Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlu guna POFMA ke atas Bowyer; dana awam diurus dengan 'hemat', tegas Indranee Rajah

Tindakan mengeluarkan arahan pembetulan terhadap anggota parti pembangkang Brad Bowyer adalah perlu kerana beliau menyebarkan salah tanggapan bahawa dana awam tidak ditadbir dengan betul, tegas Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah pada Isnin (2 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Dec 2019 05:06PM Dikemas Kini : 02 Dec 2019 08:59PM

SINGAPURA: Tindakan mengeluarkan arahan pembetulan terhadap anggota parti pembangkang Brad Bowyer adalah perlu kerana beliau menyebarkan salah tanggapan bahawa dana awam tidak ditadbir dengan betul, tegas Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah pada Isnin (2 Dis).

“Pandangan serong dan salah tanggapan wujud apabila ia disebarkan secara aktif," kata beliau, yang menambah bahawa ini antara sebab mengapa Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) adalah perlu.

Bulan lalu, anggota Parti Kemajuan Singapura (PSP) Brad Bowyer diarahkan oleh Pejabat POFMA - atas arahan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat untuk menyertakan notis pembetulan di atas posnya di Facebook. Ia merupakan kali pertama undang-undang "berita palsu" negara ini digunakan.

Diwawancara semasa rancangan Asia First di saluran radio CNA938, Cik Indranee berkata terdapat tiga kenyataan palsu dalam catatan Encik Bowyer.

Kenyataan palsu pertama membayangkan Pemerintah mengawal keputusan pelaburan yang dibuat oleh Temasek dan GIC.

Ini adalah tidak benar kerana pemilihan pelaburan dibuat oleh pasukan pelaburan yang terdiri daripada profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

Kepalsuan kedua melibatkan projek Amaravati yang kini sudah dibatalkan. Ia adalah usaha sama antara Singapura dengan Andhra Pradesh untuk membangunkan ibu kota baru bagi wilayah selatan India itu.

Tegas Cik Indranee dua dakwaan yang dibuat Encik Bowyer juga adalah tidak benar. Beliau mendakwa "sebahagian besar" pelaburan S$4 bilion di Andhra Pradesh dimasukkan ke dalam projek Amaravati dan dana ditadbir dengan lemah oleh syarikat-syarikat berkaitan pelaburan Pemerintah (GLC) dan pihak-pihak berkaitan.

Kepalsuan terakhir oleh Encik Bowyer adalah Temasek membuat pelaburan ke dalam syarikat induk bermasalah yang merupakan sebuah rangkaian restoran kendalian warga Turki Nusret Gokce, dikenali juga sebagai Salt Bae.

Cik Indranee menjelaskan ini adalah tidak benar kerana restoran-restoran tersebut adalah milik syarikat D.ream International BV - yang menerima pelaburan Temasek - manakala syarikat yang dilaporkan menghadapi masalah kewangan adalah Dogus Hodling, salah satu pemegang saham D.ream Internatioanl BV.

Adalah perlu untuk ketiga-tiga kenyataan itu diperbetulkan kerana secara bersama, ia memberi "tanggapan keseluruhan" bahawa dana awam tidak ditadbir dengan baik oleh Temasek dan GIC, di bawah arahan Pemerintah, kata Cik Indranee.

"Ini adalah tidak benar kerana Temasek dan GIC, bersama-sama dengan MAS (Penguasa Kewangan Singapura), sebenarnya menyumbang sekitar 20 peratus pendapatan kepada belanjawan negara," tambah beliau, sambil menarik perhatian bahawa portfolio Temasek tumbuh tiga kali ganda dari S$100 bilion pada 2002 kepada lebih S$3000 bilion hari ini.

"Bercanggah dengan tanggapan yang dibentuk, dana awam ditadbirkan dengan hemat dan cermat bagi kebaikan umum. Lantaran itu adalah perlu untuk mengeluarkan arahan pembetulan," kata beliau.

Satu lagi arahan pembetulan di bawah POFMA dikeluarkan minggu lalu terhadap Encik Alex Tan Zhi Xiang, yang mentadbir laman web dan Facebook States Times Review.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan