Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persiapan bagi pandemik seterusnya perlukan 'pemikiran baru kerjasama antarabangsa': Tharman

Keselamatan kesihatan sejagat "sangat kurang dibiayai" dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memerlukan lebih banyak sokongan untuk mengatasi pandemik seterusnya yang boleh melanda pada bila-bila masa, tegas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam pada Rabu (25 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Persiapan bagi pandemik seterusnya perlukan 'pemikiran baru kerjasama antarabangsa': Tharman

Encik Tharman Shamugaratnam di sebuah sidang media WHO di Geneva. (Gambar: WHO)

Diterbitkan : 26 Aug 2021 06:19PM Dikemas Kini : 26 Aug 2021 06:28PM

SINGAPURA: Keselamatan kesihatan sejagat "sangat kurang dibiayai" dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memerlukan lebih banyak sokongan untuk mengatasi pandemik seterusnya yang boleh melanda pada bila-bila masa, tegas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam pada Rabu (25 Ogos).

Oleh itu, persiapan bagi pandemik selanjutnya yang mungkin lebih teruk berbanding COVID-19 memerlukan "pemikiran baru mengenai kerjasama antarabangsa" kata beliau dalam sidang media bersama dengan Ketua Pengarah WHO Tedros Ghebreyesus di Geneva.

Mereka sebelum itu mengadakan perbincangan tentang saranan-saranan Panel Bebas Peringkat Tinggi G20 (G20 HLIP) mengenai Pendanaan bagi Kerjasama Global untuk Persiapan dan Respons Pandemik. Panel tersebut dipengerusikan bersama oleh Encik Tharman, Ketua Pengarah WTO Ngozi Okonjo-Iweala dan mantan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Lawrence Summers.

"Kami harus beralih daripada memikirkan tentang pendanaan bagi keselamatan sejagat dari segi bantuan asing kepada memikirkannya dari segi pelaburan strategik yang harus dibuat oleh semua negara, bukan sahaja untuk kebaikan masyarakat sejagat tetapi juga kerana ia adalah kepentingan setiap negara," jelas Encik Tharman.

"Ia adalah tentang pelaburan bersama dalam barangan awam sejagat yang boleh memanfaatkan semua negara, kaya atau miskin."

Ini termasuk membina kapasiti global dalam sistem-sistem amaran awal dan sistem One Health - iaitu satu pendekatan WHO untuk mencapai prestasi kesihatan awam lebih baik - dan memastikan kapasiti pengilangan vaksin dan bekalan lain yang dipertingkat dan diagihkan sama rata.

Encik Tharman menambah tentang perlunya membantu negara-negara berpendatan rendah dan sederhana untuk melabur dalam keupayaan nasional mereka demi mencegah dan mengesan penularan dari puncanya sekali gus menghentikan satu-satu pandemik.

"Kaeupayaan-keupayaan nasional itu memanfaatkan negara-negara tersebut dan juga memanfaatkan seluruh dunia," ujar beliau.

VAKSINASI KEUTAMAAN PENTING

Di tengah-tengah pandemik COVID-19, Encik Tharman menekankan pentingnya memberi vaksin kepada penduduk seantero dunia.

"Keutamaan pertama dan paling penting adalah untuk melaksanakan pelan tindakan yang dilakarkan oleh WHO, IMF dan rakan-rakan sekerja berbilang negara yang lain untuk memberi vaksin kepada sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk setiap negara sepanjang tahun depan," kata beliau.

Encik Tharman menambah bahawa dunia mudah dibelenggu pandemik COVID-19 yang berlarutan dengan gelomban berulang kali melanda negara-negara selain pandemik-pandemik pada masa depan juga.

"Kami boleh memperbetulkannya," jamin beliau.

"Sumber-sumber yang perlu dikerahkan adalah lebih banyak berbanding apa yang negara-negara dunia sanggup hulurkan sebelum ini. Tetapi sumbangan-sumbangan tersebut adalah pelaburan-pelaburan amat sedikit berbanding padah pandemik sekarang ini yang berlarutan dan kecil berbanding kesan pandemik-pandemik pada masa hadapan yang boleh dielak."

CARA-CARA UNTUK MEMPERKUKUH KERJASAMA BERBILANG NEGARA

Untuk melabur dalam barangan global pada skala yang diperlukan demi mencegah pandemik selanjutnya, perlu untuk negara-negara memperkukuh kerjasama antara satu sama lain, kata Encik Tharman.

Ini termasuk memperkukuhkan sokongan kepada WHO menerusi pendanaan lebih utuh dan boleh dipercayai serta dengan meningkatkan sumbangan berdasarkan penilaian, tambah beliau.

"Tiada huraian keselamatan pandemik yang tidak melibatkan WHO yang diperkukuh, diperkasa dan dijamin dari segi kewangan," kata Encik Tharman.

Beliau juga bercakap tentang menyusun semula tujuan institusi-institusi kewangan antarabangsa - demi menyokong tahap kesediaan negara-negara dalam waktu-waktu biasa dan untuk memberi respons yang pantas apabila berlakunya pandemik.

Maklum bahawa Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan bank-bank pembangunan berbilang negara mempunyai kemampuan untuk menjadi pemangkin pelaburan tempatan menerusi kepimpinan negara dan memanfaatkan pelaburan-pelaburan sektor swasta, beliau berkata: "Kita harus menjadikan pendanaan barangan awam sejagat bagi mewujudkan daya bingkas terhadap perubahan iklim serta keselamatan pandemik sebagai teras mandat institusi-institusi kewangan antarabangsa".

Encik Tharman menarik perhatian kepada pendanaan bagi kesihatan sejagat sekarang ini yang dibiayai pertubuhan-pertubuhan kesihatan global yang bertindak sendiri. Ia juga "kebanyakannya bergantung" kepada bantuan dua hala.

"Kesannya adalah kerjasama tidak sistematik yang rumit, tidak berkesan, tidak menentu dan pendanaan yang sangat tidak mencukupi," jelas beliau.

Oleh itu, panel yang dipengerusikan bersama menyarankan penubuhan mekanisme pendanaan berbilang negara bagi keselamatan kesihatan sejagat yang dipanggil Dana Ancaman Kesihatan Global.

Ia bertujuan menggunakan sekurang-kurangnya AS$10 bilion (S$13.5 bilion) setahun daripada masyarakat antarabangsa, kata Encik Tharman.

Dana Ancaman Kesihatan Global itu akan membiayai institusi-institusi dan rangkaian-rangkaian sedia ada serta mengutamakan dan mengutamakan semula berdasarkan "keperluan pada ketika itu," tambah beliau.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan