Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perikatan tiga pihak kemas kini garis pandu pemberhentian pekerja termasuk tempoh notis lebih panjang

Garis panduan lebih jelas mengenai bagaimana syarikat-syarikat sepatutnya melaksanakan pemberhentian pekerja dengan cara yang bertanggungjawab sudah dibentangkan melalui kemas kini nasihat dikeluarkan oleh rakan-rakan perikatan tiga pihak

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Oct 2020 03:33PM Dikemas Kini : 17 Oct 2020 08:55PM

SINGAPURA: Garis panduan lebih jelas mengenai bagaimana syarikat-syarikat sepatutnya melaksanakan pemberhentian pekerja dengan cara yang bertanggungjawab sudah dibentangkan melalui kemas kini nasihat dikeluarkan oleh rakan-rakan perikatan tiga pihak - Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) - pada Sabtu (17 Okt).

Antara garis panduan itu termasuk memberikan tempoh notis yang lebih panjang menjangkaui syarat-syarat berkanun atau yang dinyatakan dalam kontrak pekerjaan, menurut rakan-rakan perikatan tiga pihak dalam satu kenyataan bersama.

Satu senarai semak yang baru mengenai apa yang disifatkan sebagai amalan pemberhentian pekerja yang bertanggungjawab juga sudah disertakan ke dalam nasihat yang dikemas kini itu.

Dalam satu sidang media yang diadakan pada Jumaat, perikatan tiga pihak itu turut menyatakan bahawa mereka bersedia untuk tidak memberikan geran sokongan Pemerintah atau menggantung keistimewaan pas kerja bagi syarikat-syarikat yang tidak mematuhi garis panduan yang dibentangkan dalam makluman tersebut.

Rakan-rakan perikatan tiga pihak itu turut menarik perhatian bahawa mereka sudah menerima maklum balas daripada para pekerja yang diberhentikan kerja sepanjang beberapa bulan lalu, yang mendakwa mereka tidak dimaklumkan bahawa mereka akan diberhentikan kerja atau tidak diberitahu mengapa mereka yang diberhentikan kerja dan bukan pekerja lain.

Menurut jurucakap MOM pada Sabtu, makluman daripada perikatan tiga pihak itu juga "menggesa para majikan supaya memihak kepada rakyat Singapura" dalam mengekalkan tenaga kerja yang mengutamakan rakyat Singapura sekiranya pemberhentikan pekerja adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

"Ia juga mengiktiraf betapa pentingnya untuk membolehkan para majikan supaya terus menggajikan para penduduk tetap yang berkebolehan sebagai sebahagian daripada tenaga kerja tempatan. Pertimbangan utama adalah merit dan kemahiran para individu dan bagaimana mereka boleh membantu bagi memastikan perniagaan dapat bertahan dan terus berdaya saing," tambah jurucakap MOM itu.

Garis panduan yang lebih jelas itu turut memberikan nasihat mengenai cara-cara untuk menguruskan lebihan tenaga manusia dan pemberhentian pekerja dengan cara yang bertanggungjawab dan ia dikeluarkan sehari selepas Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) membentangkan saranan-saranan mengenai bagaimana para majikan sepatutnya melaksanakan pemotongan gaji bagi mengurangkan jumlah pemberhentian pekerja.

Rakan-rakan perikatan tiga pihak memberitahu Mediacorp semasa sidang itu bahawa kemas kini itu penting kerana keadaan pasaran sudah berbeza sejak Mac, iaitu kali terakhir makluman tersebut dikemas kini.

Selain tempoh notis yang lebih panjang, garis panduan lebih jelas yang dinyatakan dalam makluman tersebut termasuk:

Mempersiapkan para pengurus yang diberi tanggungjawab untuk memaklumkan para pekerja yang terjejas untuk menyampaikan berita itu secara langsung kepada pekerja terbabit dan melalui cara yang berhemah

Kakitangan sumber manusia juga diperlukan hadir untuk mendapatkan maklum balas dan menjawab sebarang pertanyaan daripada kakitangan yang diberhentikan kerja

Memberikan masa yang secukupnya kepada para pekerja yang terjejas untuk menenangkan diri selepas mendapat tahu bahawa mereka diberhentikan kerja sebelum meminta mereka meninggalkan tempat kerja

Kakitangan yang terjejas tidak sepatutnya disuruh meninggalkan tempat kerja secara mendadak atau diiring keluar oleh para pengawal keselamatan selagi tiada alasan yang munasabah

Para majikan perlu bersikap sensitif terhadap keperluan kakitangan yang diberhentikan kerja dan menyediakan sokongan kaunseling, jika perlu 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan