Images
  • singapore fishmonger market
    Suasana di sebuah kedai ikan di S'pura pada 6 Jan 2021. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Perlu kembali ke Fasa 2 Kewaspadaan Dipertingkat; kes COVID-19 mungkin 'naik mendadak': MOH

SINGAPURA: Keputusan untuk kembali ke langkah-langkah kesihatan awam yang lebih ketat di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) adalah perlu, kerana jangkitan COVID-19 mungkin "melonjak mendadak" berdasarkan kadar penularan sekarang, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (20 Jul).

Ini setelah beberapa kelompok jangkitan yang dikaitkan dengan Pelabuhan Perikanan Jurong muncul, terutama di pasar basah dan pusat penjaja.

"Ini sangat membimbangkan, kerana ia boleh menjejas ramai orang dalam masyarakat kita di merata negeri," menurut MOH dalam satu kenyataan media.

Selain itu, tidak seperti kelompok KTV, yang awalnya merebak dalam kalangan segmen penduduk yang lebih muda, gelombang jangkitan terbaru itu menjejas " penduduk yang lebih meluas termasuk ramai warga emas", jelas MOH.

"Pada kadar jangkitan sekarang, terdapat kemungkinan kes jangkitan akan naik secara mendadak, dan ramai dalam masyarakat akan dijangkiti virus."

Lebih tepat lagi, antara 12 Jul dengan 18 Jul, terdapat purata 46 kes dikesan setiap hari dalam masyarakat - jumlah tertinggi sejak April 2020, jelas kementerian itu.

Ini walaupun beberapa usaha telah dijalankan untuk mengekang kelompok yang baru timbul - seperti meletakkan semua pekerja di pelabuhan di bawah kuarantin dan menjalankan ujian pengawasan beramai-ramai terhadap mereka yang bekerja di pasar tertentu dan gerai makanan dimasak.

Usaha pengesanan kontak terus dipertingkat, sementara penduduk yang tinggal dekat dengan pasar dinasihatkan agar mengurangkan pergerakan dan pergaulan sosial mereka, dan menggunakan alat uji DIY COVID-19.

Sedang ujian yang meluas terus dijalankan bagi individu yang terdedah kepada risiko jangkitan, jumlah kes dijangka meningkat dalam beberapa hari mendatang, tambah MOH.

MASA UNTUK TINGKATKAN KADAR VAKSINASI

Hampir separuh penduduk sudah selesai menjalani vaksinasi lengkap, namun masih ada sebilangan individu yang mudah terdedah, seperti warga emas, yang belum divaksinasi.

Ini menyebabkan mereka berdepan risiko lebih tinggi dijangkiti virus, dan mengalami sakit parah jika dijangkiti, kata kementerian itu.

Bercakap semasa sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19, Encik Gan Kim Yong, pengerusi bersama pasukan bertindak itu menekankan lagi bahawa warga emas menghadapi risiko di tengah-tengah kelompok yang semakin berkembang.

Dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang dijangkiti sepanjang tujuh hari lalu, 12 daripada mereka tidak divaksinasi. "Ini sangat membimbangkan kami, kerana hampir 30 peratus penduduk warga senja berusia lebih 70 tahun masih belum divaksinasi," kata Encik Gan.

MOH dalam kenyataan medianya menekankan bahawa ia telah "bertindak pantas" untuk mengekang penularan terbaru itu dan mengurangkan risiko beban berlebihan terhadap kapasiti hospital, sementara "berusaha untuk mempergiat suntikan vaksin kepada mereka yang belum selesaikan mendapatkan dos kedua atau yang baru memulakan vaksinasi mereka."

Kementerian itu menambah bahawa Singapura masih menepati sasaran untuk memastikan dua pertiga penduduknya menerima vaksinasi lengkap menjelang Hari Kebangsaan. Bahkan, ia menyasarkan "liputan perlindungan yang jauh lebih tinggi" dalam kalangan warga emas.

"KEMUNDURAN BESAR"

Encik Gan menambah bahawa buat masa ini (22 Jul hingga 18 Ogos) tiada perbezaan dari segi langkah bagi mereka yang sudah divaksinasi atau belum divaksinasi - namun langkah-langkah tersebut dapat dipertimbangkan sebaik sahaja keadaan kembali stabil.

Beliau juga akur bahawa khabar tersebut boleh dianggap "seperti satu kemunduran besar bagi ramai orang" yang telah mematuhi peraturan. Ia juga mungkin "sangat menghampakan dan mengecewakan banyak pihak", khususnya, perniagaan di sektor seperti F&B.

"Kami tahu bahawa tempoh 18 bulan lalu ini adalah mencabar, dan kami akan menghulurkan sokongan tambahan bagi perniagaan yang terjejas, ketika kami melakukan peralihan ini."

Encik Gan juga berkata bahawa ada juga yang mempersoalkan keputusan mengetatkan langkah-langkah, memandangkan rancangan Singapura untuk meneruskan kehidupan dengan norma COVID-19 dalam jangka panjang.

Beliau menekankan bahawa "arah tuju negara tidak berubah".

"Namun, ketika kami menggariskan rancangan untuk hidup dengan COVID, kami juga menekankan bahawa kita perlu meningkatkan kadar vaksinasi dengan ketara. Sementara itu, kita masih perlu memastikan jangkitan tetap terkawal, untuk melindungi mereka yang tidak divaksinasi, terutama warga emas."

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TQ/tq

Top