Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permohonan dibuka untuk anggotai panel rakyat; bincang keseimbangan kerja dan hidup

Permohonan untuk menyertai sebuah panel rakyat dibuka kepada orang ramai mulai hari ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan dibuka untuk anggotai panel rakyat; bincang keseimbangan kerja dan hidup

Orang ramai menyeberang jalan di kawasan pusat bandar Singapura. (Gambar fail: Ngau Kai Yan)

Diterbitkan : 15 Jul 2019 05:23PM Dikemas Kini : 15 Jul 2019 05:27PM

SINGAPURA: Permohonan untuk menyertai sebuah panel rakyat dibuka kepada orang ramai mulai hari ini. Panel itu bagi membincangkan serta membuat saranan tentang isu-isu mengenai keseimbangan antara kerja dengan kehidupan. Demikian diumumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin (15 Jul).

Pertama kali diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Jun lalu, panel tersebut merupakan sebahagian daripada siri usaha Pemerintah untuk mendekati rakyat Singapura berhubung isu-isu perkahwinan dan keibubapaan yang dipimpin oleh Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo.

Sekitar 50 anggota masyarakat akan dipilih untuk menyertai dalam perbincangan selama empat sesi itu.

"Sepanjang empat sesi itu, peserta akan mempertimbangkan, membincang dan membuat cadangan mengenai cara bagaimana kita, sebagai sebuah masyarakat, boleh mewujudkan huraian untuk mewujudkan keseimbangan kerja dan kehidupan di Singapura," jelas PMO dalam kenyataannya.

"Para peserta dalam panel itu mengambil tanggungjawab atas buah fikiran mereka dengan melakarkan cadangan mereka sendiri yang kemudian akan dibentangkan kepada Pemerintah pada November 2019."

Pemerintah akan menilai dan memberikan respons terhadap cadangan-cadangan panel itu awal tahun depan.

Panel rakyat itu adalah peluang bagi rakyat Singapura untuk bekerja langsung dengan Pemerintah dan "membentuk persetujuan baru", menurut kenyataan media tersebut.

Matlamat panel itu adalah untuk "mengenal pasti faktor dasar" dan mendapatkan pandangan mendalam mengenai isu-isu yang mempengaruhi keseimbangan kerja dengan kehidupan rakyat Singapura, dalam konteks menyokong keluarga.

Ia juga akan "mengenal pasti pengorbanan dan huraiannya", termasuk yang boleh dilakukan secara langsung oleh pemilik perniagaan, penyelia dan pekerja bagi mewujudkan keadaan seimbang antara kerja dengan kehidupan di Singapura.

Menurut PMO: "Budaya kerja dan norma sosial di tempat kerja adalah pengaruh yang kuat dalam rakyat Singapura memilih tempat kerja dan kehidupan peribadi mereka termasuk keputusan mereka mengenai janji temu, perkahwinan, mempunyai anak serta menjaga keluarga".

"Terdapat dasar-dasar sedia ada untuk menyokong amalan tempat kerja mesra keluarga."

Ia menambah: "Bagaimanapun, dasar-dasar ini juga perlu dilengkapi dengan anjakan budaya dan minda yang tidak dapat ditentukan oleh dasar-dasar Pemerintah sahaja."

Rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas boleh membuat permohonan mulai Isnin (15 Jul) hingga 31 Jul di laman web http://www.ideas.gov.sg/public/CitizensPanel_WorkLifeHarmony.

Mereka yang dipilih akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada awal September.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan