Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Permintaan bagi khidmat jagaan warga emas di rumah dijangka terus meningkat

Permintaan bagi khidmat penjagaan dan rawatan warga emas di rumah dijangka terus meningkat, disebabkan anggota keluarga yang ingin berehat seketika daripada pengurusan orang tua mereka. 

Anggaran Waktu Membaca:
Permintaan bagi khidmat jagaan warga emas di rumah dijangka terus meningkat

Gambar hiasan (Gambar: AP)

Diterbitkan : 28 Jul 2019 10:56PM Dikemas Kini : 28 Jul 2019 11:04PM

SINGAPURA: Permintaan bagi khidmat penjagaan dan rawatan warga emas di rumah dijangka terus meningkat, disebabkan anggota keluarga yang ingin berehat seketika daripada pengurusan orang tua mereka. Ramai keluarga juga lebih cenderung menjaga ibu bapa mereka yang sudah uzur dalam keselesaan rumah sendiri.

Satu kajian yang dijalankan Yayasan Lien-NUS pada 2018 yang menukil perangkaan dari Kementerian Kesihatan mendapati permintaan bagi khidmat penjagaan di rumah dan pusat jagaan warga emas mengatasi permintaan bagi rumah rawatan sebagai pilihan bagi jagaan jangka panjang di Singapura.

Sebagai contoh, Cik Lina, penjaga utama ibunya, Cik Fatimah yang mengalami demensia.

Beliau sering kali cuba memujuk ibunya yang berusia 72 tahun itu tinggal bersama keluarga beliau.

Namun, ibunya enggan berbuat demikian dan lebih betah tinggal sendirian di rumahnya sendiri.

"Beliau ingin hidup dan mati di rumahnya sendiri. Ini cara pemikiran orang tua," kata Cik Lina.

"Saya pernah fikirkan untuk menggajikan pembantu asing. Tapi saya bimbang juga kerana doktor pernah berkata ibu saya pesakit demensia yang 'agresif'. Saya bimbang reaksi beliau. Takut nanti beliau bertindak kasar dengan pembantu dan mereka akan saling menyakitkan satu sama lain."

Oleh yang demikian, Cik Lina perlukan seseorang yang terlatih dan memahami keadaan ibunya.

Lantaran itu, beliau mendapatkan khidmat penjagaan di rumah yang memadankan penjaga dengan pesakit warga tua.

Syarikat Homage menawarkan khidmat yang boleh ditempah online. Tempahan boleh dibuat berdasarkan keperluan harian seperti untuk menemankan pesakit atau membeli barang dapur hingga kepada pengurusan ubat.

Homage mempunyai senarai ribuan penjaga profesional dengan ada di kalangan mereka yang diberi latihan penjagaan jika tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kejururawatan.

Menurut perangkaan dari kajian Yayasan Lien-NUS, pada 2017 terdapat sekitar 14,000 orang yang mendapatkan khidmat bersubsidi bagi jagaan di rumah atau di pusat penjagaan warga emas.

Jumlah itu tambahan daripada 12,000 pada 2016 dan berbanding 10,000 yang dijaga di rumah rawatan pada 2017.

Secara purata, kos menghantar ibu bapa ke rumah rawatan menelan belanja sekitar S$2,400 sebulan tanpa subsidi.

Kos khidmat penjagaan di rumah pula boleh mencecah S$3,100 tanpa subsidi.

Kos menghantar warga emas ke pusat jagaan harian termasuk kos pengangkutan juga boleh menelan belanja sehingga S$2,500 sebulan.

Pemerintah prihatin akan keadaan ini dan sudah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan beban kepada penjaga.

Geran penjagaan di rumah sebanyak S$200 sebulan akan diperkenalkan menjelang hujung tahun ini bagi membantu penjaga menampung kos tersebut.

Mereka juga dibenarkan menggunakan caruman dalam akaun Medisave menjelang akhir tahun ini untuk membayar kos jagaan kesihatan adik-beradik mereka.

Ia sebahagian daripada Pelan Tindakan Sokongan bagi Penjaga yang diumumkan di Parlimen Februari lalu.

Meskipun demikian, Homage menjangkakan pertambahan 3 peratusan mata bagi khidmatnya.

Sebuah lagi syarikat penyedia khidmat serupa Comfort Keepers, menjangkakan pertumbuhan dua angka.

Ia kini mempunyai 200 pelanggan.

Permintaan dijangka terus meningkat dengan satu daripada setiap empat rakyat Singapura dijangka berusia 65 tahun dan ke atas menjelang 2030 - naik daripada satu dalam setiap tujuh orang sekarang ini.  

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan