Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlindungan insurans bagi lebih ramai pencarum kecil, pemandu privet

Lebih ramai pencarum kecil akan mendapat perlindungan insurans, sementara pemandu privet yang memandu kenderaan sendiri pula, akan diberi perlindungan insurans lebih luas selepas Rang Undang-Undang yang dipinda diluluskan di Parlimen hari ini (9 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Perlindungan insurans bagi lebih ramai pencarum kecil, pemandu privet

Gambar fail ATM di stesen MRT Orchard.

Diterbitkan : 09 Jul 2018 10:41PM Dikemas Kini : 09 Jul 2018 10:44PM

SINGAPURA: Lebih ramai pencarum kecil akan mendapat perlindungan insurans, sementara pemandu privet yang memandu kenderaan sendiri pula, akan diberi perlindungan insurans lebih luas selepas Rang Undang-Undang yang dipinda diluluskan di Parlimen hari ini (9 Jul).

Rang Undang-Undang (Pindaan) Skim Perlindungan Insurans Deposit dan Pemegang Polisi 2018, akan menyediakan perlindungan asas kepada pencarum kecil, dari S$50,000 buat masa ini kepada S$75,000.

"Meskipun tiada piawai antarabangsa berhubung perlindungan insurans yang disediakan, matlamat kami adalah untuk memastikan sebahagian besar pencarum diberikan perlindungan sepenuhnya," kata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung, yang juga anggota Lembaga Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Beliau berkata demikian semasa Pembacaan Kedua Rang Undang-Undang tersebut, bagi pihak Menteri Bertanggungjawab bagi MAS, Encik Tharman Shanmugaratnam.

Bagi menyokong had perlindungan insurans yang lebih tinggi sebanyak S$75,000, bayaran premium tahunan ke dalam Dana Insurans Deposit - di bawah Skim Insurans Deposit - akan dinaikkan sehingga satu mata asas bagi setiap anggota skim berkenaan.

SKIM PERLINDUNGAN PEMEGANG POLISI

Skim Perlindungan Pemegang Polisi ditubuhkan pada 2011 bagi merangkumi polisi-polisi insurans yang biasanya dibeli. Skim tersebut menyediakan pampasan bagi perlindungan nyawa, kemalangan dan kesihatan; dan juga insurans kenderaan, harta peribadi dan percutian, sekiranya syarikat insurans gagal menawarkan perlindungan yang sewajarnya.

Rang Undang-Undang itu akan memperkenalkan takrif baru bagi polisi-polisi insurans 'peribadi' yang akan secara berkesan memberi perlindungan lebih luas kepada tuntutan berkaitan kerosakan pada hartanah milik sendiri atau didiami seseorang individu, walaupun hartanah tersebut kadangkala digunakan bagi tujuan komersil.

Rang Undang-Undang itu juga memberi MAS kelonggaran untuk menetapkan had bagi bayaran untuk kelas-kelas atau jenis polisi atau tuntutan di bawah skim berkenaan. Buat masa ini, dana tersebut mungkin terdedah kepada tuntutan-tuntutan lebih besar, yang boleh menjejas kadar premium bagi semua pelanggan, kata Encik Ong.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan