Images

Perhimpunan sosial 5 orang dibenarkan mulai 14 Jun; makan luar mungkin disambung semula 21 Jun

SINGAPURA: Saiz kumpulan yang dibenarkan bagi perhimpunan sosial akan ditambah dari dua kepada lima orang mulai 14 Jun sedang Singapura mula melonggarkan sekatan COVID-19 ekoran jumlah kes koronavirus dalam masyarakat yang merosot.

Sejajar dengan itu, setiap isi rumah boleh menerima lima pengunjung sehari.

Namun, orang ramai digalak mengehadkan perhimpunan sosial kepada tidak lebih daripada dua sehari, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (10 Jun).

Langkah itu adalah yang pertama dalam rancangan Singapura kembali ke Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) mulai 14 Jun, tambah MOH.

Lebih banyak sekatan akan dilonggarkan dalam langkah kedua mulai 21 Jun apabila orang ramai boleh makan di luar jika keadaan COVID-19 kekal terkawal pada minggu-minggu akan datang.

Ditanya sebab makan di luar hanya dibenarkan seminggu kemudian, Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian bagi COVID-19 Encik Gan Kim Yong berkata Pemerintah mahu memastikan keadaan "stabil" sebelum membenarkan makan di luar disambung semula.

"Makan di luar dianggap aktiviti berisiko tinggi kerana pelitup dibuka," katanya dalam satu sidang media.

Tempat makan harus mematuhi dengan ketat jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter antara kumpulan pelanggan yang tidak melebihi lima orang, jelas MOH dalam satu kenyataan media.

"Kami akan meningkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan lebih tegas bagi sebarang kesalahan," tambah MOH. "Para pelanggan diingatkan supaya memakai pelitup sepanjang masa kecuali semasa makan atau minum."

Majlis jamuan perkahwinan, yang tidak dibenarkan buat masa ini, akan juga disambung semula mulai 21 Jun.

Gimnasium dan studio kecergasan juga boleh menyambung semula kegiatan sukan dalam bangunan tanpa memakai pelitup mulai 21 Jun dengan jarak selamat sekurang-kurangnya dua meter antara individu dan sekurang-kurangnya tiga meter antara kumpulan sehingga lima orang.

Kelas sukan - di luar dan dalam bagunan - akan dihadkan kepada 30 orang termasuk jurulatih, dalam kumpulan tidak melebihi lima orang.

Kelas tuisyen dan pengayaan secara fizikal bagi mereka yang berusia 18 tahun dan ke bawah akan dibenarkan beroperasi semula mulai 21 Jun dengan langkah jarak selamat dipertingkat, yang akan diumumkan Kementerian Pendidikan (MOE), menurut MOH.

Peraturan yang dilonggarkan itu diumumkan sedang jumlah kes COVID-19, baik yang ada kaitan atau pun tidak, jatuh secara "beransur-ansur" sejak beberapa minggu lalu, kata Encik Gan.

"Jumlah kelompok yang muncul berkurangan dan secara umumnya kelompok lebih kecil, rejim pengesanan dan ujian kami juga membolehkan kami mengesan dan mengawal kemungkinan kes jangkitan lebih awal, memperlahankan dan mengurangkan jangkitan dalam masyarakat," ujar beliau.

DAYA TARIKAN DAN PERSEMBAHAN SECARA LANGSUNG

Jumlah saiz penonton bagi acara juga ditambah.

Persembahan secara langsung dn acara sukan yang mempunyai penonton boleh disambung semula dengan peserta perlu menjalani ujian sebelum acara jika terdapat sehingga 250 penonton. Ujian sebelum acara tidak diperlukan bagi acara kurang daripada 50 orang.

Kapasiti operasi di tempat daya tarikan, termasuk dua kapal pelayaran yang sebelum ini mendapat kelulusan pihak berkuasa akan ditambah daripada 25 peratus kepada 50 peratus. Muzium dan perpustakaan awam juga akan dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus.

Bagi mengurangkan kemungkinan berlaku kelompok jangkitan yang besar, ujian sebelum acara kekal sebagai pendekatan "penting" bagi memastikan acara boleh diteruskan dengan selamat bagi pengunjung, menurut MOH.

Upacara keagamaan, majlis pernikahan dan jamuan persandingan dengan jumlah tetamu yang ramai juga perlukan menyediakan ujian berkenaan.

Upacara keagamaan boleh diadakan dengan sehingga 250 jemaah mulai 14 Jun dengan ujian dilakukan sebelum acara.Ujian tersebut tidak diperlukan bagi acara yang mempunyai 50 atau kurang jemaah. Tidak memakai pelitup dan bernyanyi atau bermain alat tiupan semasa persembahan secara langsung semasa upacara keagamaan bagaimanapun hanya boleh disambung semula mulai 21 Jun.

Majlis jamuan persandingan akan dibenarkan semula dengan 100 tetamu, termasuk pasangan pengantin tetapi tidak mengambil kira vendor, dengan ujian sebelum acara diperlukan bagi semua tetamu. Bagi majlis jamuan, sehingga 50 tetamu, ujian sebelum majlis diperlukan hanya bagi semua yang hadir, terdiri daripada sehingga 20 tetamu termasuk pasangan mempelai.

Majlis pernikahan di luar rumah boleh berlangsung mulai 14 Jun dengan sehingga 250 tetamu termasuk pasangan pengantin tetapi tidak mengambil kira tok kadi dan vendor dengan ujian sebelum acara diperlukan bagi semua tetamu termasuk pasangan pengantin.

Bagi majlis pernikahan yang melibatkan 50 atau kurang tetamu, ujian sebelum acara tidak diperlukan. Bagi majlis pernikahan diadakan di rumah, tuan tumah boleh menjemput sehingga lima hadirin atau sehingga 10 tetamu.

- CNA/RU/tq

Top