Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perlanggaran MRT: Syarikat Thales boleh lakukan lebih baik dari itu - Khaw Boon Wan

Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata penyedia sistem isyarat MRT, Thales, berdepan dengan situasi yang mencabar.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Nov 2017 09:56PM Dikemas Kini : 21 Nov 2017 10:07PM

SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata penyedia sistem isyarat MRT, Thales, berdepan dengan situasi yang mencabar.

Ini memandangkan laluan kereta api yang sama beroperasi di bawah dua sistem isyarat berbeza.

Namun demikian Encik Khaw berkata syarikat itu boleh melakukan lebih baik daripada itu.

"Thales boleh lakukan lebih baik daripada itu, mereka mengakui kesilapan mereka, mereka telah meminta maaf," kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan.

"Jadi saya buat keputusan untuk tidak rumitkan keadaan, kita terus asingkan kedua-dua sistem. Jadi, kita ada sistem yang jelas. Sama ada sistem lama atau sistem baru.

Namun ini bermakna perlu sediakan khidmat bas untuk menghubungkannya," tambah beliau.

Encik Khaw berkata sedemikian dalam satu sidang media yang diadakan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bersama SMRT dan Thales. Hasil siasatan berhubung insiden 15 November lalu didedahkan dalam sidang tersebut.

Menurut SMRT dan Thales, perlanggaran Joo Koon disebabkan oleh "ciri-ciri keselamatan yang dimatikan secara mendadak" pada kereta api berkenaan.

"Kejadian ini berlaku bukan kerana kesilapan manusia," tambah SMRT.

Buat masa ini, sistem isyarat di Lanjutan Tuas West (TWE) dan stesen-stesen di Laluan Timur-Barat (EWL) akan tetap beroperasi secara "berasingan" untuk "mengelak komplikasi" yang berpotensi berlaku dengan adanya dua sistem berbeza, demikian menurut SMRT dan LTA.

Ini bermakna, perkhidmatan kereta api akan diberhentikan buat sementara waktu di dua stesen iaitu Joo Koon dan Gul Circle.

Penutupan dua stesen dan waktu operasi lebih pendek juga diumumkan sebelum ini.

"Saya rasa ini adalah keputusan yang baik," kata Encik Khaw. "Untuk memudahkan bagi Thales, sistem ini akan dijalankan secara berasingan."

Apabila ditanya kalau Pemerintah akan meminta ganti rugi dari Thales, Encik Khaw berkata: "Kita harus ikut syarat perjanjian. Saya akan membiarkan LTA urus soal ini".

Meskipun begitu, Thales dikatakan bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan bersama SMRT dan LTA.

"Kami merujuk kepada sumber-sumber dari seluruh dunia untuk mendapatkan pemahaman mendalam dan bermakna terhadap insiden itu," kata Naib Presiden Thales, Millar Crawford.

Beliau turut meminta maaf kepada para penumpang dan mereka yang tercedera dalam perlanggaran itu.  

Sumber : CNA/NF/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan