Images
  • phone scam
    Gambar hiasan. 

Perisian hasad ini 'bersembunyi' di balik aplikasi Netflix; hantar pesanan WhatsApp tanpa pengetahuan pengguna

SINGAPURA: Syarikat huraian teknologi Check Point Research mengesan sejenis perisian hasad di Play Store Google yang disebarkan menerusi pesanan WhatsApp, menurut satu kenyataan media hari ini (8 Apr).

Perisian hasad itu yang disamarkan sebagai aplikasi Netflix, membalas pesanan tanpa pengetahuan mangsa dengan mengirim pautan yang konon-kononnya menawarkan khidmat Netflix Premium secara percuma selama dua bulan.

Jika telefon seseorang dicerobohi, perisian tersebut boleh menyebarkan pautan hasad, mencuri data dari akaun WhatsApp pengguna dan menyebarkan pesanan palsu menerusi kenalan dan kumpulan WhatsApp mangsa.

Perisian hasad tersebut boleh menular antara peranti Android jika mengklik pautan yang memuat turun aplikasi berkenaan.

Para pengamat yang mengesan perisian tersebut sudah memaklumkan Google yang sudahpun mengambil tindakan.

"Meskipun kami berhasil menghentikan kempen perisian hasad ini ... perisian itu boleh terlindung di sebalik aplikasi lain," kata Aviran Hazum, Pengurus Kecerdasan Mudah Alih Check Point Software Technologies.

Encik Hazum menasihati para pengguna supaya berhati-hati jika menerima pautan muat turun atau dokumen yang dilampirkan menerusi WhatsApp atau aplikasi pesanan lain.

Ini meskipun pesanan sedemikian dikirimkan oleh kenalan atau kumpulan yang dipercayai.

"Jika anda fikir anda merupakan salah seorang mangsa, saya akan menghapuskan aplikasi berkenaan daripada peranti saya dan kemudian menukar semua kata kunci saya," ujar Encik Hazum.

- BERITAmediacorp/ZM/zm

Top