Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertemuan dengan Mahathir "muhibah, berguna', kata PM Lee

Pertemuan antara Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dengan rakan sejawatannya di Malaysia, Perdana Menteri Mahathir Mohamad disifatkan sebagai "muhibbah dan berguna".

Anggaran Waktu Membaca:
Pertemuan dengan Mahathir "muhibah, berguna', kata PM Lee

PM Lee Hsien Loong selepas bertemu Dr Mahathir Mohamad, 19 Mei 2018. (Gambar: Lianne Chia)

Diterbitkan : 19 May 2018 04:24PM Dikemas Kini : 19 May 2018 04:27PM

PUTRAJAYA: Pertemuan antara Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dengan rakan sejawatannya di Malaysia, Perdana Menteri Mahathir Mohamad disifatkan sebagai "muhibbah dan berguna".

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan tentang apa yang menjadi tumpuan masing-masing, kata PM Lee hari ini (19 Mei).

Bercakap kepada para wartawan menyusuli lawatannya ke Malaysia untuk mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada 10 Mei lalu, PM Lee menekankan bahawa lawatan tersebut adalah kunjungan hormat bagi mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Dr Mahathir. Beliau menambah tiada "isu-isu dua hala yang besar" dibincangkan.

PM Lee juga berkata projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura tidak dibincangkan semasa lawatan tersebut.

Projek yang bakal menghubungkan kedua-dua negara menerusi kereta api laju itu dipersetujui di bawah pentadbiran mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak dan dijadual selesai menjelang tahun 2026.

Sungguhpun demikian, Dr Mahathir sebelum ini berkata semua projek besar akan disemak semula oleh kerajaan baru negara itu, dengan para kontraktor tempatan diutamakan.

PM Lee turut melahirkan harapan agar kedua-dua negara dapat terus mengadakan retreat secara kerap yang biasa diadakan oleh perdana menteri Singapura dan Malaysia.

"Saya berharap sebaik sahaja beliau (Dr Mahathir) menyelesaikan semua tugas dalam negeri yang menjadi keutamaannya sekarang, beliau dapat melakukan susulan (bagi projek HSR)," ujar PM Lee.

"Pada bulan November, kami menjadi tuan rumah kepada sidang puncak ASEAN dan saya mahu menyambut ketibaan beliau di Singapura."

PM Lee menambah bahawa Singapura sudah lama bekerjasama dengan Malaysia dan mengusahakan projek-projek bersama. Selain itu, terdapat juga isu-isu, katanya, yang timbul dari masa ke masa.

"Namun kerjasama kami sudah menunjukkan banyak kemajuan dan kami berharap untuk lebih maju serta meneruskan kejayaan yang sudah dicapai sebelum ini," kata PM Lee. "Saya rasa beliau juga berkongsi harapan itu."

Semasa lawatannya, PM Lee juga mengadakan pertemuan dengan ketua umum Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dan isteri beliau, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Wan Azizah Wan Ismail, untuk "menjalin semula hubungan muhibah" dengannya.

PM Lee berkata mereka "mengadakan perbualan umum" tentang bagaimana Encik Anwar melihat kemajuan di Malaysia, pandangan beliau tentang apa yang berlaku dan apakah rancangan beliau.

"Saya berkata kepadanya, beliau akan mengunjungi banyak negara di dunia. Jika beliau memerlukan masa untuk berfikir, menulis dan bermuhasabah, kami mengalu-alukan kedatangan beliau ke Singapura, kunjungi salah sebuah institusi kita dan menulis buku," kata PM Lee.

"Beliau kemudian berkata beliau akan menimbangkannya."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan