Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permohonon SPERS dibuka 7 Jul bagi rakyat S'pura pulang dari luar negara

Permohonan bagi Latihan Penempatan Sekolah bagi Rakyat Singapura yang Kembali Dari Luar Negara (SPERS) tahun ini akan dibuka mulai esok (7 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonon SPERS dibuka 7 Jul bagi rakyat S'pura pulang dari luar negara

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 06 Jul 2021 01:19PM Dikemas Kini : 06 Jul 2021 01:20PM

SINGAPURA: Permohonan bagi Latihan Penempatan Sekolah bagi Rakyat Singapura yang Kembali Dari Luar Negara (SPERS) tahun ini akan dibuka mulai esok (7 Jul).

Demikian menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan media hari ini (6 Jul).

Pelajar rakyat Singapura yang pulang dari luar negara yang ingin mendaftar untuk memasuki sekolah menengah, maktab rendah atau Institut Milennia pada 2022 boleh membuat permohonan melalui laman MOE.

Menjelang hujung setiap tahun, SPERS diadakan untuk membolehkan ibu bapa rakyat Singapura yang bekerja di luar negara untuk memohon bagi anak-anak mereka untuk memasuki sistem sekolah arus utama apabila keluarga itu berpindah kembali ke Singapura.

Anak-anak rakyat Singapura yang kembali dari luar negara perlu menduduki bagi satu set ujian SPERS terpusat dan kemudian menyatakan sekolah-sekolah pilihan mereka sebelum MOE menempatkan mereka di sekolah yang sesuai.

Ujian-ujian bagi mereka yang ingin memasuki Menengah 1 hingga 3 akan diadakan pada 21 September manakala ujian Prauniversiti akan diadakan pada 11 November.

Keputusan penempatan itu akan diumumkan pada Disember dan para pelajar boleh memasuki sekolah-sekolah baru mereka pada permulaan penggal sekolah pada 2022.

Para pelajar yang pulang ke Singapura lazimnya tidak boleh memasuki semula sistem sekolah di peringkat Menengah 4 dan Prauniversiti 2 kerana ia adalah tahun-tahun bagi peperiksaan kebangsaan, menurut MOE.

Mereka yang tidak dapat kembali tepat pada waktunya untuk menduduki ujian SPERS bagi sekolah-sekolah menengah pada September boleh berbuat demikian di bawah Latihan Penempatan Tambahan (SPE).

Permohonan bagi SPE akan dibuka pada Oktober, dengan ujian dijadual berlangsung pada 7 Disember. Para pemohon akan menerima keputusan pada 4 Februari tahun depan, dengan kemasukan bermula pada bulan yang sama.

Disebabkan situasi COVID-19, pelaksanaan latihan penempatan itu "bergantung kepada langkah-langkah pengurusan selamat nasional yang dilaksanakan sebelum dan semasa tarikh peperiksaan", menurut MOE.

"Ini bermakna kesemua calon perlu selesai menjalani perintah kuarantin atau notis jangan keluar rumah sebelum tarikh peperiksaan bagi memastikan keselamatan para calon dan pemeriksa, dan langkah-langkah pengurusan selamat akan dilaksanakan semasa ujian dijalankan. MOE akan memberi kemas kini kepada para pemohon jika terdapat sebarang perubahan atau pembatalan latihan," menurut MOE.

Rakyat Singapura yang pulang dari luar negara juga boleh memanfaatkan khidmat Penempatan Sekolah Terjamin MOE untuk mendapat tempat di sekolah yang berhampiran dengan kediaman mereka di Singapura.

Khidmat Penempatan Sekolah Terjamin itu memberi jaminan kepada pelajar yang pulang ke tanah air bahawa mereka akan diterima masuk ke sekolah yang mempunyai tempat kosong dan berdekatan dengan kediaman mereka, sebelum mereka pulang ke Singapura.

Pelajar juga tidak perlu menduduki sebarang ujian tertent. Sekalipun demikian, pihak sekolah boleh melakukan penilaian bagi menentukan tahap dan kursus untuk menempatkan pelajar itu.

Rakyat Singapura yang kembali ke tanah air dan mahu memasuki peringkat sekolah rendah boleh menghubungi MOE pada bila-bila masa sepanjang tahun untuk mendapatkan bantuan dan tidak perlu menduduki ujian penempatan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan