Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perikatan untuk Bertindak (AfA) bentang cadangan bantu pekerja bergaji rendah

Lebih banyak usaha akan dilakukan untuk menyokong para pekerja bergaji rendah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak usaha akan dilakukan untuk menyokong para pekerja bergaji rendah.

Ini termasuk menyediakan ruang-ruang rehat yang khusus, serta memberi lebih banyak pengiktirafan buat golongan berkenaan.

Demikian antara lapan cadangan yang dibentangkan para anggota Perikatan untuk Bertindak (AfA) bagi Pekerja Bergaji Rendah dalam sesi kelima bengkel yang diadakan secara maya pada Sabtu (24 Jul).

Ditubuhkan pada 3 Mac 2021, ia menggabungkan kepakaran 50 warga Singapura daripada kesatuan sekerja, perniagaan, kumpulan-kumpulan masyarakat dan belia bagi mencari huraian untuk meningkatkan mutu kehidupan pekerja bergaji rendah.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad yang turut menyertai sesi tersebut, memuji usaha AfA kerana ia dapat membawa kesan positif kepada kehidupan golongan tersebut.

"Kami akan melibatkan sekumpulan rakan baru dari sektor awam dan sektor swasta yang berpotensi memberi sokongan dan mengembangkan lagi projek-projek ini. Jadi anggota AfA boleh mendapat keyakinan bahawa kami akan terus membantu mereka menjadikan projek mereka jadi kenyataan.

"Kita juga sedang mencari cara untuk meneruskan semangat dan momentum AfA untuk melibatkan lebih ramai rakyat Singapura dalam mempertingkatkan lagi pekerja-pekerja bergaji rendah kita. AfA ini telah menunjukkan bagaimana kita dapat menyatukan masyarakat untuk membina, untuk memberi manfaat kepada pekerja yang bergaji rendah," kata Encik Zaqy.

MAHUKAN LEBIH PENGIKTIRAFAN UNTUK GOLONGAN INI

Berbekalkan pengalamannya sebagai seorang pemimpin dalam kesatuan sekerja selama tujuh tahun, Encik Mazlan Ridwan antara individu yang memahami tentang nasib para pekerja.

"Kita selalu melihat pekerja pembersih kita, mereka kurang mendapat pengiktirafan. Keadaan di sekeliling kita bersih, itu adalah kerja yang dilakukan oleh pekerja-pekerja bidang penting (seperti mereka). Bagi saya, mereka adalah 'wira' yang kurang diiktiraf. Jadi dengan adanya AfA seperti ini, mereka akhirnya dapat pengiktirafan ataupun dihargai oleh masyarakat," kata Encik Mazlan.

Beliau yang menggalas tanggungjawab sebagai Pegawai Perhubungan Industri terlibat dalam dua pasukan yang ditugaskan membentangkan cadangan iaitu Kempen Tanda Gaji Progresif dan saluran maklum balas.

Di bawah kempen digital itu, orang ramai boleh membayar lebih sedikit untuk barangan dan perkhidmatan oleh golongan pekerja bergaji rendah dan wang tambahan itu akan diberikan kepada pekerja tersebut.

Manakala projek saluran maklum balas pula adalah usaha untuk menggalak perbincangan yang lebih membangun antara pekerja dan majikan, dilakukan secara rahsia menerusi satu platform. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan