Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perpaduan setiap lapisan masyarakat penting dalam tangani pelbagai sudut pengganasan

Menteri Negara Kanan Pertahanan, Dr Mohd Maliki Osman, menekankan lagi pentingnya perpaduan masyarakat dalam usaha menentang pengganasan dari pelbagai sudut - ideologi, ekonomi, aspek sosial dan politik.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Pertahanan, Dr Mohd Maliki Osman, menekankan lagi pentingnya perpaduan masyarakat dalam usaha menentang pengganasan dari pelbagai sudut - ideologi, ekonomi, aspek sosial dan politik.

Menurutnya lebih banyak yang harus dilakukan di peringkat masyarakat untuk membantu rakyat membangunkan daya tangkas bagi mengatasi pengganasan.

Beliau turut menggesa Muslim Singapura untuk terus membina jenama Islam mereka sendiri yang wujud dalam konteks negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam.

Dr Maliki berkongsi pandangan beliau itu semasa acara tayangan "Facing Terror", sebuah dokumentari terbitan Channel NewsAsia tentang psikologi dan ancaman fahaman pelampau di Asia Tenggara.

Dokumentari ini menampilkan koresponden CNA, Sujadi Siswo, menjelajah tiga negara - Singapura, Malaysia dan Indonesia, untuk bertemu para pemimpin agama dan pakar serta individu-individu yang pernah terjebak dalam fahaman pelampau.

Tujuannya untuk memahami dengan lebih mendalam psikologi di sebalik radikalisme dan apa yang boleh dilakukan untuk menangani pengaruh serta ancamannya.

Dokumentari ini, menurut Dr Maliki menekankan lagi pentingnya peranan masyarakat dalam membantu menghindari lebih ramai individu daripada menjadi radikal.

"Bagaimana kita boleh memahami konsep ini dan memahami bahawa walaupun mereka sudah terjebak, mereka boleh keluar daripada lingkaran tersebut dan dengan sokongan daripada masyarakat. Peranan masyarakat untuk memastikan tidak ramai yang mungkin akan terjebak dalam aspek sedemikian," kata beliau.

Dalam hal itu, beliau gembira melihat lebih ramai rakyat Singapura selesa dalam membincangkan isu-isu antara agama.

Beliau mengajak rakyat bukan Islam Singapura untuk terus mendukung usaha masyarakat Melayu/Islam sebagai sebahagian daripada masyarakat majmuk Singapura.

Dokumentari "Facing Terror" selama sejam ini disiarkan malam ini (30 Nov) di saluran Channel NewsAsia.

Rancangan itu ditayangankan sedang ancaman pengganasan di Asia Tenggara semakin meningkat, satu cabaran yang diketengahkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong awal bulan ini.

Encik Lee menarik perhatian meskipun kumpulan pengganas ISIS semakin hilang pengaruh di Syria dan Iraq, lebih banyak penyokongnya mungkin pulang ke Asia Tenggara.

Di Singapura sendiri, dua lelaki dan seorang wanita ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana pembabitan mereka dalam kegiatan pengganas.

"Untuk masyarakat Islam kita, kita lihat dan akur bahawa mereka sudah pun mengambil langkah-langkah untuk memberi kepastian dalam masyarakat Islam kita bahawa kita menolak sebulat suara pengganasan dan sebagainya," kata Dr Maliki lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan