingga 29 tahun. Peratusan wanita yang tidak berkahwin dalam kumpulan ini meningkat daripada 54 peratus pada 2010 kepada 69 peratus, sementara lelaki bujang bertambah dari 74.6 peratus kepada 81.6 peratus dalam kumpulan usia ini.

Mereka yang berusia 30 hingga 34 tahun juga tidak jauh ketinggalan: Peratusan kaum Hawa yang membujang dalam kelompok ini meningkat dari 25.1 peratus kepada 32.8 peratus, sementara bagi kaum Adam lelaki meningkat dari 37.1 peratus kepada 41.9 peratus.

Apabila dibahagikan mengikut kumpulan etnik, data menunjukkan bahawa orang Cina mempunyai peratusan orang bujang yang paling tinggi.

Misalnya, pada 2020, dalam kalangan penduduk berusia 40 hingga 49 tahun, sekitar 17.4 peratus lelaki dan 18.6 peratus wanita Cina belum berumahtangga.

Ini lebih tinggi berbanding 15 peratus lelaki dan 9.2 wanita Melayu, dan 6.2 peratus lelaki dan 6.3 peratus wanita India.

JUMLAH KELAHIRAN MEROSOT

Pada masa yang sama, wanita pada umumnya semakin kurang melahirkan anak pada 2020 berbanding sedekad sebelumnya, dedah DOS.

Dalam kalangan penduduk wanita berusia 15 tahun ke atas yang pernah berkahwin, purata bilangan anak yang dilahirkan merosot bagi semua peringkat umur. Kadar itu merosot daripada 2.24 anak bagi setiap wanita pada 2010, kepada 2.04 pada 2020.

Kadar yang lebih rendah juga dicatat bagi semua kumpulan peringkat pendidikan, menurut DOS, sambil menambah bahawa kemerosotan terbesar disaksikan dalam kalangan wanita dengan kelayakan bawah peringkat sekolah menengah.

Pada 2010, wanita dalam kumpulan ini yang berusia 40 hingga 49 tahun mempunyai purata 2.21 anak, tetapi pada 2020, perangkaan ini susut kepada 2.01.

Namun, seiring dengan trend sebelumnya, wanita berpendidikan tinggi secara purata mempunyai jumlah anak yang lebih sedikit berbanding mereka yang mempunyai kelayakan pendidikan lebih rendah.

Dalam kalangan penduduk wanita ini yang berusia 40 hingga 49 tahun, lulusan universiti mempunyai purata 1.66 anak pada 2020 - lebih rendah daripada purata 1.94 anak dalam kalangan mereka yang mempunyai kelayakan sekolah menengah, menurut DOS.

TAHAP PENDIDIKAN MENINGKAT

Profil pendidikan populasi penduduk juga bertambah baik antara 2010 hingga 2020.

Pada 2020, dalam kalangan penduduk berusia 25 tahun ke atas, hampir 60 peratus daripadanya mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan pos-menengah. Jumlah ini meningkat daripada kurang 50 peratus pada 2010.

"Masyarakat Cina, Melayu, dan India semua mencatat peningkatan pencapaian pendidikan mereka," tambah DOS.

DOS menambah bahawa wanita telah "membuat kemajuan yang lebih signifikan" dalam aspek ini.

Sebagai contoh, dalam kalangan penduduk yang berusia 55 tahun ke atas pada 2020, peratusan lelaki dengan kelayakan pos-menengah atau lebih baik adalah 11.2 mata peratusan lebih tinggi berbanding wanita.

Jurang ini makin rapat kepada 2.4 peratusan mata bagi mereka yang berusia antara 35 hingga 44 tahun.

Antara mereka yang berusia 25 hingga 34 tahun pula, peratusan bagi wanita - 90.2 peratus - mengatasi sedikit perangkaan bagi lelaki, iaitu 90 peratus.

Secara keseluruhannya, kadar celik huruf meningkat kepada 97.1 peratus pada 2020, daripada 95.9 peratus pada 2010.

Dalam kalangan semua peringkat umur, kadar celik huruf dalam berbilang bahasa juga lebih tinggi atau kekal stabil.

Terdapat peningkatan keseluruhan kadar celik huruf dalam bahasa Inggeris bagi ketiga-tiga kumpulan etnik utama, kata DOS.

DATA MENGIKUT KUMPULAN ETNIK MASIH RELEVAN

Semasa sidang media tentang perkongsian data tersebut, Cik Indranee ditanya oleh para wartawan tentang relevannya pengumpulan data berdasarkan kategori etnik, memandangkan terdapat perbezaan ketara walaupun dalam kumpulan masing-masing.

Cik Indranee berkata menjadi sebuah negara berbilang kaum dan agama, adalah satu "usaha yang berterusan".

"(Ini) juga bermaksud bahawa anda tidak akan benar-benar sampai ke tahap pasca di mana (data berdasarkan) kaum itu sama sekali tidak penting."

Tambah beliau lagi: "Sekiranya anda tidak mempunyai data ini - kemudian katakanlah bahawa kumpulan etnik tertentu tidak begitu cemerlang berbanding yang lain. Anda tidak akan tahu berapa banyak, anda tidak akan tahu dalam bidang apa, anda tidak akan tahu sama ada masalahnya adalah mengenai pendidikan, atau masalahnya adalah tentang perkara lain.

"Yang anda ada hanyalah satu gumpalan besar data, dan anda tidak akan dapat mengatakan, sebenarnya kumpulan ini tidak menunjukkan kelakonan begitu baik. Apa sebabnya, bagaimana kita dapat membantu, campur tangan yang bagaimana dapat kita lakukan? "

"Pemikiran di sebalik data ini adalah: Sejauh mana kumpulan mungkin tidak setara dengan yang lain dalam bidang apa pun, maka ia memberitahu kita bahawa sebagai sebuah masyarakat dari segi dasar, maka kita harus melakukan sesuatu untuk cuba dan memastikan bahawa kita dapat merapatkan jurang," kata Cik Indranee. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan