Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persatuan Muhammadiyah dilantik sebagai agensi titipan ke-5

Persatuan Muhammadiyah dilantik sebagai Agensi Titipan nasional kelima negara ini, dalam usaha memperluaskan lagi sektor jagaan titipan dalam masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
Persatuan Muhammadiyah dilantik sebagai agensi titipan ke-5

Gambar hiasan kanak-kanak sedang bermain. (Gambar: AFP)

SINGAPURA: Persatuan Muhammadiyah dilantik sebagai Agensi Titipan nasional kelima negara ini, dalam usaha memperluaskan lagi sektor jagaan titipan dalam masyarakat.

Pelantikan tersebut yang dibuat oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), berkuat kuasa sejak 1 Ogos lalu.

Demikian dedah MSF dalam satu kenyataan media hari ini (5 Sep).

Ini sekali gus menjadikan Persatuan Muhammadiyah badan Melayu/Islam kedua dilantik sebagai agensi titipan rasmi selepas Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Tiga lagi agensi titipan lain yang dilantik sejak tahun 2015 ialah Khidmat Keluarga Epworth, Boys' Town dan The Salvation Army.

Setiausaha Parlimen Kanan MSF, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata: "Agensi-agensi titipan memainkan peranan penting dalam mendampingi masyarakat bagi meningkatkan kesedaran kepada jagaan titipan.

"Dengan pelantikan Persatuan Muhammadiyah, iaitu satu lagi rakan persatuan yang memberi komitmen kepada kebajikan kanak-kanak tersebut, kami berharap dapat menyebarkan mesej titipan kepada lebih ramai keluarga."

510 KELUARGA, 542 ANAK TITIPAN

Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 510 keluarga titipan menjaga seramai 542 anak titipan.

Jagaan titipan adalah aturan sementara yang mana ibu bapa titipan menjaga kanak-kanak yang didera atau diabaikan, sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak ini membesar dalam sekitaran rumah yang terpelihara.

Dr Faishal turut mengucapkan terima kasih kepada para ibu bapa titipan yang "membuka hati dan rumah mereka" kepada kanak-kanak tersebut.

"Dengan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pindaan) yang diluluskan di parlimen baru-baru ini, kami meningkatkan usaha bagi memberi lebih banyak sokongan kepada ibu bapa titipan dengan memberi lebih banyak manfaat cuti jagaan kanak-kanak kepada mereka.

"Kami berharap lebih ramai keluarga tampil menjaga kanak-kanak ini," rayu Dr Faishal.

Sebagai sebahagian daripada usaha pendampingan berterusan, pameran bergerak mengenai keluarga dan anak titipan akan diadakan di Clementi Mall dari esok (6 Sep) hingga Ahad (8 Sep) dan di Wisma Geylang Serai pada Ahad ini.

Orang ramai yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai usaha titipan boleh mengunjungi pameran-pameran bergerak itu.

Butiran lanjut juga boleh didapati di laman www.msf.gov.sg/fostering

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan