Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Perniagaan seperti biasa' di Sentosa semasa sidang puncak Trump-Kim

Namun, ada juga perniagaan yang bimbang terjejas akibat sidang kemuncak tersebut

Anggaran Waktu Membaca:
'Perniagaan seperti biasa' di Sentosa semasa sidang puncak Trump-Kim

Gambar fail: ROSLAN RAHMAN/AFP

Diterbitkan : 07 Jun 2018 12:07PM Dikemas Kini : 07 Jun 2018 12:49PM

SINGAPURA: Kurang sehari selepas Capella Hotel di Sentosa, disahkan sebagai lokasi sidang puncak antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, Encik Putera Alexavier sudahpun dihubungi para pelanggan yang risau.

"Sejak mereka mendapat tahu yang ia (sidang kemuncak) akan diadakan di sini, telefon saya sentiasa berdering," ujar pengurus acara dan pemasaran di Mambo Beach Club kepada pihak Mediacorp.

Menurut beliau, antara lain para pelanggan ingin tahu bagaimana mereka akan terjejas, dan sama ada kelab tersebut akan ditutup.

Sentosa dan jalan penghubung ke pulau itu dari Harbourfront diwartakan pada Selasa (5 Jun) sebagai kawasan acara khas bagi sidang puncak yang dijadualkan pada 12 Jun. Langkah-langkah keselamatan tambahan akan dilaksanakan di pulau tersebut antara 10 hingga 15 Jun.

Dalam kawasan acara khas tersebut, terdapat zon khas - yang merangkumi Universal Studios Singapore dan Capella Hotel- di mana pemeriksaan keselamatan lebih ketat akan dijalankan ke atas individu dan kenderaan.

Namun, Encik Alexavier percaya bahawa perniagaan di kelab beliau yang terletak di Pantai Siloso, tidak akan terjejas kerana kebanyakan pelanggannya merupakan pelanggan tetap.

Pengasas dan CEO iFly Singapura, Encik Lawrence Koh, sependapat dengannya.

"Oleh kerana pertemuan itu secara amnya terbatas dalam kawasan Capella, kami tidak menjangkakan gangguan pada kawasan tarikan lain di Sentosa, termasuk tempat kami," kata Encik Koh, yang perniagaannya tereletak di kawasan pantai Siloso.

Tambah Encik Koh: "Namun, dengan langkah keselamatan yang dipertingkat, kami menasihati para pelanggan untuk datang awal bagi sesi penerbangan mereka, takut ada sebarang kegenjotan apabila memasuki Sentosa."

Meskipun demikian, ada juga perniagaan yang bimbang sidang puncak itu akan mengakibatkan masalah logistik, seperti penghantaran bekalan makanan.

Menurut seorang pekerja restoran Bali Thai yang terletak di Resorts World Sentosa, seorang pembekal sudahpun memberitahu yang pihaknya tidak dapat membuat penghantaran antara 10 hingga 18 Jun kerana sidang tersebut.

"Mereka menasihati agar kami buat pesanan awal, tetapi ini bukan cara biasa yang dilakukan," kongsi penolong pengurus, Rojanie Tiongson.

"Buat masa ini, satu pembekal sahaja, tetapi saya tidak pasti apa yang akan berlaku pada hari-hari mendatang," tambahnya.

Menerusi satu kenyataan, Syarikat Pembangunan Sentosa (SDC) "meminta kerjasama para tamu, penduduk dan pihak berkepentingan yang berkungjung ke kawasan berdekatan Capella Singapura"

"SDC ingin memberi jaminan kepada penduduk setempat dan pelancong bahawa perniagaan berjalan seperti biasa di pelbagai pusat tarikan yang unik di Sentosa, dan kami mengalu-alukan kedatangan anda ke pulau ini," kata seorang jurucakap SDC. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan