Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perintah sekatan ke atas bekas guru agama tumpu pada individu, bukan ARS: Shanmugam

Perintah Sekatan yang dikenakan terhadap dua rakyat Singapura - seorang guru agama yang menyebarkan fahaman radikal dan salah seorang pengikutnya, adalah satu isyarat jelas bahawa pihak berkuasa akan bertindak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), "apabila masyarakat terancam".

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Jan 2019 11:40PM Dikemas Kini : 16 Jan 2019 11:50PM

SINGAPURA: Perintah Sekatan yang dikenakan terhadap dua rakyat Singapura - seorang guru agama yang menyebarkan fahaman radikal dan salah seorang pengikutnya, adalah satu isyarat jelas bahawa pihak berkuasa akan bertindak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), "apabila masyarakat terancam".

Demikian menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam hari ini (16 Jan).

"Kami sudah mengatakan semua agama boleh menyebarkan fahaman masing-masing tetapi anda tidak boleh menggalak keganasan, anda tidak boleh menindas agama lain dan anda tidak boleh menindas kaum lain," kata Encik Shanmugam. "Apabila anda sebar dan ajar keganasan menggunakan peranan keagamaan, kami akan mengambil tindakan."

"Di wadah online, mudah untuk mempengaruhi lebih ramai orang, dan ia lebih mudah lagi dilakukan di media sosial," tambah beliau.

Apabila ditanya pihak media sekiranya insiden itu akan membawa sebarang kesan terhadap Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), Encik Shanmugam berkata bahawa apa yang perlu diteliti adalah individu itu dan bukan proses pentauliahannya.

"Pastinya ada kemungkinan untuk pihak-pihak berpegang pada kepercayaan tertentu dan kemudian menokok tambah ajaran itu atau merubah ajaran itu," jelas Encik Shanmugam.

Beliau selanjutnya berkata bahawa MUIS memberi pentauliahan kepada Murad berdasarkan maklumat yang ada ketika itu. Namun, apabila MUIS mendapati ajarannya tidak wajar, pentauliahannya ditarik balik.

"Sebenarnya, saya rasa MUIS patut dipuji kerana anda mempunyai satu sistem pentauliahan. Umumnya ia berhasil ... mereka pernah menarik balik pentauliahan beberapa orang yang lain ... apabila ajarannya mengancam masyarakat," kata Encik Shanmugam.

JABATAN KESELAMATAN DALAM NEGERI

Apabila ditanya sekiranya para pengikut Murad yang lain akan diawasi, Encik Shanmugam berkata, tidak sesuai untuknya mengulas isu-isu ini.

"Yang pasti, sesiapa yang menanam niat untuk melakukan keganasan ke atas orang lain akan ditangani Jabatan Keselamatan Dalam Negeri," tambahnya.

Encik Shanmugam berkata ISD tidak meletakkan Murad di bawah perintah sekatan sebaik sahaja pentauliahannya dibatalkan kerana ia terdahulu membuat "penilaian teliti terhadap individu-individu".

"Kami sangat berhati-hati sebelum bertindak," katanya. "Sering, para pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri akan bercakap dengan anda, jika mereka merasakan anda tersasar dan menasihati anda.

"Satu pendekatan lebih baik adalah untuk memastikan anda memahami undang-undang, nilai serta tanggungjawab anda.

"(Sekiranya) itu tidak berhasil dan anda terus, seperti dalam kes ini, cuba menggalak tindakan ganas dan membunuh orang lain, kemudian anda menjadi satu ancaman kepada kehidupan orang lain... kemudian itu, kami akan bertindak."

Encik Shanmugam menambah, meskipun kedua-dua individu dalam insiden itu belum mengambil tindakan konkrit - seperti memindahkan wang kepada kumpulan-kumpulan pengganas - mereka telah melanggar "banyak garis merah" untuk melanjutkan usaha mereka.

"Ia belum lagi sampai ke tahap itu, tetapi jika anda seorang guru agama dan anda mengajar keganasan, dan memberitahu pengikut anda bahawa adalah wajar membunuh mereka yang bukan Muslim, pastinya itu salah," tegas beliau.

LAPORAN BERKAITAN: 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan