Images

Pertanyaan berkaitan keganasan keluarga naik 15%, MSF pantau lebih dekat mangsa

BERITAmediacorp: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan melakukan pemantauan lebih dekat terhadap keluarga-keluarga yang melaporkan menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Langkah itu diambil sedang negara ini menyaksikan peningkatan kes keganasan keluarga sejak tempoh 'circuit breaker' bermula 7 April lalu.

Jumlah pertanyaan berkaitan dengan kes keganasan keluarga pula meningkat sebanyak 15 peratus.

Setiausaha Parlimen Kanan MSF Profesor Madya Faishal Ibrahim mengongsi kadar membimbangkan itu sambil menambah pelbagai bantuan pemutus jangkitan akan dikemas kini bagi membantu golongan yang terjejas.

MSF: JUMLAH PERTANYAAN BERKAITAN KEGANASAN KELUARGA MENINGKAT 15%

Dr Faishal berkata peningkatan kes penderaan yang berlaku di negara ini bukan satu situasi yang tepencil.

Menurutnya perangkaan dari seluruh dunia sejak pandemik COVID-19 menunjukkan peningkatan terhadap kes keganasan dalam rumah tangga.


Bagi MSF, jumlah pertanyaan berkaitan dengan keganasan keluarga yang diterimanya, meningkat sebanyak 15 peratus sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Dr Faishal akur terdapat pelbagai sebab mengapa lebih banyak pertanyaan, mahupun kes keganasan dilaporkan.

"Jadi, ada unsur-unsur dan juga kenyataan yang kita dapat lihat bahawa 'circuit breaker' ada memberi kesan dalam kehidupan keluarga dan juga punca keganasan keluarga.

"Justeru, MSF akan sentiasa memantau keadaan dan memberikan pertolongan kepada keluarga dan mereka yang mengalami aspek keganasan keluarga masing-masing," kata Dr Faishal.


(Gambar fail Dr Faishal Ibrahim)

Tambahnya, faktor lain termasuk kecenderungan individu dalam keluarga yang mempunyai pengalaman mencederakan anggota keluarga yang lain.

"Apabila mereka tidak dapat keluar rumah mereka tinggal di rumah mereka pun tak ada tempat untuk keluar untuk meringankan tekanan mereka, justeru kita dapat melihat tekanan itu semakin meningkat dan simptomnya adalah keganasan keluarga," jelas beliau.

PUSAT PAKAR: PERTANYAAN BERKAITAN KEGANASAN KELUARGA MENINGKAT 45%

Dalam pada itu Dr Faishal menambah dalam tempoh yang sama, pusat pakar bagi keganasan keluarga serta Pusat Menggalak Alternatif terhadap Keganasan (PAVE), menerima sebanyak 480 pertanyaan.

Daripada 480 pertanyaan itu, 45 peratus adalah berkaitan dengan isu keganasan keluarga, lainnya merangkumi isu-isu seperti konflik, ketegangan dan pertikaian.


Dr Faishal menarik perhatian peningkatan mendadak dicatat dalam minggu ketiga langkah pemutus jangkitan dilaksanakan.

"Ada beberapa pusat pakar keganasan keluarga yang telah mendapatkan beberapa pertanyaan dimana 480 pertanyaan telah diterima.

"45 peratus daripadanya ada kaitan dengan keganasan keluarga, yang lain adalah isu-isu kekeluargaan dan kita dapat melihat jumlahnya meningkat dengan tinggi pada minggu ketiga 'circuit breaker'," tambahnya.

400,000 PERMOHONAN TRF DILULUSKAN

Dengan faktor ekonomi, misalnya kehilangan sumber pencarian, sebagai salah satu sebab utama yang membawa kepada tekanan dalam sesebuah keluarga, Dr Faishal menasihatkan golongan yang memerlukan bantuan kewangan untuk tampil mendapatkan pertolongan.

Pelbagai kemas kini katanya akan dilakukan bagi terus membantu golongan tersebut.

Skim Bantuan Jangka Panjang ComCare sebagai contoh akan dilanjutkan tiga bulan lagi kepada enam bulan.

"Pada mereka yang belum mendapatkan bantuan comcare, tempoh bantuan itu akan dilanjutkan bagi membantu mereka yang pendapatannya terjejas," tambahnya.

Dana Bantuan Kewangan (TRF) pula sudah meluluskan 400,000 daripada 600,000 permohonan setakat ini.

20,000 permohonan juga sudah diluluskan bagi Geran Sokongan COVID-19.  

- BERITAmediacorp/fz

Top