Images
  • pa sarah bagharib standee
    (Gambar: Facebook/Sarah Bagharib, PA)

Pertemuan PA yang dibatalkan satu 'peluang yang dilepaskan bagi dialog membina', kata wanita dalam kontroversi 'standee'

SINGAPURA: Keputusan Persatuan Rakyat (PA) untuk membatalkan pertemuan dengan pasangan yang gambar majlis persandingan mereka dijadikan hiasan papan bergambar atau 'standee' adalah satu "peluang yang dilepaskan bagi dialog yang membina", kata Cik Sarah Bagharib, wanita dalam gambar itu.

Gambar bagi papan bergambar itu digunakan tanpa izin pasangan tersebut sebagai sebahagian daripada hiasan Hari Raya di estet Tiong Bahru di kawasan undi Radin Mas.

Pada Selasa (15 Jun), Cik Sarah, seorang pakar komunikasi, membalas kenyataan yang dikeluarkan PA pada Isnin yang menjelaskan mengapa persatuan itu memutuskan untuk tidak bertemu dengan dia dan suaminya, Encik Razif Abdullah.

PA menyatakan ia telah menawarkan pertemuan itu untuk memohon maaf kepada pasangan secara bersemuka, dan untuk memperjelas kedudukannya, menerangkan langkah-langkah yang telah diambilnya untuk elak kejadian tersebut daripada berulang, dan mendengar saranannya tentang bagaimana hal itu boleh diperbaiki.

PA, dalam kenyataan tersebut di Facebook, kemudian menjelaskan mengapa ia memutuskan untuk membatalkan pertemuan itu, dengan menyatakan bahawa komen yang dibuat oleh Cik Sarah secara online menyebabkan PA percaya bahawa tujuannya bertemu dengan mereka "melangkaui insiden Radin Mas".

PA juga mendakwa Cik Sarah "menyifatkan kejadian itu sebagai 'rasis'" dan bahawa dia "berkongsi dakwaan bahawa kejadian itu 'menggalakkan budaya perkauman'".

"Ini adalah tuduhan yang kami tolak. Walaupun kesilapan itu tidak sensitif dari segi budaya, itu jelas bukan rasis. Tidak tepat untuk mengemukakan tuduhan perkauman, tanpa asas, untuk mengapi-apikan emosi dan sentimen," menurut PA dalam kenyataan pada Isnin.

Persatuan itu menambah bahawa Cik Sarah telah mempelawa orang ramai secara online untuk berkongsi pandangan dan cadangan mereka kepada PA. Persatuan itu menyatakan bahawa pertemuan itu tidak boleh "dijadikan platform untuk dia menyalurkan pandangan dan komen orang-orang yang tiada kaitan dengan kejadian itu".

"Semua ini mendorong kami untuk mempercayai tujuannya bersetuju untuk bertemu dengan kami telah melangkaui kejadian Radin Mas. Oleh itu, kami tidak melihat apa-apa sebab untuk meneruskan pertemuan itu," tegas PA.

SARAH BAGHARIB MEMBALAS

Dalam catatan Instagram pada Selasa malam, Cik Sarah berkata adalah mengecewakan bahawa PA memutuskan untuk membatalkan pertemuan itu, yang dijadualkan berlangsung pada awal hari itu pada 10.00 pagi.

"Walaupun terdapat pelanggaran privasi dan hak milik intelek kami, niat kami adalah jelas dari awal - untuk menjadi warga negara yang aktif dan memberi sumbangan positif untuk menjadikan Singapura sebuah rumah yang lebih baik dan inklusif untuk anak perempuan kami," katanya.

"Kami merasakan ini adalah peluang yang dilepaskan bagi dialog yang membina; agar pandangan dan cadangan anggota masyarakat dapat disampaikan, dan juga untuk Persatuan Rakyat mendengar suara rakyat. Sayangnya, PA melepaskan peluang ini. "

Dia menambah bahawa kejadian itu tidak hanya menjejas dia dan suaminya melalui gambaran sambutan Hari Raya yang "tidak sensitif dari segi budaya", tetapi juga "masyarakat yang lebih meluas" yang menyambut Hari Raya.

"Kami akan terus menyokong pemahaman antara budaya yang lebih mendalam dan perpaduan sosial yang lebih besar dalam kehidupan seharian kita sebagai rakyat Singapura," kata Cik Sarah.

- CNA/TQ/tq

Top