Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perkuburan Jalan Kubor diharap diiktiraf sebagai tapak bersejarah

Tanah perkuburan yang terletak di Jalan Kubor diharap dapat diiktiraf sebagai tapak bersejarah, sebagai salah satu usaha memulihara pusara tertua bagi orang-orang Melayu/Islam di sini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Tanah perkuburan yang terletak di Jalan Kubor diharap dapat diiktiraf sebagai tapak bersejarah, sebagai salah satu usaha memulihara pusara tertua bagi orang-orang Melayu/Islam di sini.

Itulah yang dikongsikan pakar seni bina Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Imran Tajudeen.

Ini selepas beliau dan sepasukan pengkaji menjalankan kajian ke atas kawasan perkuburan di Jalan Kubor bagi merakam sejarah orang Melayu terdahulu.

Hasil kajian itu lebih penting lagi sedang Singapura memperingati 200 tahun negara ini diasaskan, tahun depan.

(Batu nisan yang menggambarkan tulisan Bugis)

KUBUR CERMINKAN TRADISI NISAN & KEPELBAGAIAN BUDAYA

Sekali pandang tempat perkuburan di Jalan Kubor mungkin dianggap seperti kawasan perkuburan biasa.

Namun, sebenarnya kawasan perkuburan itu boleh dikatakan sebagai khazanah warisan negara.

Selain berperanan sebagai tanah perkuburan masyarakat sekitar 200 tahun dahulu, ia juga secara tidak langsung mencerminkan sejarah penting masyarakat dan pemimpin Melayu/Islam terdahulu.

Sebagai contoh, batu-batu nisan yang antara lain menunjukkan ciri-ciri aksara Bugis, Jawa, Gujarat, serta tulisan Cina dan Jawi selain merakam khat Arab lama.

Ini secara tidak langsung mencerminkan kepelbagaian budaya yang sudah wujud di negara ini, seawal abad ke-19 lagi.

Tradisi batu nisan yang merupakan sebahagian daripada hasil kajian projek yang diterajui Dr Imran Tajudeen, ditauliahkan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) untuk mengkaji plot pusara sebesar 33,900 meter persegi bagi menyelidik hubungan Singapura dan dunia Melayu.

"Nama-nama yang terdapat di Jalan Kubor, termasuk nama orang Bugis atau orang Makasar, Daeng atau Ambo dan sebagainya, nama-nama orang Jawa termasuk gelaran Jawa seperti Raden, Arya, terdapat di nisan di sana, batu nisan.

"Juga kita dapat lihat penambahan pada nama yang menunjukkan asal usul orang itu, misalnya di hujung nama diletak Banjar, di letak Jambi, Bawean, Surabaya, Pahang, Siak, Siantan dan pelbagai lagi," kongsi Dr Imran bersama pihak kami.

(Tapak perkuburan di Jalan Kubor. Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

'BATU JUBIN SUKAR DIBACA'

Namun kajian yang bermula empat tahun lalu itu bukan sesuatu yang mudah.

Menurut Dr Imran, selain jumlah kubur yang banyak, tumbuhan yang membesar dengan cepat, dan beberapa tulisan yang hilang daripada nisan merupakan antara cabaran yang dilalui oleh beliau dan pasukannya.

"Satu lagi tulisan pada kubur-kubur lama pada kubor ini sudah banyak yang kabur sesetengahnya, kalau pun tak kabur batu granit, batu jubin ini sukar sekali untuk dibaca kerana batunya sendiri sudah kasar bentuknya," tekannya lagi.

(Makam batu merah yang ditemui oleh Dr Imran dan pasukannya)

MERUNGKAI PENTARIKHAN SEBENAR TAMADUN MELAYU

Dr Imran berharap untuk melihat kawasan perkuburan ini diiktiraf sebagai tapak bersejarah, selain melihat usaha-usaha pencarian bukti sejarah terhadap mereka yang terdaftar di pusara tersebut selepas dikebumikan.

"Buat masa sekarang belum dijumpai daftar itu, jadi kita harus cari sampai jumpa, sebenarnya dulu ada, pernah keluar di suratkhabar tahun 1990-an ada daftarnya, cuma sekarang dah hilang.

"Yang kedua, ialah untuk menyemak semula tulisan yang ada pada batu-batu nisan itu kerana tidak semuanya dibaca dengan jelas," kata Dr Imran lagi.

Antara lain keturunan Sultan Hussein Shah disemadikan di kawasan bertembok perkuburan itu selain tokoh-tokoh bersejarah dan perintis seperti Ambo Sooloh.

Saranan lain termasuk usaha mendokumentasikan tarikh yang tercatat pada batu nisan sebagai sumber rujukan sejarah pada masa hadapan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan