Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perkembangan politik M'sia 'agak mengejutkan', kata pakar politik S'pura

Perkembangan kepimpinan politik Malaysia baru-baru ini disifatkan sebagai agak mengejutkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Feb 2020 10:21PM Dikemas Kini : 24 Feb 2020 10:52PM

SINGAPURA: Perkembangan kepimpinan politik Malaysia baru-baru ini disifatkan sebagai agak mengejutkan.

Demikian pandangan pakar politik dari ISEAS-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat berhubung keputusan Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"Ia berlaku dengan begitu cepat sekali. Ini menunjukkan bahawa ada semacam keretakan yang sedang berlaku dalam Pakatan Harapan itu sendiri yang membuat segelintir pemimpin-pemimpin ini terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang.

"Jadi apa yang berlaku dalam sekitar empat hari ini menunjukkan bahawa di sebalik tabir ada perbincangan-perbincangan ini dan apa yang berlaku mungkin mendorong Perdana Menteri Mahathir untuk meletak jawatan," kata Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.

Dr Norshahril menambah, terdapat beberapa kemungkinan mengapa berlaku perpecahan dalam perikatan kerajaan Pakatan Harapan.

"Ada segelintir rakyat Malaysia yang sudah mula menolak Pakatan Harapan. Di antaranya politik kuasa orang Melayu itu sendiri. Anwar ini menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan dan perjanjian itu adalah untuk kepimpinan itu beralih dari Tun Mahathir kepada Anwar.

"Jadi Anwar ini dilihat daripada sebagai sebahagian daripada Projek Pakatan Harapan. Justeru apabila kegagalan Pakatan Harapan menyelesaikan masalah-masalah harian rakyat, Anwar juga mungkin terbabit sama dan akan dipersalahkan kerana tidak memperjuangkan hak rakyat," kata Dr Norshahril dengan lebih lanjut.

Dr Norshahril juga mengatakan bahawa sama ada Encik Anwar akan menjadi Perdana Menteri ke-8 kini jelas menjadi satu tanda tanya.

"Dr Mahathir mengulangi berkali-kali beliau telah mengulangi bahawa beliau akan memberikan jawatan tersebut kepada Anwar Ibrahim. Tapi kalau kita kaji semula dengan pemansuhan, terpecahnya Pakatan Harapan ini bermakna bahawa janji itu tidak perlu dikotakan kerana itu janji semasa pilihan raya 2018 bersama kepimpinan Pakatan Harapan dan sekarang ini telah berpecah.

"Saya fikir bahawa tiada kemestiannya jawatan tersebut diberikan kepada Anwar Ibrahim walaupun mungkin ini tidak bermakna Anwar tidak akan menjadi Perdana Menteri. Cuma kita mungkin harus menantikan apakah yang akan berlaku seterusnya dalam politik Malaysia," kata Dr Norshahril.

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan