Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perjalanan Udara Aturan Khas S'pura-Hong Kong ditunda 2 minggu susuli lonjakan kes COVID-19 di Hong Kong

Tarikh pelancaran perjalanan udara aturan khas antara Singapura dengan Hong Kong ditangguhkan selama dua minggu setelah berlaku lonjakan kes COVID-19 di Hong Kong, kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Sabtu petang (21 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Nov 2020 07:09PM Dikemas Kini : 22 Nov 2020 01:11AM

SINGAPURA: Tarikh pelancaran perjalanan udara aturan khas antara Singapura dengan Hong Kong ditangguhkan selama dua minggu setelah berlaku lonjakan kes COVID-19 di Hong Kong, kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Sabtu petang (21 Nov).

Penerbangan pertama di bawah aturan khas tersebut sepatutnya berlepas pada Ahad.

Dalam satu catatan di Facebook pada Sabtu, Encik Ong berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong Edward Yau mengenai aturan perjalanan khas itu.

"Memandangkan keadaan yang berubah-ubah di Hong Kong sekarang, saya dan (Encik) Yau berunding lebih lanjut petang ini dan memutuskan bahawa adalah lebih baik untuk menangguhkan pelancaran perjalanan udara aturan khas itu selama dua minggu," kata Encik Ong.

"Kami akan menyemak semula dalam tempoh dua minggu ini mengenai tarikh pelancaran baru dan memberi perkembangannya.

"Saya memahami sepenuhnya rasa kecewa penduduk yang telah merancang perjalanan mereka. Namun kami merasakan, demi kesihatan awam, adalah lebih baik untuk menangguhkannya."

Syarikat-syarikat penerbangan akan menghubungi pengunjung yang terjejas, tambah Encik Ong.

Pada Sabtu, Hong Kong melaporkan 43 kes baru COVID-19, 36 daripadanya merupakan jangkitan tempatan.

"Memandangkan lonjakan jumlah kes tempatan baru-baru ini, kami memutuskan, bersama dengan pemerintah Singapura, untuk menangguhkan pelancaran aturan khas perjalanan udara selama dua minggu," kata Encik Yau kepada wartawan di Hong Kong.

"Ini adalah satu peringatan bahawa virus COVID-19 masih ada bersama kita, dan walaupun kita berusaha untuk memulakan semula kehidupan seperti sedia kala, perjalanannya terus mencabar. Tetapi kita akan teruskan juga dan berharap dapat secara selamat melancarkan aturan khas perjalanan udara," kata Encik Ong.

Awal sebelum itu pada pagi Sabtu, Encik Ong berkata terdapat "kemungkinan besar" perjalanan udara aturan khas antara Singapura dengan Hong Kong akan digantung sekiranya keadaan COVID-19 di Hong Kong berlarutan.

Di bawah syarat-syarat aturan khas itu, perjalanan tersebut akan digantung jika purata jangkitan tanpa kaitan selama tujuh hari melebihi lima kes sehari di salah satu destinasi.

Hong Kong mencatat lonjakan kes baru COVID-19, yang disifatkan oleh Setiausaha Makanan dan Kesihatan wilayah khas China itu, Sophia Chan pada Jumaat sebagai "sangat teruk".

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan