Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlanggaran Polaris-Pireas: Bagaimana ia berlaku

Insiden perlanggaran kapal yang berdaftar di Greece dengan kapal Polaris dari Malaysia berlaku di perairan Singapura dekat Tuas pada petang Sabtu (9 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Feb 2019 08:27PM Dikemas Kini : 10 Feb 2019 09:09PM

SINGAPURA: Insiden perlanggaran kapal yang berdaftar di Greece dengan kapal Polaris dari Malaysia berlaku di perairan Singapura dekat Tuas pada petang Sabtu (9 Feb).

Kapal pengangkut pukal Pireas yang berdaftar di Greece itu sedang dalam perjalanan dari Singapura ke pelabuhan seterusnya di Tanjung Pelepas di Malaysia apabila perlanggaran itu berlaku.

Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) sudah melancarkan siasatan terhadap insiden itu, sedang Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) sekali menekankan "gesaannya agar Malaysia mengundurkan kapal-kapalnya dari kawasan tersebut".

APA ITU POLARIS?

Gambar MV Polaris. (Gambar: Abi Muaz Al Buduw/Facebook)

Gambar MV Polaris. (Gambar: Abi Muaz Al Buduw/Facebook)

Jabatan Laut Polaris adalah sebuah kapal penyenggaraan pelampung yang dibina pada 2017.

Kapal berukuran 84 meter dan selebar 16 meter itu boleh berada di laut selama 35 hari tanpa mengisi semula bekalannya.

Kapal tersebut dimiliki oleh Jabatan Laut Malaysia dan digunakan untuk menandakan kawasan atau perkara-perkara yang menjejas keselamatan.

Polaris sudah keluar masuk perairan Singapura sejak 3 Dis di tengah-tengah pertikaian maritim antara Singapura dengan Malaysia.

APA ITU PIREAS?

Pireas. (Gambar: MarineTraffic.com)

Menurut laman Marine Traffic, Pireas adalah kapal kargo sepanjang 200 meter yang dibina pada 2016. Kapal berukuran 225 meter dan selebar 32 meter itu didaftarkan di Greece.

BAGAIMANA PERLANGGARAN ITU BERLAKU?

Dalam responsnya, MPA menyatakan bahawa Piraes berlabuh di bahagian selatan Bedok untuk mengisi semula minyak semalam.

Setelah mengisi minyak, Pireas mengisytiharkan kepada MPA bahawa pelabuhan seterusnya adalah Tanjung Pelepas di Malaysia, menurut pihak berkuasa pada Ahad.

Pada jam 1.55 tengah hari, Pireas memasuki had pelabuhan Singapura dekat Tuas, sebelum mengurangkan kelajuan dan mengubah arahnya. Ia berlanggar dengan Polaris pada jam 2.28 petang.

"Selepas menghubungi Pireas, Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan MPA (POCC) mengarahkan Pireas supaya menghindari kawasan itu," menurut pihak berkuasa.

"Ketika itu, Pireas melaporkan bahawa sebelum menghubungi POCC MPA, ia berlanggar dengan Polaris dan tiada kerosakan pada kapal itu. Pireas memaklumkan bahawa perlanggaran itu berlaku ketika ia mencuba keluar dari kawasan itu," tambah MPA.

Tiada kecederaan atau kebocoran minyak dilaporkan.

Oleh kerana perlanggaran itu tidak dianggap begitu serius di bawah Kod Siasatan Kemalangan Marin Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Pireas dibenarkan meneruskan perjalanan ke Tanjung Pelepas, menurut MPA.

APA YANG BERLAKU SELEPAS PERLANGGARAN ITU?

Menurut MPA, ia sudah melancarkan siasatan dengan serta-merta kerana insiden itu berlaku di perairan Singapura.

Singapura juga sudah menghantar pemberitahuan rasmi mengenai perlanggaran itu kepada Jabatan Laut Malaysia dan Biro Hellenic di Greece bagi Siasatan Kemalangan Marin.

Selain itu, pihak berkuasa menyatakan bahawa ia sedang mengumpul dan menyemak semula maklumat, seperti rokod-rekod kapal dan rakaman video berhubung insiden itu.

Ia juga sudah meminta laporan rasmi mengenai insiden itu daripada kedua-dua kapal, dan sudah menghubungi ejen Pireas di Singapura untuk membantu siasatan. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan