Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perjuangan tangani COVID-19 demi kesejahteraan semua cerminkan pengorbanan masyarakat Islam

Perjuangan masyarakat menangani COVID-19 tidak akan selesai sehinggalah setiap anggota masyarakat memainkan peranan dalam memastikan kesejahteraan semua.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perjuangan masyarakat menangani COVID-19 tidak akan selesai sehinggalah setiap anggota masyarakat memainkan peranan dalam memastikan kesejahteraan semua.

Ini termasuk ikhtiar dan tanggungjawab untuk menyegerakan pengambilan vaksin dan menggalak saudara-mara, terutama sekali warga senja, mengambilnya bagi menangkis penularan wabak tersebut.

Demikian tekan Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam khutbah Aidiladha beliau hari ini (20 Jul) yang menyentuh tentang erti pengorbanan masyarakat Islam semasa memimpin solat Aidiladha di Masjid Ar-Raudhah pagi tadi.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jumzari)

Kesemuanya, 750 jemaah dapat menunaikan solat di masjid tersebut menerusi tiga sesi solat di bawah protokol kesihatan dan keselamatan cukup ketat. Ini merupakan kali kedua Hari Raya Haji berlangsung di tengah-tengah cabaran pandemik COVID-19.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Dalam khutbah beliau yang turut disampaikan di masjid-masjid merata negara, Mufti Negara menggesa masyarakat agar jangan membiarkan berita-berita palsu memburukkan lagi dan menakutkan golongan tua dalam suasana kekhuatiran sekarang ini.

"Yang belum lagi mengambil vaksin bersegeralah mengambilnya. Dan yang sudah mengambilnya, galakkanlah saudara-mara kita, khususnya golongan berusia tua, untuk mengambilnya kerana ini adalah ikhtiar kita untuk menangkis penularan wabak dan juga mengurangkan kesan ke atas diri kita jika kita terjangkit. Apatah lagi dengan situasi penularan sekarang ini dengan varian baru yang lebih mudah berjangkit.

"Perjuangan kita tidak akan dapat selesai, sehinggalah setiap kita memainkan peranan dan bertanggungjawab," kata Ustaz Dr Nazirudin lagi.

INSTITUSI AGAMA TERUS RANCAK DIMAKMURKAN, MESKI TERBATAS

Beliau juga menarik perhatian, walaupun terdapat keterbatasan dek norma baru, institusi agama masih terus rancak dimakmurkan dengan selamat.

Ini, kata beliau, dilihat menerusi dakwah yang masih berterusan sambil “memelihara nyawa tanpa merosakkan sendi-sendi tiang agama”.

"Agama memerlukan ilmu. Ilmu memerlukan usaha, masa, guru dan titik peluh. Kalau hanya kita membaca sebaris di sana dan seperenggan di sini, kalau kita hanya menonton klip di YouTube, di Facebook di Tik Tok, tidak mencukupi," jelas beliau.

Menurut Mufti, ilmu yang menyeluruh ibarat lampu yang kuat menerangi kegelapan suasana - bukan seperti lilin, yang terangnya terbatas dan boleh "menyebabkan kebakaran".

JEMAAH SUARAKAN HARAPAN BAGI KEADAAN LEBIH BAIK

Para jemaah yang kami temui selepas sesi solat ini pula rata-rata menyuarakan seribu harapan agar keadaan menjadi lebih baik pada Aidiladha akan datang.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jumzari)

(Gambar-gambar: Nazirah Jamzuri/BERITAmediacorp)

Encik Mahmood Jamin berkata: "Insya-Allah kalau tahun depan kalau boleh buka sepenuhnya. Buka seluruhnya, mudah-mudahan itu sahaja harapan saya."

Bagi jemaah muslimah, Cik Tazilah Talib pula, beliau berkongsi: "Semoga kita dapat meraikan seperti tahun-tahun sebelumnya, dengan ada ibadah korban dilakukan di sini dan anak-anak kita dapat sama-sama meraikannya."

"Mudah-mudahan wabak yang melanda ini akan hilang, akan diangkat Allah supaya kita semua ramai-ramai boleh masuk masjid dan sembahyang seperti sediakala, Insya-Allah," sambut Cik Suriani Suratman pula.

Secara keseluruhan, hampir 18,200 jemaah dapat menunaikan solat Aidiladha di 66 masjid pagi tadi - naik lebih seganda berbanding 8,750 jemaah tahun lalu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan