Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perjuangkan pencapaian akademik tinggi 'faktor penting' bagi kejayaan S'pura - PM Lee

Meskipun tumpuan diberikan kepada pendidikan menyeluruh di Singapura dan usaha memupuk perwatakan dan nilai-nilai dalam kalangan golongan muda, namun tetap penting untuk para pelajar menguasai kurikulum akademik dan berusaha untuk mencatat keputusan cemerlangan dalam mata pelajaran mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Perjuangkan pencapaian akademik tinggi 'faktor penting' bagi kejayaan S'pura - PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa berucap di majlis jamuan malam sempena ulang tahun Hwa Chong Institution yang ke-100.

Diterbitkan : 21 Mar 2019 11:17PM Dikemas Kini : 21 Mar 2019 11:22PM

SINGAPURA: Meskipun tumpuan diberikan kepada pendidikan menyeluruh di Singapura dan usaha memupuk perwatakan dan nilai-nilai dalam kalangan golongan muda, namun tetap penting untuk para pelajar menguasai kurikulum akademik dan berusaha untuk mencatat keputusan cemerlangan dalam mata pelajaran mereka, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (21 Mac).

"Sekolah kami, ITE (Institut Pendidikan Teknikal), politeknik dan universiti mengekalkan standard akademik yang ketat, dan memberikan para pelajar asas yang kukuh dalam pelbagai subjek," kata PM Lee semasa majlis jamuan malam sempena ulang tahun Hwa Chong Institution yang ke-100.

"Secara keseluruhannya, para pelajar Singapura mengambil berat tentang pelajaran mereka dan mereka juga melakukan sedaya upaya untuk menguasai bahan-bahan pelajaran dan mencatat prestasi cemerlang.

"Maka itu setelah mereka tamat pengajian, mereka dapat mencari pekerjaan baik dan mereka kemudian mencatat prestasi baik dalam kerjaya dan kehidupan mereka," tambahnya. "Ini kekal sebagai faktor penting dalam kejayaan Singapura dan ia juga mesti kekal sebagai tumpuan Hwa Chong."

Semasa berucap kepada lebih 12,000 hadirin majlis itu, PM Lee memuji Hwa Chong Institution kerana mengekalkan standard akademik yang tinggi sambil menarik perhatian bahawa sekolah itu sudah membangunkan sejarah dan reputasi yang terkemuka.

Hwa Chong, katanya, mesti terus berkembang sebagai sebuah institusi pendidikan yang memerlukan usaha pada tiga bidang - iaitu memperjuangkan pencapaian akademik tinggi, menggalak nilai-nilai budaya Cina serta mempersiapkan para pelajar bagi masyarakat Singapura yang berbilang bangsa dan agama.

PM Lee berkata sebagai sebuah sekolah Pelan Bantuan Khas (SAP), Hwa Chong mempunyai tanggungjawab khusus untuk menggalak budaya tradisional, nilai dan warisan Cina, serta membantu para pelajar menguasai Bahasa Ibunda mereka.

Inilah sebabnya, menurut beliau, mendiang Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew memperkenalkan sekolah-sekolah SAP pada 1979.

"Mendiang mahu menghidupkan semula semangat sekolah-sekolah tinggi Cina dahulu," kata PM Lee. "Sekolah-sekolah ini memberi tumpuan kepada pembangunan perwatakan, kesungguhan matlamat dan semangat kemasyarakatan.

"Nilai-nilai ini bukan sahaja memberi manfaat kepada para graduan sekolah Cina dahulu, malah ia juga penting bagi kebingkasan dan perpaduan masyarakat."

PM Lee berkata Hwa Chong bukan setakat berupaya memupuk nilai-nilai tersebut terhadap generasi baru golongan muda rakyat Singapura, namun ia juga sudahpun mengamalkan pendekatan bagi para pelajar yang dibesarkan dalam era yang berbeza, seperti menerusi Program Pengajian Dwibudaya.

Menyentuh mengenai bidang ketiga pula, PM Lee berkata para pelajar Hwa Chong mesti memahami konteks masyarakat Singapura dan tanggungjawab masing-masing dalam masyarakat.

"Anda mesti tahu bagaimana masyarakat berfungsi, kenal rakyat Singapura daripada pelbagai bangsa dan agama, serta rasa bertanggungjawab ke atas rakyat lain," katanya.

Beliau menambah: "Anda perlu rasa terpanggil untuk melibatkan diri dalam ehwal masyarakat dan negara, menyumbang kepada masyarakat dan sistem yang memupuk anda serta memainkan peranan kepimpinan bagi membantu Singapura terus maju." 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan