Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perkakas klinik gigi TTSH tidak disetril betul dalam insiden kesihatan terbaru

Seramai lapan pesakit ke klinik pergigian Hospital Tan Tock Seng (TTSH) antara 28 November hingga 5 Disember mungkin menerima rawatan menggunakan perkakas pergigian yang tidak dibersihkan secara menyeluruh daripada kuman.

Anggaran Waktu Membaca:
Perkakas klinik gigi TTSH tidak disetril betul dalam insiden kesihatan terbaru

Gambar hiasan rawatan di klinik gigi. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 10 Dec 2018 07:41PM Dikemas Kini : 10 Dec 2018 07:46PM

SINGAPURA: Seramai lapan pesakit ke klinik pergigian Hospital Tan Tock Seng (TTSH) antara 28 November hingga 5 Disember mungkin menerima rawatan menggunakan perkakas pergigian yang tidak dibersihkan secara menyeluruh daripada kuman.

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media pada Isnin (10 Dis) menyatakan pihaknya dimaklumkan oleh TTSH dua hari lalu bahawa lapan bungkusan alat pergigian tidak melalui langkah terakhir pensetrilan, yang melibatkan penggunaan wap panas untuk melenyapkan spora kuman.

Alat-alat itu mungkin sudah digunakan di klinik gigi hospital, menurut TTSH dan MOH.

TTSH mendedahkan pada 4 Disember, seorang kakitangan klinik pergigian menemui sebuah alat pergigian yang tidak melengkapi langkah terakhir pensterilan.

Pemeriksaan keesokan harinya menunjukkan lapan pek perkakas pergigian tidak disteril secara menyeluruh pada 28 November. Setiap bungkusan lazimnya digunakan oleh satu pesakit, namun kadangkala seorang pesakit memerlukan lebih daripada satu bungkusan.

Dalam kenyataannya TTSH menambah risiko jangkitan pesakit akibat insiden itu adalah "sangat rendah memandangkan langkah-langkah pensterilan sebelumnya akan melenyapkan hampir 100 peratus organisme yang dibimbangkan."

"Bagaimanapun kami sedang menghubungi kesemua 575 pesakit yang dirawat di klinik pergigian semasa tempoh berkenaan untuk memberi jaminan tentang risiko rendah jangkitan, menghulurkan sokongan dan menjawab sebarang kebimbangan," menurut TTSH.

Hospital itu juga menguatkuasakan 'tempoh keselamatan' pada Sabtu dan menggantung prosedur tidak penting di klinik itu. Prosedur tersebut akan disambung bermula Rabu ini.

Menurut MOH, pihaknya sedang membantu hospital menghubungi para pesakit dan melaksanakan langkah kawalan tambahan.

Menyusuli kejadian tersebut, MOH juga menemui pihak pengurusan institusi kesihatan awam untuk "menekankan peri pentingnya usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran kakitangan dan supaya mereka sentiasa mengikut proses bagi keselamatan dan penjagaan pesakit". Mereka juga diarahkan supaya menyemak semua proses yang melibatkan pensterilan, menurut kementerian itu.

INSIDEN KEDUA DALAM 18 BULAN

Ini merupakan kejadian kedua yang berlaku di Singapura dalam tempoh 18 bulan, selepas satu kejadian pada Jun tahun lalu di Pusat Pergigian Kebangsaan Singapura (NDCS).

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata: "Kami memandang serius insiden di Klinik Pergigian TTSH, dan saya kecewa ia berlaku meskipun usaha kita (sebelum ini).

"Insiden ini peringatan tepat pada masanya bagi semua institusi penjagaan kesihatan supaya mengekalkan tahap waspada yang tinggi dalam menyediakan khidmat penjagaan pesakit secara selamat pada setiap masa."

Menurut MOH, insiden pada Jun 2017 itu "menunjukkan perkara yang boleh dipelajari berhubung proses pensterilan bagi perkakas". Pihaknya kemudian menjalankan audit ke atas semua institusi penjagaan kesihatan awam dan privet yang mempunyai jabatan pensterilan perkakas bersama.

Audit tersebut menunjukkan kesemua langkah berkenaan diambil.

PROSES PENSTERILAN ALAT GIGI TTSH

- Pencucian secara manual, diikuti dengan menggunaan mesin ultrasonik dengan larutan enzim

- Dikeringkan untuk melenyapkan kelembapan, sebelum dibungkus, dikedap dan dilabel

- Pensterilan menggunakan wap panas untuk melenyapkan spora kuman

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan