Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan tinggi bagi flat BTO di estet belum matang berbanding estet matang dalam sesi penjualan Ogos

Permintaan bagi flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) di estet-estet belum matang adalah jauh lebih tinggi berbanding estet matang dalam sesi penjualan bulan Ogos, menurut data Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Rabu (18 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Permintaan tinggi bagi flat BTO di estet belum matang berbanding estet matang dalam sesi penjualan Ogos

Sesi penjualan BTO Ogos 2021 (dari kiri mengikut putaran jam): Hougang Citrine, Kovan Wellspring, Towner Residences, Queens Arc. (Gambar-gambar: HDB)

Diterbitkan : 18 Aug 2021 09:16PM Dikemas Kini : 18 Aug 2021 09:24PM

SINGAPURA: Permintaan bagi flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) di estet-estet belum matang adalah jauh lebih tinggi berbanding estet matang dalam sesi penjualan bulan Ogos, menurut data Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Rabu (18 Ogos).

Permohonan ditutup pada tengah malam Selasa (17 Ogos) dengan perangkaan terkini dikeluarkan pada petang Rabu. Hampir 5,000 unit ditawarkan dalam sesi tersebut.

Tawaran BTO kali ini adalah yang pertama tahun ini di mana permintaan bagi flat HDB di estet belum matang melebihi permintaan di estet-estet matang.

Lazimnya, estet-estet matang meraih lebih banyak permintaan disebabkan kemudahan yang disediakan, kata Encik Thomas Tan, ketua pegawai operasi ERA Singapore.

Sesi penjualan bulan ini juga menyaksikan jumlah permohonan tertinggi sejak Ogos 2020, iaitu sesi pelancaran BTO yang pertama selepas tempoh "pemutus jangkitan" COVID-19.

PERMINTAAN MELONJAK BAGI FLAT DI ESTET BELUM MATANG

Permintaan bagi flat BTO di dua estet belum matang - Hougang dan Jurong East - melonjak dalam sesi terbaru bulan Ogos.
Flat empat bilik di Hougang mendapat permintaan tertinggi dengan sebanyak 11,400 pemohonan bagi 459 unit yang ditawarkan. Ini bermakna setiap pemohon hanya mempunyai peluang 4 peratus untuk mendapatkan sebuah unit.

Dengan lebih 18 pemohon kali pertama bagi setiap flat empat bilik di Hougang, kadar permohonan itu yang tertinggi dicatatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Salah satu daya tarikan utama bagi projek BTO Kovan Wellspring itu adalah lokasinya yang terletak bersebelahan sebuah stesen MRT, kata pengarah kanan kajian di Huttons Asia Encik Lee Sze Teck.

Pembangunan di Kovan itu juga "sangat popular" kerana hanya ada sebilangan kecil flat BTO baru di kawasan itu, kata naib presiden kanan kajian dan analisis di OrangeTee & Tie, Cik Christine Sun.

Bagi projek BTO Hougang Citrine, ia terletak dekat dengan Sekolah Perempuan Paya Lebar Methodist dan Maris Stella High - kedua-duanya "popular dalam kalangan ibu bapa", katanya.

Selain itu, flat empat bilik bagi projek BTO Toh Guan Grove di Jurong East juga mendapat permintaan tinggi. Sebanyak 3,628 permohonan diterima bagi 240 unit yang ditawarkan. Ini bermakna setiap pemohon hanya mempunyai 6.6 peratus peluang untuk mendapatkan unit.

Malah, terdapat permintaan "terpendam" di kawasan Jurong East kerana tidak banyak projek BTO dilancarkan di sana, kata Encik Lee dan Cik Sun.

Projek BTO itu juga yang pertama di Jurong East selepas 10 tahun dan ia terletak berhampiran sebuah stesen MRT Laluan Daerah Jurong (JRL) akan datang.

Kedua-dua Hougang Citrine dan Toh Guan Grove dijadual mengambil masa empat tahun untuk dibina.

Secara keseluruhan, terdapat lebih 18,600 permohonan bagi flat BTO tiga bilik atau lebih besar di estet-estet belum matang meskipun hanya 1,064 unit yang ditawarkan iaitu lebih daripada 17 pemohon bagi setiap unit.

ESTET MATANG

Dengan 2,883 flat tiga bilik atau lebih besar ditawarkan di estet-estet matang, jumlah itu yang tertinggi ditawarkan dalam satu-satu sesi penjualan BTO sejak November tahun lalu.

Projek-projek BTO di kawasan Kallang Whampoa, Queenstown dan Tampines, menarik hampir 15,000 pemohon, iaitu kira-kira lima pemohon bagi setiap unit.

Sebuah flat empat bilik di Towner Residences di Kallang Whampoa menarik permintaan tertinggi dengan 1,928 pemohon bagi 226 unit.

Ini bermakna lebih lapan pemohon bersaing bagi setiap unit - sekitar 11.8 peratus peluang bagi setiap pemohon untuk mendapatkan rumah.

Projek Queen's Arc di Queenstown pula menerima lebih 4,000 permohonan bagi 534 unit yang ditawarkan. Ini bermakna setiap pemohon hanya mempunyai 12.5 peratus peluang untuk mendapatkan sebuah unit.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan